Bab 26 : Rupa Asli Pahlawan Cahaya

4 1 0
                                    

Aji duduk di atas bumbung rumah seseorang. Dia menjenguk ke langit, sesuatu sedang terbang ke atas, menembusi awan dengan laju.

"Kenapa tuan tak buat betul-betul?" Tanya seseorang yang berada dibelakangnya. Keadaan gelap menghalangnya dari dilihat. Aji telah memalsukan kata-katanya. Chi didalam badan Siti tidak akan merebak pun, dia hanya ingin menguji Syahmi dengan keputusan yang dia akan ambil.

"Aku tak sanggup." Jawab Aji.

"Kalau perkara ini benar-benar berlaku, pasti dia dah gagal."

"Bukankah tugas seorang pahlawan adalah untuk melindungi orang lain? Bukankah dia berjaya melakukan -nya?" Soal Aji sambil memandangnya dengan senyuman.

"Dia memang berjaya melakukannya tetapi dia akan terkorban."

"Dia tahu apa yang dia sedang lakukan...kita hanya lihat sahaja sejauh mana dia boleh pergi."

Sinaran berwarna hijau muncul secara tiba-tiba di langit. Mereka menjenguk ke langit, sesuatu sedang menjunam laju ke bawah.

"Bangun..." Kedengaran suara seseorang.

"Bangun..."

"Bangun!!!"

Syahmi terus terperanjat dan membuka matanya. Dia melihat sekelilingnya. Sekali lagi dia berada di ruangan yang berwarna putih.

Syahmi masih lagi hairan kenapa dia berada di situ sekali lagi. Kemudian dia mengerti dan membeliakkan matanya. "Ini syurga!"

"Bangang...ini bukan syurga!" Syahmi mendengar suara Yi. Tetapi bukan di dalam kepalanya. Suara itu datang dari ruangan yang sama.

"Yi, kau kat mana?" Soal Syahmi yang mencari-cari kehadiran Yi.

"Kau nak tengok rupa asli aku?" Soal Yi. Syahmi kehairanan kerana dia tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Yi tetapi dia tetap mengganguk.

"Mana?" Syahmi masih tidak nampak kehadiran Yi.

"Kat atas." Syahmi memalingkan mukanya ke atas. Matanya terbeliak. Dia tidak menjangkakan ini rupa Yi yang sebenar.

"Terkejut?" Soal seekor naga panjang berwarna putih yang terapung di udara sambil memandang ke arah Syahmi. Badannya panjang dan bersisik seakan-akan ular gergasi yang berkaki empat. Mukanya dipenuhi dengan janggut dan misai panjang yang berwarna putih. Dari suaranya, Syahmi sudah kenal, itulah Yi.

Yi mendaratkan badannya ke bawah supaya dapat bercakap dengan Syahmi dengan lebih mudah. Syahmi terketar-ketar lutut melihat naga itu.

"Ini...ini sangat men-"

"Mengerunkan?" Yi dapat meneka apa yang Syahmi cuba katakan.

"Bukan! Ini sangat mengagumkan!" Jerit Syahmi. Dia terus berlari ke arah ekor Yi dan membelai-nya.

"Ini sangat hebat!" Syahmi mengelilingi badan Yi dengan penuh keterujaan. "Ini kali pertama aku lihat seekor naga."

Yi hanya tersenyum. Ini bukanlah reaksi yang dijangkakan olehnya. Dia sangka Syahmi akan takut melihatnya namun sebaliknya Syahmi gembira dapat melihat seekor makhluk gergasi seperti dirinya.

Setelah meneliti setiap satu anggota badan Yi, Syahmi cuba untuk menenangkan kegembiraannya. Banyak soalan yang dia perlu tanya.

"Apa yang jadi sebenarnya?" Soalnya kehairanan kenapa Yi kelihatan seperti seekor naga.

"Aku telah disumpah oleh sebuah kumpulan pengguna chi purba." Jawab Yi.

"Pengguna chi purba?" Syahmi hairan.

"Mereka adalah pengguna chi yang telah lama hidup. Mereka mempunyai empat ahli kumpulan, kesemuanya telah berganding bahu untuk menyumpah aku menjadi Pahlawan Cahaya." Mendengar itu, Syahmi berasa sedikit hairan. Jikalau Yi disumpah menjadi Pahlawan Cahaya, ianya mempunyai satu maksud.

"Jadi kau-" Syahmi tidak sempat bertanya kerana sudah dijawab oleh Yi.

"Ya betul tu. Aku menjadi Pahlawan Cahaya kerana dipaksa, bukan kerana kerelaan." Syahmi berasa sedikit kecewa mendengarnya.

"Tetapi asalnya aku memang seorang pahlawan tetapi yang biasa sahaja." Syahmi kembali ceria mendengar penjelasan Yi.

