BAB 8

3.1K 95 3
                                    

BAB 8

AKU masuk ke dalam tandas wanita. Sebaik saja aku berdiri di hadapan singki, segala rasa yang ditahan tadi kembali muncul. Terngiang-ngiang lirik lagu Adri tadi, terbayang-bayang ekspresi penuh perasaan Adri tadi. Hatiku menjadi pedih kembali. Dan kesannya, ada air mula bertakung di kolam mataku. Makin ditahan, makin bergenang air mata. Sudahnya, aku lepaskan saja.

It's just a song, Mel!

Aku cuba memujuk diri sendiri. Berkata supaya menjadi orang dewasa dan matang. Jangan terasa hati atau cemburu dengan lagu itu. Jangan terlampau sensitif! Pelbagai kata-kata positif aku tanamkan supaya hati cekal dan cepat terpujuk.

Tapi, bila terbayangkan kembali ekspresi wajah Adri yang jelas-jelas masih cinta itu, mataku tewas kembali. Lantas terbayang pula apa yang aku ketemui di dalam studio Adri dulu. Adri sedang melayan kenangan mereka. Sekarang aku tahu ertinya. Kisah mereka diabadikan dalam sebuah lagu.

Adri sedang rindukan Dara ketika itu. Malah, mungkin itulah kerjanya sepanjang berada di dalam studio itu.

Dan aku tahu kenapa aku menangis teruk sekarang ini. Semuanya gara-gara terlalu lama memendam rasa. Aku tak pernah okey setelah kejadian di studio Adri dulu. Aku makan hati sendiri tanpa diketahui Adri. Aku cuba mengelak, aku cuba nampak bahagia di hadapan Adri. Tapi lukaku tak pernah sembuh. Sehingga sekarang, hatiku masih berdarah.

Dan lebih menyakitkan, aku tak mampu salahkan Adri. Aku salahkan diriku sendiri yang pentingkan diri sendiri dan cepat terasa hati. Sedangkan aku memang tahu hala hati Adri selama ini.

Bukan untukku.

Bunyi pintu ditolak buatkan aku tersentak dan tersedar ke alam nyata. Terus aku sapu air mata dan memusingkan tubuh untuk mem-belakangkan pintu. Cemas juga. Aku tak mahu sesiapa melihat aku menangis di sini. Risau terbit pula macam-macam spekulasi. Meskipun aku sedang emosi tapi akalku masih waras lagi.

Lalu aku cepat-cepat melangkah ke arah partition tandas. Mahu menyorok di situ dulu.

"Mel!" Suara yang cukup kukenali itu buatkan langkahku automatik terhenti. Dapat kudengar langkahnya yang makin menghampiri. Beberapa saat setelah itu, terasa lenganku disentuh dan dipaksa untuk berpusing sedikit. Aku hanya ikutkan saja.

Dan sebaik saja mata berlaga dengan anak matanya, air mataku kembali deras.

"I dah agak dah!" Keyra mengeluh perlahan. Serahkan tisu kepadaku.

Aku hanya menyambutnya dan mengelap bawah mataku. Aku tahu mekapku sekarang ini mungkin serupa mak lampir, tapi aku tak ada masa untuk fikirkan semua itu. Emosiku berkecamuk.

Beberapa minit Keyra membiarkan aku menangis. Dan aku lega bila sepanjang-panjang itu, tiada seorang pun yang masuk ke tandas. Mungkin takdir menyebelahiku, mahu aku meluah rasa sehabis-habisnya sebelum kembali berlakon okey. Tayang senyum plastik dengan yakinnya setelah ini.

"Sebab Adri lagi, kan? I penat tau nak tengok you macam ni," bebel Keyra setelah tangisanku reda.

Aku hanya diam. Mengesat-ngesat hujung mataku dengan tisu. Hapuskan sisa-sisa air mataku. Rasa mataku kini panas dan bengkak. Aku yakin pasti timbul urat-urat merah, kesan baru lepas menangis.

"Bukan salah Adri, Key." Aku membela Adri.

Kedengaran satu dengusan kecil dari Keyra. Aku hanya biarkan saja. Keyra sendiri tahu kisah kami. Malah, dialah yang menguruskan segalanya selama ini. Dia selalu ada dengan aku, harus saja tahu semua tentang aku. Termasuklah sebab kenapa aku berkahwin dengan Adri. Juga tentang perasaan cintaku pada Adri.

Dia dan Yuza, pengurus Adri. Rahsia kami ada dalam kocek mereka.

Seawalnya Keyra sendiri kurang bersetuju dengan keputusanku untuk mengahwini Adri. Risau aku makan hati sendiri. Tapi, aku yang degil, sanggup mengambil risiko itu demi cintaku pada Adri. Jadi, memang apa yang baru aku katakan tadi memang betul pun.

E-BOOK: KOMBO HEROIN (SAMPLE)Where stories live. Discover now