1

307 22 1
                                    

TERASA beg ditarik lembut dari arah belakang, Nelly lekas memalingkan tubuh. Beza dua langkah dari tubuhnya, seorang lelaki dengan tinggi 175cm itu sedang tersengih-sengih di dalam nafasnya yang pendek-pendek.

"Kalau hari-hari kau berlari macam ni mahunya jantung kau penat, Nas."

Nelly menjeling dan kembali melangkah ke arah pondok bas di depan bangunan pejabat. Lagi 10 minit untuk bas seterusnya tiba.

"Lagi penat kalau tak tengok muka kau dalam satu hari ni, Nelly." Selamba Anas membalas di dalam mengah. Punggung dilabuhkan berjarak seorang manusia di antara mereka berdua di kerusi menunggu.

Nelly mencebik. "Rindu setiap saat. Macam tu?"

"Yes! Absolutely correction!" Anas beria-ia mengangguk. Mata dikenyitkan di hujung tawanya.

Nelly melarikan mata. Buat-buat melihat bas yang belum kunjung tiba. Beginilah rutinnya dan Anas setiap hari. Pergi dan balik bekerja di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur ini menggunakan pengangkutan awam. Lebih jimat kos dan masa.

Anas. Lelaki bergaya santai dengan beg laptop yang tak pernah lekang dari bahu itu Nelly kenali di pondok bas ini hampir setahun. Kenal kerana sama-sama menunggu bas di waktu dan tempat yang sama pada setiap petang. Anas yang terlalu peramah dan murah dengan senyuman itu yang memulakan perkenalan mereka.

Tidak pernah Nelly jangka yang Nelly mampu untuk begini rapat dengan seorang kaum adam selama tempoh ini. Seorang wanita yang cukup bersederhana sepertinya, memang tidak ramai kawan lelaki. Yang ada tidaklah serapat Anas.

"Jom, bas dah sampai tu."

Suara Anas yang sudah pun berdiri itu mematikan lamunan. Lekas-lekas Nelly ikut berdiri, beratur di depan Anas yang memberikan dia laluan.

Masuk ke dalam bas, tempat duduk cuma ada satu yang kosong. Nelly berpaling memandang Anas dan Anas hanya mengisyaratkan matanya supaya Nelly cepat-cepat duduk di situ sebelum orang lain di belakang yang ambil.

Nelly duduk di bahagian luar dari tingkap. Di sebelahnya ada seorang lelaki. Nelly hulurkan tangan, mahu tolong meriba beg laptop Anas yang berdiri di sisi. Sebelah tangannya memegang tali pemegang di atas dan sebelah lagi tangannya memegang belakang kerusi Nelly.

Bas mula bergerak. Sesekali Nelly mendongak memandang Anas yang sentiasa menunduk memandangnya. Naik merah pipinya setiap kali mereka bertemu pandangan. Sesekali tubuh Anas bergerak ke depan apabila bas bergerak agak kasar kerana keadaan jalan yang sesak.

Sedang dia melihat keadaan luar melalui tingkap, dia terasa sesuatu yang bergerak di bahagian sisi paha. Nelly menjatuhkan mata di situ. Tersentak dia melihat lelaki di sebelahnya baru sahaja melarikan tangannya.

Berkerut kecil kening Nelly. Nelly yakin yang tangan lelaki itulah yang telah bergesel di pahanya tetapi dia tetap berfikiran positif yang mungkin lelaki itu tidak sengaja. Maklumlah, keadaan di dalam bas awam inikan sempit.

Terasa bahu dicuit, Nelly mendongak.

"Are you, okay?" soal Anas. Riak wajahnya nampak serius.

Nelly hanya tersenyum dan mengangguk. Mungkin Anas nampak dia yang tidak selesa. Lantas, Nelly membetulkan duduk dan memeluk erat beg Anas di dada.

Selang beberapa minit, sekali lagi Nelly tersentak. Kali ini Nelly terasa sesuatu yang menjalar di sisi paha. Laju kepala menoleh ke sisi. Wajah lelaki di sebelahnya beriak selamba sahaja tetapi tangannya merayap-rayap di paha Nelly!

"Dah lebihlah ni!"

Belum sempat Nelly mahu membuka mulut, tangan Anas terlebih dahulu mencekak kolar baju lelaki itu. Dada Anas betul-betul di depan muka Nelly kerana dia membongkok.

Kisah Putus CintaWhere stories live. Discover now