4.0

48 7 2
                                    

Minggu pertama di rumah jirannya, Amirah sudah dapat biasakan diri. Biasakan diri itu maksudnya sudah tahu dapur di mana, tandas di mana, bilik Ali, bilik Aliya, bilik si kembar, bilik Mama Nia dengan Papa Kamal, kolam renang, ruang makan dan macam-macam lagi bilik yang tersedia.

Tengah hari itu, Amirah menunggu kepulangan Ali dan Aliya seperti biasa dari sekolah. Bagaimana pula dengan pembelajaran Amirah?

Gadis kecil itu belajar di rumah bersama-sama si kembar yang baru berusia 4 tahun bersama guru wanita yang baik hati bernama, Madam Joy. Setiap hari mereka belajar dan bermain. Meskipun Amirah selalunya menjadi pemerhati dan sering menyendiri dengan buku mewarnanya, dia berasa selamat. Berada dalam keluarga ini, dia rasa selamat. Rasa selamat yang dia tahu tidak akan bertahan lama.

"Ali!" Tubuh Ali diterpa saat kanak-kanak lelaki itu keluar daripada kereta diikuti Aliya di belakangnya.

"Kak Liya beli aiskrim untuk semua!" Aliya muncul dari belakang Ali bersama plastik berisi aiskrim pelbagai perisa yang dia beli dengan penuh rasa teruja.

Amirah tersentak. Degup jantungnya bertukar rentak kepada lebih laju. Manakala pernafasannya menjadi tersekat-sekat. Matanya hilang fokus, lebih-lebih lagi apabila tanpa sengaja dia terpandang plastik yang dijinjing Aliya.

Kolam matanya hampir penuh. Renungan kosongnya itu tembus memandang lantai kala kepalanya bermain-main kaset rosak tentang perkara yang sama. Suara yang sama. Orang yang sama. Hari yang sama.

"Mama.." Bibir Amirah tanpa sedar terkumat-kamit perlahan.

"Mama..aiskrim."

"Beli aiskrim esok dengan papa.."

"Mama..?"

"Mama?"

"Princess?" Ali menyentuh bahu Amirah perlahan. Aliya pula sudah memandang dengan penuh risau. Tadi Ali ada dengar sedikit suara milik Amirah. Namun dia tidak tahu sama ada suara tersebut merupakan ilusi ataupun benar milik Amirah kerana nada yang terlalu rendah. Dia sendiri tidak dapat menangkap butir kata Amirah.

"Princess?" Ali memanggil lagi tetapi kali ini dia merendahkan badannya agar dapat melihat wajah Amirah yang sedang menunduk itu.

Secara refleks, Ali memeluk erat tubuh kecil Amirah. Dia panik. Diam-diam air mata gadis itu turun membasahi pipi. Tidak berbunyi dan tiada esakan yang keluar. Sekadar membasahi pipi menandakan bahawa gadis kecil itu sedang bersedih. Hatinya sedang menangis. Dan perasaannya sedang dicarik-carik oleh memori yang masih segar di ingatan.

Tubuh Amirah dibawa masuk ke dalam rumah. Ali mengarahkan Aliya untuk masuk ke dalam juga menggunakan gerak matanya.

"It's okay princess. Shhhh. Ali ada. Ali ada."

"Mama takde."

"Ali ada tapi mama takde." Tersentap Ali di tempatnya. Benar. Yang Amirah inginkan sekarang bukan Ali, tetapi mamanya, Olivia yang sudah tiada sejak 2 minggu yang lalu. Dan yang lebih menyedihkan adalah papanya juga tiada di sini sekarang. Cuma Ali. Cuma Ali dan keluarganya.

Ali menahan air matanya dari jatuh. Kepalanya didongakkan sambil dia menelan liurnya perit. "Ali ada. Ali ada," bisiknya lagi dengan harapan kehadirannya itu sudah cukup untuk memujuk hati gadis itu.

Beberapa ketika Ali membiarkan Amirah melayan perasaannya. Hampir dia terkejut apabila suara Amirah memecahkan kesunyian secara tiba-tiba.

