#16: Selepas Ayah Tiada.

32 2 1
                                    

Mula Tulis: 28 September 2022 (12:06PM) - Rabu
Ketika ini rindu hendak menulis seperti dulu.


Aku tak pernah bagitau sesiapa hal ini. Tapi aku ingin sampaikan kepada kalian yang membaca. Selepas ayah sudah tiada, aku lebih banyak menghabiskan masa dengan termenung. Di kebanyakan masa, permikiran aku akan bersifat rambang. Ada masa, aku boleh terfikir hal-hal sedap seperti kalau la tiba-tiba aku dihadiahkan RM1 juta oleh seorang jutawan yang sedang bosan. Pasti aku akan ambil masa sehari untuk merancang segala jenis plan kewangan yang baik, hanya untuk aku berbelanja secara boros dan menggila pada keesokkan harinya.

Dan ada masanya, aku memikirkan hal-hal serius seperti cara aku melalui alam pekerjaan sekarang.

Untuk pengetahuan, aku ditempatkan di Kulim, Kedah. Setiap minggu, aku perlu ulang alik sama ada Kulim - Puchong (hometown) atau Kulim - Palong (hometown kedua).Sebab tak ada orang yang boleh tengokkan ibu aku selepas Ayah dah tak ada. Tambahan lagi, rindu yang membuak pada isteri ni memang jarang dapat ditenangkan lebih dari seminggu.

Masa awal-awal tu, aku berkeras nak memandu kereta. Lantaklah berapa jam pun. Sebabnya, aku boleh kawal bila masa aku nak bertolak. Tapi, bila kereta ayah aku tu dah mula tunjuk ciri-ciri nak merajuk, aku ubah strategi dan naik ETS. Nak merajuk lah kalau bila masuk gear 1 pun, dia boleh bantai semput. Aku rasa kalau kereta ayah aku boleh tunjuk emosi, mesti sekarang dia tengah menangis. Dalam permikiran dia bila selepas tahu ayah dah tak ada, dia akan melalui hari-hari yang rileks tanpa perlu dipandu oleh sesiapa. Adakah dia terlupa ayah tu ada seorang anak yang bukan sahaja handsome malah mempunyai lesen memandu?

Aku dah cuba minta tukar semula ke HQ. Sekurangnya dekat sikit jarak aku pergi kerja. Dan banyak kos yang dapat dijimatkan. Walaupun ada satu downside-nya, iaitu gaji aku akan berkurang sebanyak RM1,000, tapi lagi better la. Dari ada RM1,000 tapi badan kau koyak. Sampai sekarang belum ada khabar berita yang positif. Baik sekarang aku cuba whatsapp bos aku si Michael tu. Kot kot dia terlupa tentang aku ke.

Dalam masa yang sama, aku juga ada hantar beberapa resume untuk pulang bekerja di Kuala Lumpur. Aku ada dapat satu panggilan dari syarikat Oil and Gas. Dua minggu lepas. Tapi sayang, minggu lepas dia call aku untuk update. Atas alasan yang sekarang company tengah tak ada project, dia minta aku kurangkan expectation gaji yang diminta. Aku fikir, belum masuk kerja pun gaji dah kena potong. Macamana entah kalau aku dah masuk nanti. Sudahlah aku diberitahu yang cuma ada aku sorang saja untuk position tu, yang akan cover seluruh projek syarikat. Aku belum sampai begitu terdesak untuk mengatakan ya pada tawaran itu.

Panggilan kedua aku dapat awal minggu ni, ketika aku sedang di hospital Serdang. Hendak menyelesaikan baki bil hospital ayah. Oh berkenaan hospital, aku cukup berterima kasih dengan kerajaan Malaysia.

Ketika itu, aku sedang duduk di kaunter. Sedang dalam proses hendak menyelesaikan urusan pembayaran. Kaunter sebelah pula, baru duduk seorang perempuan dalam usia 40 an mungkin.

"Maaf, anak saya dijangka keluar wad esok. Boleh ke kalau saya nak tengok berapa jumlah bil yang saya perlu bayar?"

Penjaga kaunter mengangguk. Selepas meminta IC dan maklumat pesakit, dia terus menekan beberapa butang di komputer.

"Kalau ikutkan, bil puan ni dah cecah RM2,000. Tapi disebabkan puan ada IC, makanya maksima cas yang saya boleh kenakan pada puan cuma RM500 sahaja."

Kau bayangkan. Berapa punya banyak pengurangan yang diperoleh.

Bil aku sendiri pun. Jumlah asal adalah sebanyak RM350. Kamu tahu, berapa je yang aku kena bayar?

RM4.

Memang tak masuk akal dan tak mungkin ada di mana-mana tempat lain, perkhidmatan hospital yang cuma dibayar serendah itu. Untuk itu, aku bersyukur kerana duduk di Malaysia.

Baik, baik. Berkenaan dengan panggilan kedua itu. CV aku berjaya di shortlisted dan headhunter aku nasihatkan untuk study beberapa term construction yang mungkin akan ditanya nanti semasa IV. Jadi sekarang, aku sedang menunggu dan menunggu. Kalau-kalau ada tertulis rezeki aku untuk pulang semula ke kampung halaman.

Jika dapat, Alhamdulillah.

Jika tidak, aku akan berusaha lagi.

Kalian doakanlah supaya hidup aku dipermudahkan. Kerana selepas ayah dah tiada, aku banyak menghabiskan masa dengan termenung. Di kebanyakan masa, ia bersifat rambang.

Kadang-kadang hal yang bersifat sedap, contohnya kalau tiba-tiba aku berjaya menyiapkan novel-novel yang aku janji nak selesai tulis. Semua plot dah ada cuma dan susun atas kertas saja sekarang ni. Itupun banyak kali aku bertangguh dan tangguh. Dah selesai tulis, terbit, dan aku jadi kayaraya kerana karya aku tu diterima ramai. Sampai dijadikan filem lagi dan aku sendiri diambil sebagai pelakon utama. Mesti masa tu aku dah boleh sarapan nasi lemak lauk rendang ayam dua ketul hari-hari.

Ataupun ada masa aku termenung memikirkan hal-hal serius. Contohnya, jika ayah masih lagi sihat dan ada di sisi aku sekarang ni. Mesti dia akan suka nak dengar aku bercerita tentang kerjaya. Dan mesti selepas itu, dia akan nasihatkan aku sambil memberi contoh-contoh dari pengalaman dirinya sendiri ketika bekerja di sebuah Kilang Electronic di Subang Jaya.

Oh, Tuhan. Betapa aku rindu hendak mendengar suaranya sekali lagi.

Semoga kalian semua dipanjangkan peluang untuk terus menerima doa dari ayah dan Ibu kalian.

Amin.

Tamat tulis: 28 September 2022 (12:42PM) - Rabu
Ketika hati ini percaya yang Allah masih menyayangi aku.

Sembang Mikael (New)Where stories live. Discover now