BAB 6

2.3K 88 0
                                    

BAB 6

AKU mengetuk pintu bilik Adri beberapa kali. Bila tiada responsnya, aku pulas saja tombol pintunya. Redah masuk. Macam tak biasa pula. Aku satu-satunya insan yang dibenarkan oleh Adri untuk berbuat seperti itu.

Mata meliar ke segenap ruang. Katil masih rapi. Bilik air tiada sebarang bunyi. Maksudnya, Adri tiada di dalam biliknya. Berkedut sedikit dahiku dibuatnya. Ke mana suamiku itu? Takkanlah tak habis-habis lagi?

Aku yakin dia berada di studionya yang terletak di bahagian teres terbuka. Namun, tempat itu sedikit diubah suai oleh Adri. Dibina dinding berasaskan kaca di sekeliling ruangan itu. Ruang tertutup tapi memberi pemandangan jelas di luar. Tempat Adri mencari ilham.

Lantas kaki diorak ke tingkat atas. Ke arah studio Adri. Studio Adri memang cantik, sederhana besar saiznya. Lantainya diperbuat daripada kayu jenis white oak. Ada satu piano berwarna putih berada di tengah-tengah ruang. Beberapa alat musik lain seperti gitar, gitar eletrik dan biola juga kelihatan. Itu semua memang kepakaran Adri.

Di satu sudut, ada set meja kerja Adri berwarna putih. Nampak sedikit berselerakan dengan bermacam-macam kertas. Ada yang digumpal-gumpal. Aku menggeleng kepala melihatnya. Itu tanda Adri sedang menggubah lagu baru.

Tak kurang seminggu lagi, satu majlis pelancaran lagu single terbaru Adri akan diadakan. Gara-gara itulah Adri memang selalu berkurung di sini sekarang ini. Hanya nampak dia keluar untuk makan, mandi dan solat. Kadang-kadang tidurnya pun di sini.

Macam sekarang. Geleng kepala sendiri aku melihat Adri yang sedang tidur di atas sofa loveseat biru lembut itu. Tubuhnya yang tinggi menyebabkan kakinya terjulur melebihi hujung sofa. Nampak sangat tak selesa. Tapi inilah pemandangan yang selalu aku nampak tiap kali menjengah masuk ke dalam bilik ini.

Belum berniat mahu menganggu lena Adri, aku mengatur langkah senyap ke arah Adri. Automatik tersenyum sendiri bila melihat wajah kacak Adri dalam mata terpejam itu. Kenapa? Entahlah.. aku pun tak tahu. Gembira melihat wajah insan yang paling aku cintai perlukan alasankah?

Lantas aku duduk bersimpuh di depan Adri. Dia yang memang tidur dengan kepalanya ditoleh sedikit ke kiri buatkan wajah kami betul-betul bertentangan kini. Posisinya juga buatkan rambut hitamnya sedikit menutup mata kanannya.

Tangan gatal menguis hujung rambut lembut Adri itu. Dia masih diam tak berkutik. Makin lebar senyumku. Satu yang aku faham tentang Adri kalau dia dah tidur. Boleh tahan juga tidur matinya. Bukan jenis yang senang terjaga bila diusik.

Aku rapatkan pula wajah kami itu. Dengan penuh lembut, aku mencium dahinya sekali. Sesuatu yang hanya aku akan lakukan bila dia sedang tidur. Selalu juga aku buat macam itu tanpa pengetahuan Adri. Hanya mampu curi-curi mencium dahi atau pipinya. Tapi, itu pun sudah cukup buatkan hati wanitaku gembira.

Adri masih pegun. Langsung tak bergerak. Macam yang aku cakap tadi, tidur dia sejenis yang letak bom kat sebelah pun tak dengar. Dan belakangan ini selalu penat fikiran, memang macam sedang hibernasilah gayanya. Beberapa saat aku hanya tenung wajah pemilik hatiku itu. Tanpa rasa bosan sikit pun.

Perhatianku beralih pada meja kecil di hadapan sofa itu. Ada satu muk hitam yang sudah kosong. Mungkin Nescafe Adri. Di sebelahnya pula ada iPod berwarna biru bersama satu AirPods Max. Aku kenal iPod itu. Selalu dibawa Adri ke mana-mana. Harta kesayangannya. Aku tahu di dalam-nya tersimpan lagu-lagu kegemaran Adri. Juga beberapa rakaman irama dan tempo yang boleh digunakan sebagai latar belakang musik untuk lagu. Dicipta sendiri oleh Adri tentunya.

Aku tak tahu macam mana bakat seorang pemusik seperti Adri. Ada kala digubahnya lirik lagu dan barulah disetkan irama dan tempo yang kena dengan lagu itu. Ada kala disetkan dulu musik latar belakang, dan kemudian barulah mencari ilham untuk mencipta lirik lagu.

Macam sekarang. Adri memberitahuku dia sudah punya musik latar belakang tapi masih mencari lirik yang sesuai. Sudah ada tema dan dalam proses untuk menggubahnya. Dan kemu-dian diteruskan dengan proses merekod di studio rakaman.