"Ali ada."

"Mirah jangan nangis, Ali ada." Amirah seakan-akan tersedar dari dunianya. Mulutnya berpesan pada diri sendiri, "jangan nangis, Ali ada" sebelum dia meleraikan pelukan. Air mata dilap pada hujung lengan bajunya. Mata Ali ditatapnya pula. "Ali ada, kan?"

Laju Ali mengangguk yakin. "Ali ada. Ali ada dengan princess. Sentiasa ada."

Amirah pula yang menganggukkan kepalanya.

"Ali ada."

"Ali ada."

Tidak henti bibirnya mengucap itu sambil kaki melangkah ke arah sofa tiga rangkai. Tubuhnya dibaringkan secara meringkuk di situ. "Ali ada." Itulah yang diucapkan olehnya sehinggalah matanya terkatup sendiri. Amirah ketiduran selepas memastikan bahawa Ali ada, dan sentiasa ada.

.

.

.

"Ali?" Bangun dari tidur, kelibat Ali dulu yang dia cari. Tapi Ali tiada. Tiada di sisinya walaupun lelaki itu tadinya kata yang dia akan sentiasa ada.

"Aliiiii!" Amirah berteriak memanggil nama Ali sebelum secara tiba-tiba emosinya bertukar sedih kembali.

Seperti sudah menjadi kebiasaan air matanya jatuh membasahi pipi sekarang ini.

"Aliiii," rengek gadis kecil itu.

"Amirah sayang, kenapa ni?" Rania mendatangi Amirah yang menangis kesedihan itu. Rumah pada ketika ini agak sunyi. Aliya, Ali dan Kamal tiada di rumah. Manakala si kembar Alif dan Alisa pula masih belum bangun dari tidur tengah hari mereka.

Tanpa kata tubuh Amirah diangkat masuk ke dalam dukungan dan dipeluk erat. Tubuh itu bergerak ke kiri dan ke kanan seperti mendodoi anak kecil tidur sedangkan dia sekarang ini sedang menenangkan seorang anak kecil yang sedang menangis ini.

"Amirah kenapa sayang?" Soal Rania lembut, penuh kasih seorang ibu.

"Nak Ali.." jawab Amirah tanpa selindung.

"Ali dah tinggalkan Mirah ke? Macam mama?"

Terkedu Rania dengan soalan gadis kecil itu. Tahulah dia bahawa Amirah masih lagi terkesan dengan kejadian dua minggu yang lalu.

Senyum manis diukirnya sebelum kepalanya dicantumkan pada milik Amirah.

"Tiada siapa yang tinggalkan Amirah, sayang."

"Ali ada. Mama ada."

"Tipu. Mama dah takde. Mirah nampak mama mati. Mama mati kena tembak dengan orang jahat tu."

Bercantum kening Rania. "Mama ada lah." Tangan jari telunjuk kanannya menyentuh dada Amirah. "Mama Mirah ada kat sini, sayang. Sentiasa ada. Dalam hati Mirah. Dan," tangannya naik menyentuh kepala Amirah pula. "Dalam ingatan Mirah juga. Mama Mirah sentiasa ada, hidup dan bahagia."

Terhenti tangisan si kecil itu, seakan-akan terpujuk dengan ayat Rania.

Mama ada?

Dengan Mirah?

Selalu?

"Ali pun?"

Terlepas tawa halus Rania dengan soalan tiba-tiba Amirah.

"Mirah nak pergi dekat Ali ke? Jom Mama Nia bawa. Ali keluar sekejap, pergi mission."

"Misyen? Macam tusyen?"

"Ada la~ Nak ikut, tak? Mama Nia bawak Mirah jumpa Ali. Kita ambil dia dekat sana."

"Nak." Mata Amirah seakan-akan bercahaya. Teruja untuk berjumpa Ali semula.

"Tapi Mama Nia, sana tu kat mana?"

Rania tersenyum penuh makna. "Dekat agensi."

Ruthless [C]Where stories live. Discover now