Kita kawan?

9 0 0
                                    

FAIQA baru sahaja selesai mandi. Dia berjalan mendekati meja solek, tempat di mana telefonnya berada. Dia membuka telefonnya. Aplikasi muzik ditekan lalu dia mencari lagu kegemarannya.

Senyuman lebar terbit di bibir tatkala lagu itu dimainkan. Dia menyanyi kecil dan kepalanya juga diangguk mengikut rentak lagu itu.

Faiqa mengeringkan rambutnya dengan tuala yang berada di atas kepalanya sambil memandang ke arah luar jendela yang gelap dihiasi bulan dan bintang itu.

Fikirannya melayang, memikirkan kejadian yang berlaku tengah hari tadi. Mamanya telah menetapkan perjumpaan antara dirinya dengan seorang lelaki. Lelaki yang penuh misteri. Lelaki itu hanya diam membisu sepanjang perjumpaan mereka. Apabila dia bertanya barulah lelaki itu menjawab.

TENGAH hari tadi...

Lelaki yang bernama Sayf itu, makan dengan berselera sehingga Faiqa yang berada di hadapan lelaki itu langsung tidak dipandang. Mata lelaki itu hanya fokus makan mi goreng basah manakala Faiqa hanya menguis nasi gorengnya.

Tangan menguis nasi dengan sudu tetapi mata tidak lepas memerhati Sayf. Faiqa menunjukkan minat.

Berasa seperti diperhatikan, Sayf mengangkat wajahnya. Dia memandang Faiqa dengan wajah tanpa riak.

Faiqa yang tersentak itu hanya memberikan senyuman kecil kepada Sayf. Lelaki itu kembali menatap makanannya.

Faiqa mula bersuara, "Apa pekerjaan awak?" Sayf berhenti masukkan makanan ke dalam mulut.

"Menulis," jawab Sayf, ringkas. Kening Faiqa terangkat.

"Awak penulis ke?" soal Faiqa, penuh kagum. Sudu diletakkan di atas meja. Dengan kedua-dua belah tangan bersilang di atas meja, dia memandang lelaki itu dengan penuh perhatian.

Sayf mengangkat bahu. "Lebih kurang," sebutnya acuh tak acuh.

Faiqa mengangguk, faham.

"Saya pula bekerja di Syarikat Mekar yang mengeluarkan majalah muzik yang popular di Malaysia." Faiqa memandang Sayf dengan wajah terujanya.

Sayf hanya mengangguk tanpa mengangkat wajahnya. Dia tidak berminat.

Faiqa hanya tersenyum lalu dia memandang nasi goreng yang sudah tinggal sedikit di dalam pinggannya. Dia sudah kenyang.

Faiqa melirik jam tangannya yang berada di pergelangan tangan kiri. Lalu Faiqa menggaru pipinya tatkala melihat lelaki itu masih makan dengan berselera. Dia sudah terlambat untuk masuk ke pejabatnya kembali. Waktu makan tengah hari pun sudah tamat.

Tetapi badannya tidak boleh bergerak. Mulutnya juga tidak boleh bersuara. Dia hanya diam, memerhati Sayf.

FAIQA mengecilkan matanya.

"Susah betul nak bercakap dengan awak ye, Encik Sayf. Kau buat aku rasa terganggu," tuturnya dengan senyuman lebar. Dia mengerutkan hidungnya apabila fikirannya masih memikirkan lelaki itu.

Entah kenapa, hatinya rasa mahu berjumpa dengan Sayf kembali. Seronok dia melihat wajah beku Sayf yang menggelabah walaupun tidak berapa ketara.

Dia nampak, apabila dia memberikan senyuman kepada lelaki itu. Anak mata Sayf menjadi tidak keruan dan dengan sengaja lelaki itu memalingkan wajah ke arah lain daripada memandangnya.

PUAN Sri Basimah dan Datin Barihah bergelak ketawa di dalam sebuah kafe. Mereka berbual bersama sambil minum petang di situ.

"Macam mana dengan anak kau?" soal Datin Barihah ingin tahu. Puan Sri Basimah tersenyum kelat.

"Anak lelaki aku tu tak ada perasaan jadi aku tak boleh nak agak perasaan dia tu. Nak kata tak suka, dia senyap je. Nak kata suka, tak ada pula senyuman dekat muka dia." Puan Sri Basimah menghela nafas berat. Anak lelakinya, Sayf memang tidak suka berkongsi perasaan. Dia juga tidak tahu cara untuk berkomunikasi dengan anaknya itu.

"Alah, biasalah tu. Lelakikan jarang tunjuk perasaan dia orang. Kau tak payah risau fasal anak kau. Anak aku tu, dia ikut genetik aku tau," beritahu Datin Barihah sambil menaikkan keningnya berkali-kali, dengan muka yang bangga. Puan Sri Basimah tergelak.

"Amboi, kau! Boleh pula bangga dengan talent kau yang tu. Masa zaman sekolah dulu, aku selalu berdoa agar anak kau tak dapat genetik kau yang tak senonoh tu." Puan Sri Basimah ketawa mengekek melihat wajah terkejut Datin Barihah apabila dia menyebut perkataan tidak senonoh itu.

"Hei! Elok apa aku ada bakat macam tu. Dengan bakat tulah aku ngorat suami aku tu tau! Daripada kau, aku juga yang kena jadi orang tengah." Datin Barihah menjeling kawan baiknya itu.

"Yelah, yelah. Terima kasihlah jadi orang tengah yang paling kelam-kabut. Nasib baik majlis nikah aku selamat tanpa perlu jemput bomba datang," perli Puan Sri Basimah.

Puan Sri Basimah masih ingat dengan jelas kenangan lalu ketika majlis perkahwinannya. Kawan baiknya itu terlalu kalut sehingga terlanggar periuk gulai yang berada di atas api. Nasib baik tunang Datin Barihah itu sempat datang selamatkan Datin Barihah, kalau tidak rosak majlisnya waktu itu. Api yang marak pun sempat dipadamkan oleh lelaki itu.

Datin Barihah hanya menjeling Puan Sri Basimah yang ketawa itu.

"Kau ni, suka sangat kenakan aku balik! Bencinya!" rajuk Datin Barihah. Puan Sri Basimah buat tidak tahu. Dia mencicip teh hijau panas miliknya sebelum mengalihkan pandangan ke luar tingkap kafe itu.

"Eh, tadi kau ada cakap yang Faiqa pernah accident. Macam mana benda tu berlaku?" soal Puan Sri Basimah memecahkan sunyi antara mereka yang tenggelam dengan suasana yang santai di situ. Datin Barihah tersentak dari lamunan. Dia memandang wajah Puan Sri Basimah.

"Kejadian tu berlaku 6 tahun selepas kita berpisah. Alah, nanti ada masa, aku cerita dekat kau. Sekarang ni, jom, kita pergi shopping!" jerit Datin Barihah teruja. Dia menarik lengan Puan Sri Basimah untuk bangun daripada kerusi. Puan Sri Basimah hanya menurut. Mereka melangkah keluar dari kafe selepas membuat pembayaran dengan berjalan sambil berpaut lengan satu sama lain.


Bersambung...

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jul 27, 2023 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Kompilasi Cerpen QAZ Where stories live. Discover now