8.0

39 6 1
                                    

Getah rambut yang berwarna pink gelap yang berada di pergelangan tangannya dijeling sekilas. Getah rambut tersebut mempunyai jahitan namanya bersama satu hiasan hati yang baru dipasang tadi oleh salah seorang ejen yang bekerja di agensi tersebut.

Amirah baru dapat tahu bahawa selain daripada menyimpan identiti, hiasan tersebut juga mempunyai satu cip penjejak buatan agensi dari divisyen 01. Agak hebat.

Kini secara tidak langsung, Amirah merupakan salah seorang ejen di Rambo Agency termuda kerana dia menyertainya pada usia 6 tahun. Cukup 7 tahun nanti, Amirah akan terima latihan yang betul dan akan mulakan pembelajaran untuk menjadi ejen. Itupun kalau tiada aral yang melintang.

Amirah angkat kepala. Pandangannya bertembung dengan milik Rania yang tersenyum lebar ke arahnya.

"Princess!" Dari kejauhan kelihatan Ali termengah-mengah berlari ke arah mereka. Mata kanak-kanak lelaki itu tertancap pada getah berwarna merah jambu yang belum pernah dia nampak sebelum ini. Tajam matanya merenung getah rambut tersebut, seakan-akan tidak puas hati.

"Lucas kata princess join agensi. Apa ni mama?" Soalan yang berbaur ketidakpuasan hati itu ditanyakan kepada Rania.

Rania sekadar tersenyum. Dia faham kenapa Ali marah saat ini. Tetapi bagi dia, ini merupakan jalan yang boleh digunakan untuk keluarganya melindungi Amirah. Bukan setakat keluarganya, tetapi agensi ini yang mempunyai ejen dari seluruh negara mampu untuk menghulurkan tangan memberi bantuan. Justeru itu, keselamatan Amirah terjamin meskipun pada ketika itu Amirah sudah tidak berada di bawah jagaan dia.

Rania menggamit Ali agar mendekat. Dia merendahkan dirinya lalu berbisik dengan nada suara yang perlahan pada telinga anaknya itu. Terlakar senyuman nipis pada bibir wanita itu. Dia yakin anak lelakinya itu faham apabila riak wajah kanak-kanak lelaki itu bertukar serta-merta apabila informasi yang dia berikan itu. Amirah pula terpinga-pinga melihat perubahan emosi pada wajah Ali yang tadinya berang bertukar risau.

"Kenapa ni?" Soal Amirah ingin tahu.

Ali pandang Amirah. Ada perasaan teragak-agak untuk dia beritahu apa yang dia tahu pada teman sepermainannya itu. Dia tak nak Amirah rasa risau. Dia ada untuk lindung Amirah. Tapi kalau betullah informasi yang Rania beri tadi, dia takkan mampu untuk sentiasa ada walaupun dia sudah berjanji pada Amirah tempoh hari. Nak buat macam mana? Dia masih lagi kecil. Masih lagi kanak-kanak berusia 8 tahun yang sedang menjalani latihan di agensi ini. Belum lagi mahir soal berlawan dan merancang strategi.

"Ali minta maaf." Itu sahaja yang mampu seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun ungkapkan tatkala dia sedar yang dia bakal menjadi orang yang tidak menepati janjinya.

"Tak apa, Mirah faham." Amirah senyum nipis pada Ali. Walaupun dia tak tahu Ali minta maaf untuk apa, dia tetap akan jadi orang yang rasional. Lagi pula, Papa dan Mama juga sering meminta maaf pada dia apabila mereka tidak dapat menghalang orang-orang Zaidi daripada membawanya ke rumah lelaki tua itu. Dia kena faham. Dia kena jadi orang yang memaafkan. Sebab dia tahu bagaimana mereka telah berusaha untuk jadi yang terbaik untuknya.

Dan hanya dengan kata-kata itu sahaja, sudah mampu untuk menjatuhkan air mata kanak-kanak lelaki itu.



PULANG sahaja mereka ke rumah, ada satu kereta hitam di luar rumah Amirah. Amirah sudah tidak sedap hati. Tangan Ali dicapai dan digenggam erat demi meminjamkan kekuatan. Dia kenal sangat dengan kereta tu. Kereta BMW 530i yang selalu datang menjemput dia di rumah kala Zaidi membuat majlis besar-besaran di rumah agamnya itu.

