"SARA, jom lunch sekali."Qisha Qaisara mengangkat wajah melihat gerangan yang menyapanya. Kelihatan seorang gadis dalam lingkungan 20-an sudah berdiri di depan mejanya. Ligat Qisha Qaisara mengingati kembali nama insan yang dipertanggungjawabkan mengurus lapor dirinya pagi tadi. Takut tersalah sebut bakal mengguris hati tuan badan pula nanti.
"Ariyani kan?" Tanya Qisha Qaisara memastikan.
"Yup, panggil Yani je. Sara tak nak lunch? Dah pukul 1 ni."
Matanya dibawa ke jam yang tersangkut di pergelangan tangan. Baru dia sedar jarum pendek sudah berada di nombor satu. Maklumlah, hari pertama. Banyak perkara yang dia harus rujuk dan semak memandangkan ini bukan bidangnya. Meskipun hanya sebagai pembantu peribadi, banyak perkara harus dia belajar sebagai permulaan.
"Eh ha'ahlah, tak perasan."
"Hmm... ralit sangat buat kerja tu. Kerja-kerja juga, makan tu penting. Dah jomlah, sekali dengan Yani." Ujarnya ramah sekali. Qisha Qaisara pantas menutup komputernya dan mencapai beg tangan.
"Selalunya Yani lunch seorang, yang lain biasa bawa bekal dari rumah. Kalau tak pun, order foodpanda atau grabfood je. Malas nak keluar katanya. Maklumlah orang selalu dapat keluar... kalau dapat duduk ofis, terus tak mahu keluar." Cerita Ariyani dengan tawa kecil.
Qisha Qaisara mengangguk, faham akan maksud Ariyani. Dia tahu kebanyakan dari mereka sering tiada di pejabat kerana banyak melawat tapak projek.
"So, kita nak lunch dekat mana ni?" Soal Qisha Qaisara apabila mereka sudah membolosi perut lif.
"Erm... apa kata kita lunch dekat kafe bawah, dia orang baru tukar tender minggu ni." Beritahu Ariyani memberi cadangan.
"Okay, jom. Sara tak kisah mana-mana." Balas Qisha Qaisara tidak keberatan. Dia bukannya jenis cerewet bab makan.
"Nak tahu tak? Kebetulan betul Sara masuk hari ni, semua ada tadi. Rezeki Sara lah dapat berkenalan dengan abang-abang architect dan engineer kita." Sakat Ariyani dengan sengih mengusik.
Qisha Qaisara ketawa mendengarnya. Ingat dia datang mahu mencari jodohkah? Tapi jujur dia katakan, dia selesa dengan Ariyani. Meskipun baru beberapa jam berkenalan, gadis genit itu sangat ramah dan periang. Buat dia selesa untuk berteman dengannya, sekaligus penghibur suasana di pejabat.
"Yani dah lama ke kerja sini ke?"
"Ermm... baru tiga tahun. Kenapa?"
"Tak ada apa, saja tanya." Qisha Qaisara pantas menggeleng perlahan sebelum tangannya lincah menyenduk lauk ke dalam pinggan yang sudah diisi nasi putih. Setelah membayar, mata masing-masing mula mencari tempat kosong. Kafe yang agak padat dengan orang ramai yang berpusu-pusu mahu membeli makan tengah hari menyukarkan mereka untuk mendapatkan tempat duduk.
"Yani, hujung tu." Tunjuk Qisha Qaisara ke arah satu meja yang mula ditinggalkan sekumpulan pelanggan.
"By the way, sorry ya kalau Yani tanya." Ariyani kembali membuka bicara setelah mereka sudah mengambil tempat duduk. Suasana kafe yang agak hingar-bingar dihiraukan.
"Sara dengan boss tu ada hubungan apa-apa ke?"
Tersedak Qisha Qaisara mendengar soalan yang ditujukan padanya. Dia terbatuk-batuk kecil dengan serkap jarang Ariyani. Gelas yang berisi air sirap limau diteguk rakus. Menghilangkan perit tekak yang terasa di celah kerongkong.
"Haa? Apa maksud Yani?" Soalan kembali dibalas dengan soalan.
"Bukan apa, selalunya H&H Holdings tak pernah pakai orang dalam untuk jawatan kosong. Tuan Hilman tu tegas orangnya. Walaupun sekarang Encik Qaliff dah ambil alih, tetap juga bukan sembarangan orang yang dapat bekerja di sini. Kebanyakan pekerja di sini adalah graduan luar negara, ada degree dan qualification mantap. Tapi masa diberitahu akan ada staf baru, itu yang Yani terkejut sikit sebab tiada temu duga yang diuar-uarkan,"
"Tapi Sara jangan salah faham tau... Yani tak cakap yang Sara tak ada qualification sebab tak interview. It's just that, Yani curious how can you pass without interview. Sara macam something special je pada family Tuan Hilman." Pantas Ariyani memperbetulkan ayatnya apabila Qisha Qaisara sudah senyap membisu. Risau jika kenalan barunya itu salah faham dengan niat dia bertanya.
"Err..." Qisha Qaisara mati kutu. Dia tidak tahu apa yang dia harus jawab. Kalau diikutkan, memang kerana keluarga mereka berdua rapatlah dia dapat peluang bekerja di syarikat ini.
"I knew it! Encik Qaliff tu husband Sara kan?" Tebak Ariyani dengan yakinnya. Senyum bangga ditayang konon apa yang diteka itu benar belaka.
Tak mampu tahan geli hati, Qisha Qaisara menghambur tawa dengan telahan Ariyani yang jelas melencong jauh. "Apa Yani merepek ni?" Tukas Qisha Qaisara bersama sisa tawa.
"Alaaa... macam dalam drama yang selalu relay in silent, lepas tu selalu gaduh then lama-lama sayang. Eee bestnya!"
Semakin galak Qisha Qaisara ketawa melihat Ariyani yang sudah tersenyum dengan angan mat jenin yang diciptanya sendiri.
Qisha Qaisara menggeleng perlahan. Amboi lahai Ariyani ini, suka hati saja mahu menyamakan hidupnya seperti di dalam drama. Ini realiti kehidupanlah, tak seindah yang diimpikan.
"Ya Allah... tak ada maknanya Yani oi." Pangkah Qisha Qaisara mematikan keterujaan si rakan sekerja.
"Ohh, tak eh?" Gadis itu pula sudah termalu sendiri. Sengih ditayang dan kepala yang tidak gatal digaru perlahan sebelum akhirnya mereka berdua tertawa bersama.
Makan tengah hari itu dijamah penuh berselera berselang-seli dengan celoteh dan lawak hambar dari Ariyani. Tentang perihal kerja sehinggalah ke peribadi, semua gadis itu sembangkan. Benar-benar mulut murai, tak reti senyap! Ada saja topik yang mahu diulas dan Qisha Qaisara pula hanya menjadi pendengar setia si rakan barunya.
YOU ARE READING
Penantian Yang Bersisa
RomanceBerkawan tak semestinya bercinta, rapat tak bermakna saling suka. Begitu jugalah ceritera Qisha Qaisara dalam menyembunyikan sebuah rasa. Bagi dirinya, cukup mencintai si dia dalam diam tanpa ada orang yang tahu selain aku dan Tuhan. Jika ini adalah...