#7: Kedai makan yang pemiliknya sukar hendak mengingat wajah para pelanggannya

124 9 2
                                    

Ada sebuah kedai makan yang separa usang di tepi laut Pengerang. Dijaga oleh seorang lelaki tua yang sukar hendak mengingat wajah pelanggannya. Datanglah beberapa kali pun, besar kemungkinan dia langsung tidak akan ingat pasal kau. Pernah sekali datang dua orang lelaki ke kedai, katanya kerap ke sini, dalam beberapa belas kali, meminta pesanan "macam biasa,", dan yang dibalas oleh orang tua itu ialah "apa yang biasa? Maaflah, pakcik susah nak ingat muka orang."

Aku melihat kejadian tu secara berdepan dan aku terpaksa berpura-pura kembali bermain telefon bagi mengelakkan lelaki tadi berasa amat malu. Boleh tahan celaka juga, mungkin faktor usia penjaga kedai itu turut memainkan peranan. Tetapi, aku lebih gemar menganggap yang pemilik kedai  ini langsung tak ambil peduli, atau dalam bahasa inggeris-nya, don't give a fuck.

Tidak banyak pilihan kedai yang ada pada waktu malam di kawasan sebegini. Jika kau pergi ke kedai berbeza pada setiap malam, kau akan selesai pada hari ke tujuh. Itupun jika kau mengambil kira kedai yang terkenal dengan sikap meletak harga seperti pemiliknya mahu pergi Haji balik hari. Satu Teh O Ais pun dicas RM2.50, tidakkah kau akan bersangka buruk?

Kedai lelaki tua ini, harganya patut, dan suasananya agak nyaman. Melayan pula angin di tepi laut yang tak pernah serik mencium pipi ketika kau menikmati makan malam, kau mungkin sedang hidup dalam impian seseorang di bandar besar sana. Itu sebab aku hadirkan diri juga di sini. Terutamanya tatkala sunyi dan aku mahu berbual dengan laut.

Pengerang.

Jika kau ditakdirkan bekerja di sini, hanya ada dua nasihat yang aku mahu berikan. Satu, perlu ada kereta. Dua, perlu diberikan rumah berinternet kelajuan tinggi yang ditanggung syarikat. Baru kau boleh hidup sebagai manusia yang sekali sekala sunyi, sekala sekala ada masa untuk diri sendiri.

"Berapa teruk kau punya sunyi?" tanya Khairul ketika datang melawat aku di rumah di Pengerang. Ketika itu, kami tengah nak keluar makan malam. Lalu aku ceritakan padanya tentang sebuah kedai makan milik lelaki tua yang sukar hendak ingat sesiapa, dan aku hanya datang ke kedai itu ketika sunyi.

Ketika sampai, lelaki tua datang mengambil pesanan.

"Macam biasa," ujar aku.

"Bihun Goreng daging dan Teh O Ais?"

Aku mengangguk.

Dan begitulah tahap sunyinya aku di Pengerang ini.


Ditulis pada 22 Jun 2019

Sembang Mikael (New)Opowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz