BAB 8

60 6 0
                                    


HARI berganti hari, bulan berganti bulan. Kini, mereka sudah tamat menjalani peperiksaan yang paling penting dalam sejarah hidup iaitu Sijil Pelajaran Malaysia. Rasa macam tak percaya, cepat benar masa berlalu.

"Bila kau nak beritahu dia?" Deeja bertanya sambil mengunyah mini oreo yang baru dibeli di kiosk sekolah.

"Entahlah Deeja, perlu ke?" Qisha Qaisara mengeluh kecil. Aiskrim malaysia yang makin cair di tangan disua ke mulut. Mana tak cair kalau dari tadi dia hanya termenung memandang ke arah gelanggang bola tampar dan padang yang luas.

"Mestilah. Habis, tak akan kau nak pendam sampai bila-bila? Lepas ni kau orang mesti akan sambung belajar di lain-lain tempat, bila lagi kalau bukan sekarang?"

"Aku tak rasa dia boleh terima,"

"Mana kau tahu sedangkan kau tak pernah cuba? Lagipun, soal terima atau tidak itu nombor dua, yang penting usaha." Deeja masih cuba memberi semangat buat Qisha Qaisara. Dia bukan apa, dia tidak mahu rakannya itu berputih mata tanpa cuba berusaha.

"Aku kenal dia dah lama, aku tahu hati dia."

"Tapi..." Belum sempat Deeja menghabiskan hujahnya, suara Qaliff Yusuf memanggil dari jauh membuatkan perbualan mereka terhenti di situ. Mereka berdua berpaling melihat gerangan Qaliff Yusuf yang semakin mendekat.

"Ohh... satu sekolah aku cari, rupanya di sini kau melepak. Merayap saja kerja kau kan?" Tempelak Qaliff Yusuf seraya melabuhkan punggung di atas kerusi batu di sebelah Qisha Qaisara.

Panjang umur, baru disebut sudah muncul orangnya.

"Okay lah Sara, aku nak ke pejabat sebentar. Jumpa di kelas nanti." Pamit Deeja sengaja memberi alasan. Sebetulnya dia hanya sekadar ingin memberi ruang buat dua manusia itu saling meluah perasaan. Sempat Deeja menghantar isyarat mata sebelum berura ingin bangkit. Qisha Qaisara yang faham akan makna dari bahasa tubuh Deeja, sekadar mengangguk kecil.

"Kau orang mengumpat aku eh?" Tuduh Qaliff Yusuf sambil menayang riak tidak puas hati. Matanya dipicing kerana dia pasti ada yang disembunyikan oleh gadis itu.

"Tak baik mengumpat, makan daging saudara sendiri." Nasihat Qaliff Yusuf dengan gaya alimnya.

"Ceh! Kau ni memang suka perasanlah." Qisha Qaisara mencebik.

Buat seketika, mereka berdua senyap seperti mencari sesuatu untuk dijadikan modal bicara.

"Sara, sebenarnya aku ada benda nak bagitahu kau ni."

Ayat Qaliff Yusuf buat Qisha Qaisara dirundung seribu pertanyaan. Jarang lelaki itu meminta izin untuk mengatakan sesuatu. Pasti tentang hal yang serius.

"Apa dia? Cakaplah." Desak Qisha Qaisara tidak sabar.

"Aku dah sedia nak confess pada Nia tentang perasaan aku."

Seperti direntap hebat, dada Qisha Qaisara rasa sesak. Apa yang dikhabarkan Qaliff Yusuf adalah adalah perkara terakhir yang mahu dia dengar.

"Aku terfikir jika bukan sekarang, bila lagi? Tak lama lagi kita semua akan buat haluan masing-masing, sekurang-kurangnya dia tahu ada yang menunggu dia."

"Sara? Kau dengar tak luahan aku dari tadi ni?" Rungut Qaliff Yusuf sedikit bengang bila Qisha Qaisara hanya diam. Orang penat bercerita, dia buat tak tahu saja.

"Dengar..."

"Kau rasa macam mana?" Risik Qaliff Yusuf lagi, kali ini meminta pandangan pula.

"Kalau ikut aku, lebih baik kau fokus ke arah pelajaran. Lagipula, bukankah umur kita terlalu mentah untuk fikir soal cinta?" Jawab Qisha Qaisara cuba rasional. Tak dinafikan, rasa cinta itu anugerah. Tapi juga harus dikawal setiap langkah.

"Eleh! Kau ni acah-acah pula. Macamlah kau tu tiada hati pada sesiapa. Atau kau cemburu jika aku ada kekasih? Apa kau ingat kau seorang saja yang boleh bercinta?" Tukas Qaliff Yusuf dengan riak tak puas hati.

"Apa kau cakap ni?" Kening Qisha Qaisara kian bertaut. Mukanya jelas berubah dengan tuduhan tak berasas dari Qaliff Yusuf.

"Tentang isi dalam diari kau tu, kau cakap tentang siapa? Pasti dia adalah lelaki yang kau cinta," Risik Qaliff Yusuf cuba mengorek rahsia.

"Kau minta pendapat, aku bagilah. Kalau kau rasa tak nak dengar, itu terpulang. Yang kau nak kait-kaitkan dengan isi diari aku pula kenapa?!" Marah Qisha Qaisara lantas bangkit dari duduknya. Pantang hal itu disebut-sebut.

"Sara... aku,"

"Sudahlah Qaliff... ikut suka hati kaulah nak buat apa, lagipun apa hak aku untuk menghalang? Kalau kau rasa hendak buat sesuatu, teruskan saja. Buat apa kau peduli tentang pendapat aku yang tak penting ni." Pasrah Qisha Qaisara. Pasak kaki sudah dipaling ingin beredar dari situ. Tidak tahan berlama-lama, takut yang ada tangisannya malah pecah tak bersuara.

Sudahlah hatinya teruk tersobek, ditambah pula dengan tuduhan kononnya dia tak mahu lelaki itu bahagia.

"Sara, aku bukan bermaksud macam tu!" Jerit Qaliff Yusuf bila sosok sahabatnya itu sudah jauh melangkah. Dia menggaru belakang leher yang tidak gatal, serba salah jadinya. Namun untuk mengejar, tidak rasanya. Biarlah gadis itu tenang dahulu, lama-kelamaan juga pasti akan reda amarahnya. Fikir Qaliff Yusuf sendiri.

Penantian Yang BersisaWhere stories live. Discover now