Apartment worgh! Part 3

9 0 0
                                    

"PERCAYA aku!"

Misha menyorok di sebalik kereta yang berada di parking lot di tingkat bawah apartment. Dia berjaya keluar sendirian setelah Shafi menyuruhnya berlari tanpa pandang ke belakang ketika lelaki itu sedang menghalang zombi tersebut. 

"Aku harap kau masih hidup." Dia mengeluh kecewa. Dia terlalu takut untuk melawan makhluk itu sehingga lelaki itu bertindak begitu. Dia mengetuk kepala sendiri sebelum berfikir sama ada mahu memerhati keadaan di situ ataupun tidak.

Akhirnya, Misha menjengahkan kepala dari balik kereta itu. Dia menelan air liur sewaktu memerhati keadaan di situ. Banyak zombi yang terpapar di kornea matanya ketika itu. Badan Misha menggigil ketakutan. Dia kembali menyorok di sebalik kereta tersebut. 

"Dahlah suruh aku larikan diri. Konon dialah hero. Ceh, benci aku!" rungut Misha tidak puas hati dengan tindakan Shafi yang menyuruhnya meninggalkan lelaki itu. 

Dia memandang ke atas, di mana tempat yang dia tinggalkan lelaki itu. Dia harap lelaki itu dapat keluar dengan selamat.

Walaupun mulut Misha berkata lain, hatinya pula berkata yang lain. Dia sebenarnya risau akan keadaan lelaki itu. 

Misha duduk bersila kerana letih bertinggung. Beg besar yang dia galas, dibuka. Dia meletakkan beg tersebut di hadapannya. Lalu memeluk beg itu. 

Matanya terbuka luas tatkala terdengar bunyi aneh yang keluar daripada zombi berada dekat dengannya.

Lantas kepala ikut berpaling apabila bunyi itu semakin dekat. Wajahnya seperti kehilangan darah. Jantungnya juga seperti tidak berdegup. Nafas ditarik menahan kaget. Mulut ditutup dengan telapak tangan. Mata dipejam rapat menelan realiti yang dia lihat.

Perlahan-lahan dia bergerak ke arah kirinya apabila seekor zombi berada di sebelah kanannya yang sedang membelakangi Misha. Misha segera menarik beg besarnya lalu melarikan diri dengan sepantas mungkin. 

Mendengar larian gadis itu, zombi-zombi yang berkeliaran di situ berpaling seperti dapat mengesan mangsa. Mereka pantas mengejar Misha yang melarikan diri itu.

"Arghh!" jerit gadis itu dengan nada tinggi asbab ketakutan. 

Semakin ramai zombi menghampiri gadis itu. Misha berlari ke arah pintu pagar besar apartment itu. Pintu pagar tersebut terkunci. Dia sudah menggelabah. Dia kembali melihat ke arah sekumpulan zombi yang semakin menghampirinya lalu ke arah pintu pagar.

"Ish!" Dengan geram dia menolak pagar itu.

Tidak dapat memikirkan apa-apa, Misha lantas melarikan diri ke arah taman permainan yang berada berdekatan pintu pagar itu. Dia mengelak daripada zombi yang menghampirinya, dengan pantas.

"Siaplah kau, jiran!" jeritnya dengan marah. Dia masih berdendam.

Dia sampai di taman permainan. Dia melepaskan beg besarnya lalu dia bersedia. Langkah kuda-kudanya dibuka apabila zombi-zombi datang menghampirinya.

Matanya berubah serius. Seekor zombi yang datang, dia tolak dengan kuat. Seekor lagi zombi menghampiri, dia tendang dengan sekuat tenaga. Apabila semakin ramai, dia mula berlari di sekeliling taman permainan itu.

"Aku tak bersedia! Aku minta maaf!" jeritnya dalam tangisan sambil berlari sekuat hati. 

Dia berpusing di sekitar gelongsor. Dia naik ke tempat gelongsor untuk menyorok tetapi terdapat juga zombi yang mengikutinya membuatkan dia pantas turun melalui gelongsor. Zombi yang berada di hadapan gelongsor, ditolaknya apabila dia tiba di bawah. Zombi yang mengikutinya turut melalui gelongsor buatkan Misha terkejut.

"Pandainya kau main gelongsor!" pujinya tiba-tiba, kagum.

Tetapi wajahnya berubah apabila zombi yang lain merapati dirinya. Dia pergi ke arah buaian lalu menolak buaian itu ke arah zombi yang berada di situ lalu dia menggunakan senjatanya. Dia menyembur Ridsect tepat di wajah zombi-zombi itu sambil menutup wajah dengan lengannya.

Satu persatu zombi dijatuhkan dengan cekap walaupun Misha agak cemerkap. Zombi yang terakhir yang berada di situ, dia tolak masuk ke dalam kolam air pancut yang berada di situ.

"Yes, i did it! Hah, nanti aku nak berlagak depan jiran aku tu!" soraknya gembira bersama wajah angkuh.

Misha duduk, melepaskan lelahnya. Dalam pada itu, matanya masih tidak lari daripada menatap zombi-zombi yang tumbang itu. Takut juga dia, jika salah seekor daripada mereka menerkamnya.

Beberapa saat kemudian dia mengambil begnya lalu kembali ke pintu pagar besar. Tak lama kemudian,  zombi-zombi tersebut bangun kembali. 

"Cepat betul kau orang bangun. Tidurlah lama sikit. Aku nak buat kerja pun tak senang." Desis Misha dengan wajah ketakutan. Penatnya pun masih belum hilang. Misha mengeluh kasar.

Melihat adanya zombi yang berjalan senget, merangkak dan bergolek datang ke arahnya buatkan Misha tidak senang. Dia pantas mendekati pintu pagar besar.

Apabila Misha ingin membuka pintu pagar besar tersebut seekor zombi yang berpakaian seperti pengawal keselamatan mendekatinya. Misha tergamam.

"Pak Karim!" ujar Misha dengan nada terkejut. Air matanya jatuh ke pipi.

Lelaki tua itu sangat rapat dengannya. Dia menangis melihat rupa lelaki itu. Dia menggeleng kepala berulang kali kerana tidak percaya dengan perkara yang dilihatnya.

"Pak cik!" tangisnya. Lelaki itu sudah seperti ayahnya yang menjaga keselamatannya di sini. Misha menangis tak percaya. Dia jatuh melorot ke bawah.

Lelaki tua yang sudah berubah kepada rupa zombi itu berjalan mendekati Misha dengan perlahan-lahan. Apabila sudah tiba di hadapan Misha, zombi itu menunduk ingin mengesan bau manusia. Lelaki itu tidak memiliki mata. Itu yang membuatkan hati Misha lebih pedih.

"Pak cik... Ni Misha..." sayu suaranya bersuara. Tangan menggigil naik ingin memegang tepi wajah yang sudah robek  berlumuran darah. 

Zombi itu seperti ingin menggigit gadis itu tetapi seseorang datang menyelamatkan gadis itu.

Figura itu menolak zombi tersebut lalu menarik lengan gadis itu untuk melarikan diri. Misha yang terasa lemah hanya menurut.

Bersambung...

Kompilasi Cerpen QAZ Where stories live. Discover now