Mungkin dah siap?

Aku capai iPod biru itu, lalu aku sarungkan fon kepala itu. Pastikan telingaku rasa selesa dulu. Tangan menyentuh-nyentuh skrin kecil iPod itu sehinggalah bertemu apa yang aku cari. Ikon play ditekan, lalu kedengaran musik asing yang agak perlahan. Hanya ditemani oleh bunyi piano. Tak bermelodi. Aku kira inilah irama musik untuk lagu terbaru Adri.

Adri merupakan penyanyi yang serba boleh. Boleh menyanyi banyak genre lagu meman-dangkan suaranya memang sedap dan vokalnya mantap. Tapi Adri lebih memilih balada sebagai genre yang paling dia suka. Katanya lebih bebas dan kena dengan jiwa.

Setelah mendengar irama musik dari iPod itu, aku boleh jangkakan lagu baru Adri nanti agak sentimental. Jiwang. Tertanya-tanya juga macam mana hasil akhirnya. Nampaknya, aku terpaksalah tunggu di majlis pelancaran itu nanti.

Aku tanggalkan fon kepala dan letakkan kembali di atas meja itu. Kemudian pandang wajah Adri yang masih dibuai mimpi itu. Tak tahu nak kejutkan atau tak. Takut dia baru saja terlena dan aku mengganggunya. Tapi, kalau betul mahu tidur rasanya katil di dalam bilik tidurnya jauh lebih nikmat. Lagipun, sekarang pun sudah malam.

Jadi, jangan dustakan nikmat itu! Lalu aku buat keputusan untuk mengejutkan saja Adri. Baru saja aku mahu menggoncang bahu Adri, mata menangkap sesuatu berwarna putih di bawah tangan Adri yang terletak di atas perutnya itu. Nampak macam kertas.

Terus disapa rasa ingin tahu. Tangan tanpa berfikir panjang terus saja mencapainya. Macam yang aku agak, kertas. Agak keras dan licin. Bagaikan gambar. Kemudian aku menterbalik-kannya.

Dan sebaik saja aku melihatnya, hatiku diusik bermacam-macam rasa. Hanya kerana pasangan yang tampak bahagia dalam gambar itu. Lelaki itu adalah Adri dan wanita itu yang pastinya bukan aku. Tapi, itu adalah Dara, bekas kekasih yang masih dicintai Adri itu.

Gambar itu adalah memori indah mereka. Ketika mereka sama-sama saling menyintai.

Dan dadaku rasa sesuatu yang berat menghempap. Sebak berbenih halus tapi makin memekar bila aku menarik nafas. Aku tahu rasa ini. Aku.. cemburu!

Aku cemburu dengan sebuah kenangan!

Dan mataku rasa mula berair tanpa sempat aku kawal. Hatiku pilu. Rasanya seperti aku baru menangkap suamiku curang, walaupun bukan itu yang terjadi.

Aku selalu tahu cinta Adri masih untuk wanita itu. Tapi melihat dengan mataku sendiri bahawa Adri belum dapat melepaskan segalanya, aku tetap sedih dan kecewa.

Sakit.

Aku tahu aku tak layak merasa semua ini. Tapi, rasa hatiku sekarang ini di luar kawalanku. Dia sedang mementingkan diri sendiri dan mengikut rasa apa yang dimahukannya. Teng-gelam dalam kekecewaan yang paling dalam. Dia sedang bersedih. Dia sedang berduka. Dia rasa dikhianati walaupun dia sedar hati lelaki yang dicintainya itu bukan miliknya.

Gambar di tanganku melorot jatuh ke atas lantai. Mungkin apa yang aku saksikan tadi bukan setakat membunuh jiwa ragaku tetapi juga kekuatan tanganku. Tiada daya. Mujur saja gambar itu terlungkup menghadap lantai, hanya belakangnya yang putih itu menjadi santapan mataku. Tapi imej penuh rasa cinta dan bahagia mereka akan tetap terpatri dalam mindaku.

Sesuatu yang tak mungkin aku akan capai dengan Adri sekarang ini.

Aku tahu aku tiada hak. Aku tahu semua itu sudah lepas. Tapi, yang lepas itulah yang sedang menghalang Adri daripada menjalani masa depannya. Aku tersepit gara-gara kenangan lalu yang Adri enggan lepaskan.

Dan dia kata dia sedang mencuba!

Wajahku bertukar keruh apabila memikir-kan semua itu hanyalah ungkapan Adri sahaja.

Kecewa.

Aku kuatkan kaki untuk berdiri. Tunduk memandang wajah Adri sekali. Lalu air mata yang aku tahan tadi mengalir di pipi. Cepat-cepat aku kesat dengan belakang tapak tangan.

Aku perlukan ruang untuk tenangkan kembali hati rawanku ini. Dan tanpa membuang masa, aku pusingkan kaki lalu melangkah keluar dari ruangan itu.

E-BOOK: KOMBO HEROIN (SAMPLE)Where stories live. Discover now