"Habis tu kenapa kau tak guna rupa ini? Gempak kot." Soal Syahmi.

"Ada seorang pengguna chi atribut Magikal yang ubah aku kembali ke rupa manusia aku tetapi tanpa badan fizikal. Jadi aku perlu gunakan chi untuk kekalkan rupa manusia aku, sekali sahaja aku bertukar menjadi raksasa ini, aku takkan kembali lagi. Walaupun begitu, ia tidak kekal lama, aku masih lagi perlukan badan fizikal...dan aku telah menjumpainya. Badan yang sempurna." Kata Yi sambil menunjukkan jarinya ke arah Syahmi.

Yi dapat melihat riak wajah Syahmi yang hairan, dia tahu Syahmi sedang memikirkan tentang bagaimana dia boleh berada di dalam rupa naga-nya sekarang.

"Kita berada didalam hati kau. Di sini, kita akan menjadi rupa asli kita." Katanya sambil menunjukkan jarinya ke arah lantai. Syahmi melihat lantai yang memantulkan imej seperti cermin, kelihatan dirinya memakai baju tempurnya cuma berwarna hitam. Dia tidak terlalu memikirkannya, mungkin ia hanyalah sebuah corak.

"Duduk." Suruh Yi. Dia akan menceritakan sesuatu yang agak panjang. Syahmi terus duduk bersila.

"Dahulu, aku pernah beritahu kau kan, seseorang akan bangkit?" Soal Yi. Syahmi mengangguk.

"Sudah berzaman lamanya, Tamish, dewa kegelapan dikurung di sebuah tempat rahsia. Sebelum dia dikurung, dia mewariskan kuasanya kepada seseorang. Pewaris kuasanya akan berada di bawah kawalannya. Dia akan cuba untuk melepaskan dirinya dari kurungannya. Apabila pewaris kuasanya hampir mati, kuasanya akan diwarisi oleh orang lain. Semakin lama, dia semakin hampir dengan kebebasan." Terang Yi panjang lebar.

"Kenapa dia dikurung?" Soal Syahmi yang tidak tahu asal usul cerita ini.

"Dia dikurung oleh dewa cahaya, Alina. Aku tak pasti kenapa dia dikurung. Dewa Alina juga mewariskan kuasanya kepada seseorang sebelum dia mati untuk menghalang pewaris kuasa Tamish dari membangkitkan Tamish. Sama seperti pewaris kuasa Tamish, kuasa Alina juga telah diwarisi dari generasi ke generasi yang lain."

"Jadi, kita tak perlu risau lah. Pewaris kuasa Alina dah ada kan?" Soal Syahmi.

"Kita perlu risau sebab pewaris kuasa Alina telah menghilang. Dia dah menghilang 140 tahun. Kumpulan pengguna chi purba tidak dapat berdiam diri lalu mengambil keputusan untuk melanggar hukum alam dan menyumpah pahlawan manusia yang terkuat, iaitu aku untuk menghalang pewaris kuasa Tamish..."

"Ceh! Syok sendiri. Betul ke kau ni pahlawan terkuat?" Syahmi mencelah.

"Heh!" Yi mencebik apabila mendengar sindiran Syahmi. "Kau tahu tak? Dah lama sangat kau berada di sini, apa kata lain kali pula aku sambung kisah ini dengan kau."

"Sabar dulu! Ada banyak benda lagi aku tak tanya!" Jerit Syahmi apabila dia merasai dirinya hendak pitam.

"Ingat, ini rahsia kau dan aku sahaja." Yi meletakkan jari telunjuk di mulutnya. Apa yang dia maksudkan ialah tentang rupanya yang seperti naga itu perlu dirahsiakan oleh Syahmi.

"Uhuk! Uhuk!" Syahmi batuk berkali-kali kerana kering tekak. Dia membuka matanya, kelihatan Siti berada di atas badannya sambil menangis teresak-esak sambil memeluk Syahmi.

"Apa dah jadi?" Soal Syahmi.

"Kau hampir mati, nasib baik aku ada." Kata Pekra yang berada di tepinya. Jika tiada kuasa teleportasi milik Pekra, pasti Syahmi akan mati kerana jatuh dari tempat yang sangat tinggi.

"Tapi bukan ke..." Syahmi tidak mahu menghabiskan ayatnya kerana dia melihat Siti masih lagi hidup. Perlahan-lahan dia membelai rambutnya.

"Dah dah, jangan nangis." Syahmi mengelap air mata Siti. Syahmi tersenyum. Mungkin atuknya tidaklah jahat seperti yang dia sangkakan.

Yichu : Pahlawan Cahayaحيث تعيش القصص. اكتشف الآن