4

83 18 2
                                    

TELEFON yang bergetar di atas meja, Nelly capai laju-laju. Sengaja dia mengaktifkan mode senyap telefonnya itu kerana dia lebih gemar berbuat begitu. Tak suka bunyi telefon memecah kesunyian pejabat dan seterusnya menarik perhatian orang terhadapnya.

Jom? Aku dekat tempat biasa. - Anas.

Lebar senyuman Nelly. Cepat-cepat dia bangun dan mejanya dikemas sedikit sebelum mangkuk tingkat bekalan dari Puan Irda pagi tadi dicapai dari pantry. Pagi tadi, sampai sahaja di pejabat terus sahaja bekal itu dimasukkan ke dalam peti sejuk di pantry. Lagi 10 minit sebelum waktu rehat tengah hari tadi, Nelly sempat memanaskan terlebih dahulu di dalam ketuhar sambil menunggu mesej dari Anas.

Keluar dari bangunan pejabat, Nelly terus sahaja melangkah ke arah warung, tempat makan tengah hari yang pernah dia dan Anas pergi sebelum ini. Warung kegemaran Anas. Mata meliar mencari Anas tetapi lelaki itu nampaknya masih belum sampai, lantas Nelly memilih meja mereka terlebih dahulu.

Mangkuk tingkat dibuka satu per satu dan disusun rapi-rapi di atas meja. Ada sotong goreng kunyit, ayam masak sambal, sambal belacan. Semuanya Puan Irda yang masak. Nelly hanya mampu membuat telur dadar sahaja. Entahlah kenapa, mereka berdua sejak kebelakangan ini gemar pula makan tengah hari bersama-sama dan sesekali Puan Irda mengirim juga bekal untuk mereka seperti hari ini.

"Sorry, lambat!"

Nelly tersenyum mendengar suara Anas yang kedengaran sedikit mengah. Lantas, Nelly mendongak mencari wajah Anas namun senyuman Nelly memudar mendadak apabila bukan sahaja Anas yang ada di situ tetapi seorang gadis cantik yang sedang tersenyum manis di sisinya membuatkan Nelly tersentak.

"Hai, Nelly!"

Masih terkejut, kening Nelly berkerut-kerut. "Qasya? Kenapa Qasya boleh ada dekat sini?"

Uqasya ketawa mengekeh. Selamba, tempat di sisi Nelly diambil. Anas juga mengambil tempat di depan Nelly.

"Terkejut sangat muka tu. Kenapa? Nelly tak suka ke Qasya kacau kau orang berdua dating?" Seperti biasa, Uqasya dengan usikan nakalnya.

Berubah terus muka Nelly. Mata mencuri pandang ke wajah Anas namun riak wajah lelaki itu masih lagi selamba sahaja.

"Apa Qasya ni... Tak habis-habis..." Nelly berdecit geram. Curi-curi, paha Uqasya dicubitnya.

Tawa Uqasya semakin ligat. Muka merah Nelly sah menunjukkan yang kakaknya itu ada sesuatu dengan Anas. Tak nak mengaku!

"Wow... Ada bekal. Kenapa ibu tak bagi Qasya pun? Tak adil ni!" Mata Uqasya meliar di atas meja. Lauk-pauk yang dihidang oleh Nelly membuatkan dia kecur lidah.

"Jangan nak berdrama. Dah, pergi ambik pinggan. Tolong order air sekali dekat kaunter. Nelly nak lemonade!" arah Nelly. Malas nak cakap banyak. Waktu rehat bukan lama mana. Nanti lambat pula masuk pejabat semula.

"Ala..."

"Eh, tak apa. Aku pergi. Nelly, lemonade?" Belum habis Uqasya merengek, laju sahaja Anas mencelah. Tawar diri sendiri. Mata merenung redup ke arah Nelly.

Nelly mengangguk seraya tersenyum. Anas juga begitu sebelum wajah Uqasya pula dicari. "Qasya? Nak air apa?"

Mata Uqasya bersinar. Senyumannya juga melebar. Macam terlebih teruja!

"Barli suam! Terima kasih, Anas..."

Anas mengerdipkan matanya sekali sebelum dia berlalu. Hilang sahaja Anas, Uqasya terjerit kecil. Paha Nelly digoyang-goyang.

"Weh... Gentleman betul eh si Anas ni? Patutlah Nelly ..."

"Patutlah apa? Dah! Jangan nak mula."

Tahu apa yang mahu Uqasya katakan laju sahaja Nelly mencantas. Cukuplah. Hatinya sudah kembang habis tadi dengan layanan, suara dan pandangan Anas. Entah kenapa, ketika ini Anas nampak sangat berbeza di matanya. Anas yang berubah atau Nelly yang tak perasan selama ini?

Uqasya mencebik. "Eleh..."

Anas tiba dengan tiga buah pinggan yang telah diisi dengan nasi putih. Setelah itu, pesanan air mereka pun telah dihantar di meja. Usai bacaan doa makan, masing-masing diam menikmati hidangan. Nelly yang tidak biasa makan waktu tengah hari, memandang Anas yang nampak berselera dan Uqasya yang sesekali sibuk dengan telefon di tangan.

