"SARA, kau marah aku lagi ke?" Soal Qaliff Yusuf cuba untuk membuka bicara. Janggal bila masing-masing hanya diam sesama mereka.Diam. Wajah pun langsung tidak dipaling.
Qaliff Yusuf mengeluh lemah. Nampak sangat Qisha Qaisara masih marah padanya. Sejak dari kejadian di mana dia terbaca diari gadis itu, Qisha Qaisara seakan melancar perang dingin dengannya. Entah apa yang dimarahkan sangat soal diari itu, Qaliff Yusuf sendiri tak faham.
"Sara..." Panggil Qaliff Yusuf lagi. Kali ini lebih meleret.
"Bisinglah kau ni! Sara, Sara, kenapa?" Selar Qisha Qaisara rimas. Dari tadi duk memanggil-manggil nama dia, serabut tahi telinga mendengarnya.
"Aku tanya... kau marah aku lagi ke?"
Qisha Qaisara mencebik. "Jangan nak perasanlah,"
"Habis, kau macam tak nak bercakap dengan aku je?"
"Tak... kan masih awal pagi, aku tengah tak ada mood nak bercakap sangat." Bohong Qisha Qaisara. Sebenarnya dia sedang tahan malu, entah apa tanggapan lelaki itu padanya.
Qaliff Yusuf mengangguk perlahan, mengiakan alasan Qisha Qaisara walaupun dia sedikit tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi.
Dalam pada Qaliff Yusuf masih dibaluti perasaan serba salah, Zafran tiba-tiba datang menghampiri dan dengan sengaja mencelah di antara mereka.
"Selamat pagi Sara saya!" Sapa Zafran ceria lantas menghadiahkan senyuman manis semanis gula buat si gadis yang dia suka. Langkah Qisha Qaisara disaingi rentaknya kerana ingin berjalan bersama.
Qaliff Yusuf di sebelah sudah menjeling. Sara dia? Sejak bila Sara menjadi hak milik dia? Perah santan sungguh!
"Aik, Sara je kau sapa? Aku ni apa? Tunggul kayu ke?" Bidas Qaliff Yusuf bengang bila Zafran buat tak nampak dia. Mana tidaknya, hendak mengucapkan selamat pagi pun pilih bulu!
Namun begitu, Zafran seakan buat tak tahu saja. Makin menyirap darah Qaliff Yusuf dibuatnya dengan sikap si rakan. Sudahlah dia tidak dipedulikan dari tadi, sekarang malah dipulaukan lagi. Haihh!
"Pagi Khai, awal hari ni? Selalunya nama kau sajalah yang penuh dekat buku disiplin tu." Ujar Qisha Qaisara dengan tawa halus sambil mulutnya dituju pada pondok pengawal. Bukan tak tahu tabiat nakal lelaki itu yang suka memanjat pagar belakang sekolah kerana sering terlewat. Alih-alih ditangkap juga dengan guru disiplin. Itulah yang dikatakan sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Zafran menayang sengih.
"Hari ni sebab ada perhimpunan, lagipun sejak akhir-akhir ni ada si manis yang bagi semangat untuk aku datang awal." Bijak Zafran memberi alasan dalam masa yang sama menyelit tanda bahawa hatinya sedang dilamun cinta.
"Ohh wow! Khai dah ada awek ke?" Usik Qisha Qaisara.
"Belum jadi awek, crush!" Zafran memperbetulkan sangkaan Qisha Qaisara.
Wajah Qaliff Yusuf semakin mencuka. Melihat Qisha Qaisara bergelak ketawa dengan Zafran , hatinya mula cemburu. Dua manusia itu saling bergurau tak henti tanpa mempedulikan kewujudannya di sisi.
DI rumah, Qaliff Yusuf termenung memandang bilah kipas yang berpusing di atas siling. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini dia kerap kali rasa cemburu dengan Qisha Qaisara. Ada satu perasaan tidak enak setiap kali melihat gadis itu berteman dengan lawan jenis selain dirinya.
Tak akanlah aku suka padanya pula? Ah, tak mungkin. Hati aku kan sudah ada pada Yasmin Rania, bantah si akal. Masakan tiba-tiba berpaling pada Qisha Qaisara yang sudah dianggap sebagai adik-beradik yang tak pernah dia ada.
Teringat pada gadis itu, Qaliff Yusuf tersenyum sendirian lantas terbayang sosok Yasmin Rania di ruang legar mata. Wajahnya yang ayu dan polos, peribadinya yang lembut dan sopan, serta senyumannya yang sentiasa bikin mabuk kepayang. Benar-benar sempurna!
Jikalau Yasmin Rania menjadi miliknya, pasti dia akan menjadi insan yang paling bahagia.
Tidak dinafikan masih ramai gadis yang cantik di pandangan mata, tapi hatinya lebih tertarik pada raut wajah Yasmin Rania sahaja.
YOU ARE READING
Penantian Yang Bersisa
RomanceBerkawan tak semestinya bercinta, rapat tak bermakna saling suka. Begitu jugalah ceritera Qisha Qaisara dalam menyembunyikan sebuah rasa. Bagi dirinya, cukup mencintai si dia dalam diam tanpa ada orang yang tahu selain aku dan Tuhan. Jika ini adalah...