#14:

23 2 0
                                    

Mula Tulis: 14 Julai 2022 (09:53AM) - Khamis
Ketika sedang cuba untuk mengumpul kekuatan.

Ayah dah tak ada.

Tiada lagi gurau senda darinya.

Tiada lagi nasihat tentang kereta darinya.

Tiada lagi cerita pengalaman ketika kecil darinya.

Tiada.

*******

13 Julai 2022.

3:45AM

Ibu mengejutkan aku dari tidur. Katanya ada panggilan telefon. Terus hati aku berdegup kencang. Segera, aku capai telefon dan dalam masa yang serentak, ia berdering sekali lagi.

Telefon diangkat.

"Hello, boleh saya tahu saya bercakap dengan siapa?"

"Saya Hakim, anak kepada En Ramlee."

"Baiklah, saya nak maklumkan yang Ayah encik dah berjaya masuk dekat wad pukul 12:35am tadi. Sebab baru ada katil yang kosong. Tapi rawatannya dialisisnya akan bermula esok pagi sebab perlukan doktor."

Aku sedikit lega. Okay, baiklah.

Betapa aku berharap beritanya cuma berhenti ke setakat itu.

"Tapi minta maaf ya encik. Pada jam 2:59AM tadi, degupan jantung ayah encik terberhenti. Kami dah cuba macam macam cara, tapi masih lagi tak berdegup,. Ayah encik dah tak ada. Saya minta maaf banyak-banyak."

Air mata aku sudah tidak mahu berhenti mengalir.

"Jadi macamana encik? Saya nak uruskan macamana?" ujar aku sambil tersedu-sedu. Aku menjeling pada ibu. Ibu tidak menangis lagi, tapi dia sedang bersedia.

"Kalau encik datang sekarang pun tak boleh buat apa, sebab proses pun ambil masa dalam 2 jam macam tu. Sebab Covid kan. Encik datang dalam pukul 6 pagi pun okay. Sekali lagi ya Encik, kami minta maaf."

Telefon diletakkan. Aku dan ibu terus berpelukan.

"Ibu, ayah dah takda. Ayah dah meninggal Ibu."

"Ya Allah, Hakim, Ibu macamana Hakim? Ibu macamana?"

Dunia kami gelap.

Gelap, segelap gelapnya.


*******


Aku tiba di Hospital Serdang pada jam 7:05AM. Beberapa panggilan di buat kepada sahabat aku, Afiq. Dia adalah individu yang menguruskan jenazah-jenazah yang ada di sekitar Puchong.

Aku diberitahu yang urusan akan bermula pada jam 10 pagi.

"Kau baliklah dulu. Pergi makan. Jangan tak makan," ujarnya.

Aku duduk di tepi. Tak sampai hati rasanya hendak balik. Ayah seorang dari malam aku menghantar ke hospital, sampailah sekarang dia seorang dalam tu. Tak ada siapa temankan dia. Ayah mesti tengah sejuk. Sebab ayah selalu tak tahan sejuk.

Aku sedih sangat. Air mata tak berhenti mengalir.

Aki telefon dan aku mengangkatnya.

"Hakim sabar ya."

Aku tidak pernah marah pada semua jenis nasihat tentang bersabar. Dan bagaimana semua pihak memberitahu kisah kehilangan mereka.

Cuma mereka tidak akan faham tentang apa yang aku sedang rasa sekarang. Aku kehilangan pintu untuk hidup aku diberkati. Aku dah tak ada ayah.

Aku dah tak ada ayah.

*******

Aku tiba semula ke hospital pada jam 10:20AM. Ketika aku sedang hendak minta pas masuk, aku menerima panggilan memberitahu meminta aku mengalihkan kereta. Kerana sebentar tadi, memang aku parking kereta menutup kereta orang lain. Yang tahu atau pernah ke Hospital Serdang akan faham tahap sesaknya kawasan tempat letak kereta di Hospital Serdang ni.

Aku terus berlari ke arah kereta.

Selepas meminta maaf, dia memberitahu.

"Adik masuk sini pulak ya. Masuk parking saya ni."

Ya Allah, kau permudahkan urusan aku hari ini.

Kalau panggilan ini aku terima ketika aku sedang menguruskan jenazah atau ketika di tanah perkuburan, mesti lagi serabut.

Aku lupa memberitahu mengapa aku meilih sahabat aku untuk menguruskan Allahyarham ayah aku. Seperti sedia maklum, ayah aku merupakan mangsa pada Covid durjana. Jika mengikut SOP, aku tidak dibenarkan masuk pun. Tapi atas kenal dan rasa ihsan pada kami sekeluarga, kami diberikan suit PPE untuk turut sama memandikan dan mengurskan Allahyarham.

Aku bersyukur kerana diberikan peluang untuk menguruskan ayah aku untuk kali terakhir. Ketika kain dibuka untuk mengesahkan Allahyarham ayah, aku menangis lagi. Ya, itu ayah. Yang sedang terlantar sambil tersenyum itu adalah ayah. Aku hampir jatuh pengsan, tapi aku perlu kuat dan bersedia untuk Ibu. Kalau-kalau Ibu yang pengsan, lagi bahaya.

Tapi, Ibu betul kuat pada saat itu. Aku yang lebih banyak mengalirkan air mata berbanding Ibu.

Ketika memegang tubuh Allahyarham, sejuk sangat. Aku tak tahan dan aku menangis sekali lagi.

Kesian ayah.

"Kau nak jadi imam untuk ayah kau?" tanya Afiq pada aku.

Aku mengangguk.

*******

Kami tiba di perkuburan USJ 22 pada jam 12:30PM.

Selesai semuanya dalam pukul 1:00PM.

Secara rasminya, aku sudah tidak ada ayah di dunia ini. Dan ayah aku, telah pergi ke Negara Abadi untuk selamanya.

Jika kalian ada melalui kawasan Perkuburan USJ 22, minta tolong sedekahkan Al Fatihah untuk Allahyarham ayah saya ya.

Terima kasih.


Tamat tulis: 14 Julai 2022 (11:57AM) - Khamis
Ketika hati ini tidak merelakan ayah pergi.

Sembang Mikael (New)Where stories live. Discover now