"Macam mana Qasya boleh datang sini sama-sama dengan Anas?"

Soalan Nelly yang tiba-tiba itu membuatkan Uqasya yang terleka dengan telefon nampak sedikit terkejut.

"Qasya tak bagi tahu Nelly ke?" Anas mencelah dengan mulut yang masih ada makanan.

Nelly terpinga-pinga. "Bagitahu apa?"

"Qasya kerja dekat syarikat aku lah. Tapi dia dekat department akaun."

Bulat mata Nelly. Air mukanya turut berubah. Sudah seminggu Uqasya memulakan kerja baharunya tapi kenapa Nelly tak tahu pun yang Uqasya bekerja di syarikat yang sama dengan Anas?

"Tak tahu pun?"

Uqasya sedut air minumannya seketika. Mukanya selamba sahaja walaupun muka Nelly sudah cemberut. "Qasya pun baru tahu. Pagi tadi ada briefing semua department. Terkejut nampak muka Anas dekat situ. Anas Senior designer dekat syarikat tu rupanya. Tak sangka."

"Hah tahu tak apa. Aku ingat siapalah budak perempuan yang sibuk lambai-lambai aku. Tak tahu ke briefing tu benda serius. Dia boleh main-main dekat situ. Rupa-rupa dak Qasya ni hah!" Anas ketawa-ketawa seraya membersihkan mulutnya dengan tisu. Pinggannya sudah licin. Kenyang!

Uqasya ketawa serentak dengan Anas. Nelly pula hanya mampu tersenyum. Masih cuba menghadam cerita yang baru sampai ke telinganya itu. Tak terfikir sebelum ini mahu bertanya tentang tempat kerja baru Uqasya.

"Lepas ni kalau Qasya nak join kau orang lunch macam ni boleh tak?" pinta Uqasya, berharap. Selama seminggu ini, dia hanya mengekor sahaja pekerja-pekerja seniornya. Agak membosankan juga sebenarnya.

"Baguslah. Lepas ni tak ada lah bosan asyik aku tengok muka kau, kau tengok muka aku." Anas menjawab, dituju untuk Nelly.

Nelly menjeling. "Kenapa? Kau bosan tengok muka aku?"

Ada nada berjauh hati sebenarnya tetapi bagi Anas, Nelly hanya bergurau. Buktinya, Anas kini sedang seronok ketawa.

"Mana boleh bosan. Kalau kau tak ada, ya aku rasa hidup aku ni tak ada cahaya." Anas buat drama. Muka diredupkan dan senyumannya dileretkan. Sepasang matanya terkedip-kedip memandang Nelly.

"Ceh! Sudah jangan nak melebih-lebih!" Akhirnya Nelly ikut ketawa. Menyampah pula dia dengan perangai Anas yang tiba-tiba gila macam ini!

"Wuuu..." Uqasya bersorak. Siap bertepuk tangan. Teruja macam budak-budak!

"Eh, alamak..." Tiba-tiba sahaja Uqasya mengeluh. Kunyahannya dilajukan dan air diteguk dengan agak gopoh.

"Tersedak nanti Qasya!" tegur Nelly. Dia pula jadi risau.

"Qasya nak kena balik office ni. Auditor dah sampai tapi dekat office tak ada yang dah masuk lagi." Berkerut-kerut kening Uqasya membaca mesej di dalam Whatsapp kumpulan kerjanya. Haih, disebabkan dia junior, dia juga yang diarahkan dan perlu mengalah.

Uqasya bangun. Beg duit di atas pahanya digenggam erat. Bersahaja, dia menunduk dan pipi Nelly dicium sekilas.

"Qasya, sekejap!" Nelly tahan lengan Uqasya. Seraya itu Anas dipandang. "Anas, kau teman Qasya balik office sekali lah? Boleh?"

Terjungkit kening Anas. Dia yang duduk bersandar tadi, segera tegakkan tubuh.

"Habis kau?"

"Tak apa. Kau orang gerak dulu. Aku dekat aje. Lepas kemas ni, aku gerak."

Anas mengangguk seraya bangun. Nelly dipandang seketika. Uqasya sudah pun menunggu di luar warung.

"Balik tunggu tempat biasa,'' pesan Anas sebelum dia berjalan mendapatkan Uqasya.

Nelly diam memerhati Anas dan Uqasya yang berjalan beriringan di bawah terik matahari. Bibirnya mengorak senyuman kecil.

Tempat biasa. Satu-satunya tempat pertemuan Luth Anas dan Nelydia Ayesha tetapi kini nampaknya banyak yang sudah berubah. Hubungan mereka lebih rapat. Mereka lebih kerap bertemu dan berbicara.

Nelydia bersyukur. Bersyukur kerana sekurang-kurangnya gadis yang kurang kawan dan kurang bercakap sepertinya dikurniakan orang-orang seperti Anas, Uqasya, abah dan ibu di dalam hidupnya. Bagi Nelly, itu sudah cukup. Sudah cukup memenuhi dunianya.





Kisah Putus CintaWhere stories live. Discover now