Detective & Juwita Part 4

5 0 0
                                    

JUWITA menolak basikal di kawasan pantai. Dia duduk di atas pasir. Langit yang gelap ditemani bintang-bintang membuatkan matanya bersinar. Bersinar dengan air mata. Air matanya mengalir. Dia duduk memeluk lutut lalu menunduk menangis di atas lututnya.

Ghaffar masih berang akibat tidak menjumpai kanak-kanak yang hilang tengah hari tadi. Seorang lagi kanak-kanak diculik oleh van yang sama. Sepatutnya dia sudah dapat menangkap penculik itu tetapi disebabkan dia selalu terlambat. Dia terlepas. Dia duduk di kerusi batu di hadapan pantai untuk menenangkan fikiran yang kusut. Dia memandang langit malam. Bibirnya melepaskan keluhan berat.

Mereka terbuai dengan keindahan langit malam. Lama mereka diam memandang langit. Tatkala mereka hendak berlalu pergi, mereka berdua terserempak. Ghaffar terkaku. Juwita hanya melirik seketika wajah itu sebelum berlalu pergi. Ghaffar pula hanya memandang gadis itu beredar.


JUWITA meletakkan basikalnya pada tiang tangga rumahnya. Kaki membawa dirinya ke arah pangkin di halaman rumahnya. Dia berbaring di situ. Langit malam, dia pandang dengan mata yang redup. Dia berdehem sebelum bersuara.

"Perlu ke aku bantu dia atau berdiam diri saja?" bisiknya perlahan. Air liur ditelan. Tiba-tiba fikirannya melayang pada kejadian lalu.

"Papa!" jerit si kecil Juwita yang berumur 8 tahun dalam tangisan. Dia berada dalam pelukan mamanya. Pelukan yang erat seperti tidak mahu melepaskannya langsung.

"Tutup mata anak, sayang... Sayang jangan pandang abang..." kata papa dengan senyuman kecil walaupun dalam keadaan lemah. Lelaki pertengahan tahun itu dibelasah teruk oleh empat orang lelaki asing yang masuk ke dalam rumahnya tanpa diundang.

Pantas tangan mamanya menutup mata si kecil Juwita. Juwita menangis teresak-esak. Mamanya menenangkan Juwita, wanita itu mencium lembut dahi anak kecilnya.

Tiba-tiba dengan kasar badan Juwita ditarik daripada pelukan mamanya. Juwita terkejut, semakin kuat tangisannya. Mama Juwita ditolak sehingga jatuh ke bawah. Juwita tidak tahu perkara yang berlaku, yang dia tahu mamanya menjerit kesakitan sebelum memanggil namanya.

"Juwita! Mama papa sayang adik!" 

Ayat itu membuatkan Juwita bangkit. Dia pandang rumahnya yang terdapat papa dan mamanya. Melihat rumahnya mengeluarkan asap kelabu, Juwita berkerut. Dia bergelut dengan lelaki yang mendukungnya itu. Dia menyiku wajah lelaki itu dan tepat terkena batang hidung itu sehingga mengeluarkan bunyi, prak!

Juwita dijatuhkan dengan kuat. Dalam kesakitan, dia berlari ingin masuk ke dalam rumahnya. Tetapi...

BOM!

Rumahnya meletup tanpa sempat Juwita masuk. Disebabkan jaraknya terlalu dekat dengan rumahnya, dia tercampak ke dalam semak yang berada di dalam hutan di kawasan rumahnya. Juwita pengsan tidak sedarkan diri.

Mendengar bunyi yang kuat itu, ramai penduduk kampung yang datang ke rumah itu. Rumah banglo milik seorang doktor dan pensyarah yang terkenal dengan sikap baik hati di kampung itu. Ketika itu, pasukan penyelamat tiba di sana. Bomba juga sedang memadamkan api yang marak. Pihak bomba hanya menemui mayat mama dan papa Juwita manakala si anak tidak dapat dikesan.

Juwita tertidur dengan air mata yang mengalir di pipinya. Angin malam yang bertiup lembut membuatkan rambut kerintingnya yang serabai, bertiup perlahan.

"Juwita sayang mama, papa juga," bisiknya dalam tidur yang nyenyak itu.


GHAFFAR mengusutkan rambutnya. Tadi, dia baru bercakap dengan ayahnya di telefon. Semakin serabut dia apabila ayahnya menggesanya untuk menyelamatkan semua kanak-kanak yang hilang.

"Ayah aku ni ingat nak selamatkan orang yang diculik tu semudah masak mi segera ke? Jaffan pun tak reti masak mi segera." Dia bicara sendiri, sempat dia mengutuk temannya itu.

"Ayah tu mentang-mentang dah pencen, sedap je kutuk aku bengap. Padahal ni anak dia, kalau aku macam ni, daripada mana aku dapat bengap ni?" Ghaffar membuat muka. 

Ayahnya memang sering mengusiknya. Hubungan mereka memang rapat sehingga ibu mereka cemburu setiap kali mereka keluar bersama. Kata ibunya, "Dating tak ajak ibu! Nanti ibu dapat 'anak perempuan' baru, menyesal kau orang dua beranak sebab selalu tinggalkan ibu seorang diri dekat rumah." Ayat ibunya itu seperti terselit sesuatu yang dia tidak dapat teka sehingga sekarang. Lebih-lebih lagi melihat senyuman misteri ibu yang agak menakutkan itu.

"Weh, Far! Kau ada sebut nama aku ke? Masa aku nak makan mi segera tadi, aku tergigit lidah banyak kali. Aku rasa ni kerja kau, kan?" sergah Jaffan yang muncul di hadapannya tiba-tiba.

Ghaffar menjelingnya.

"Ha'ah, aku siap kutuk kau lagi." Balas Ghaffar lalu tersenyum senget. Giliran Jaffan pula menjeling lelaki itu.

"Kau masih fikirkan fasal misi ni ke?"

Ghaffar mengangguk kecil.

"Tak adil, kan?" Jaffan duduk di sebelah Ghaffar. Pondok kecil di situ agak selesa apabila waktu malam. Berangin sejuk.

Ghaffar berkerut memandang Jaffan. Jaffan tersenyum kecil.

"Kita ni dah lama bekerja. Baru tahun lepas kita dapat misi yang ekstrim, tembak-menembak, tikam-menikam, lompat sana lompat sini, terbang sana terbang sini. Tapi tiba-tiba kita dapat misi yang semua orang tolak." 

Ghaffar hanya senyum segaris. Dia setuju dengan kata-kata kawannya itu. Bukan mudah lalui semua itu tetapi disebabkan tiada seorang pun yang ingin mengambil misi yang sudah lama ditinggalkan itu, akhirnya diberikan kepada mereka.

"Eh, boleh tak kau ajar aku cara masak mi segera tu? Mi segera yang aku selalu masak tak ada rasa. Kuah bukan main banjir. Tapi satu rasa pun tak ada." Ucap Jaffan memecah kesunyian yang sepi itu. Ghaffar memandang ke arah Jaffan dengan wajah tidak percaya.

"Tak naklah aku. Buang masa je ajar kau masak. Kau tunggu jelah jodoh kau tu." Setelah bicara, dia terus masuk ke dalam rumah. Jaffan ditinggalkan sendirian dengan senyuman bahagia lelaki itu.

Bersambung...



Kompilasi Cerpen QAZ Where stories live. Discover now