Baik buruk kisah silam adalah takdir yang telah ditetapkan-Nya untuk kita. Untuk menguji jalan yang kita pilih, sama ada kita mahu menghampiri-Nya atau menjauhi-Nya. Membesar dalam bayangan kisah semalam menjadikan Aqil Zarfan seorang remaja yang bermasalah. Bicaranya kasar, gemar bersendirian dan sering melanggar peraturan sekolah. Anehnya, kerapkali kehadiran Zarfan mengingatkan Cikgu Fatih pada arwah pelajar kesayangannya dan Batch Lagenda. Walhal mengikut kiraannya mereka tiada pertalian. Umar... Seorang pemuda misteri yang tiba-tiba muncul dalam hidup Zarfan. Wajahnya yang sering ditutup dengan topi atau kaca mata itu membuatkan Zarfan tertanya-tanya. Lebih menghairankan lagi, dia rasa selamat setiap kali berada dekat dengan pemuda itu. Rahsia demi rahsia terbongkar membuatkan kekeliruan yang ada semakin kusut. Tatkala semua teka-teki telah dileraikan, Umar pula menghilangkan diri. Zarfan berduka, Cikgu Fatih menyalahkan diri dan Batch Lagenda diselubungi penyesalan yang tiada pengakhiran. Andainya kelam semalam terus menghantui mereka sehingga ke hari ini, bisakah mereka melihat sinar di hari esok? Mampukah Zarfan menerima Umar? Apakah Umar akan memaafkan Batch Lagenda? Adakah doa Cikgu Fatih akan dikabulkan? Semuanya terjawab di dalam Kelam Semalam...