"Atuk."

"Hah?" Laju Ali memandang ke arah Amirah yang seakan-akan ketakutan itu saat telinganya menangkap perkataan yang keluar dari bibir gadis kecil itu.

"Atuk..Mirah..?" Jelas Ali seperti tahu makna di sebalik ketakutan yang ditunjuk Amirah saat itu. Tidak semena-mena bisikan Rania di Mall Rambo tadi kedengaran semula dalam kepalanya.

"Cuba Ali fikir..kenapa Aunty Olivia je yang kena tembak? Kenapa diorang tak sentuh Amirah?"

Adakah pembunuhan ini sebenarnya telah dirancang oleh seseorang? Tetapi siapa? Dan kenapa Olivia? Bagaimana pula dengan Amirah? Kenapa temannya itu tidak dijadikan target juga? Banyak yang bermain di kepala Ali ketika itu. Tetapi apa yang Ali tahu, pembunuh Olivia pasti telah mendapat arahan khas untuk mengecualikan Amirah.

Tok. Tok.

Seorang lelaki berpakaian serba hitam datang mengetuk tingkap kereta yang bertinted hitam saat mereka sedang menunggu pagar rumah terbuka secara automatik.

Gulp. Amirah telan liur perit. Kepalanya tertunduk, manakala badannya seakan dikecilkan agar muat untuk bersembunyi di bawah kerusi kereta. Tetapi badannya bukannya kecil mana sehingga mampu untuk menjadikan dia halimunan di mata lelaki itu. Dia manusia, bukan kuman.

"Ya encik? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Rania menurunkan tingkap keretanya separuh. Sedaya upaya dia cuba untuk menghalang Amirah daripada dilihat oleh lelaki berbadan tegap itu.

"Budak tu...serahkan dia pada kami." Tanpa berlapik, lelaki itu terus menunjukkan jari telunjuk kanannya tepat ke arah keberadaan Amirah yang sedang cuba untuk bersembunyi darinya.

Rania pura-pura tidak faham. "Kenapa saya perlu serahkan anak saya pada encik? Encik ni siapa?"

"Tak perlu nak berlakon, aku tahu budak tu siapa. Puteri Amirah Mohamed Zahid. Tuan Zaidi ialah atuk dia. Tuan mahu dia kembali ke rumahnya."

"Dan sebelum kau nak membantah, kau tiada hak dalam hal ini kerana kau bukan penjaga dia yang sah. Mak budak ni dah mati, bapak dia dah gila jadi sekarang budak ni milik Tuan Zaidi." Lelaki itu menambah apabila Rania ingin membuka mulut dan melawan.

"Dia budak! Kau tiada hak untuk-"

"Diam. Aku tiada masa untuk bebelan kau. Aku diarahkan untuk bawa budak ini pulang sebelum jam lapan. Sekarang, serahkan dia cepat."

"Dan kau budak," matanya bertentangan dengan Amirah yang sedang mencuri pandang ke arah muka bengisnya. "Cepat keluar. Kau tahu atuk kau macam mana, kan? Jangan sampai aku dibuang kerja."

Amirah angguk kepalanya laju tanda akur. Tiada yang dia dan yang lain mampu buat sekarang ini melainkan akur dengan arahan yang diberi.

"Mama Nia.." suara kecil Amirah kedengaran memanggil Rania. Sudah tiba masanya untuk dia pergi. "Terima kasih. Mirah kena pergi dulu kalau tak, nanti atuk marah."

Rania tergemap. Seperti itu sahajakah?

"Amirah, Mama Nia-"

"Tak apa, Mirah faham." Mana mungkin ada yang boleh melawan arahan atuk, kan?

"Amirah kuatlah. Amirah boleh," ucap Amirah dengan senyuman yang diukir lebar. Pada Ali juga dia lemparkan senyuman itu.

"Jumpa lagi, Mama Nia, Ali."

Usai berkata begitu, pintu di bahagian Amirah terus sahaja dibuka dari luar. Entah sejak bila kunci kereta dibuka, tiada yang sedar. Tubuh Amirah diangkut oleh lelaki bertubuh tegap itu tadi tanpa sempat pun Amirah bawa barang-barang keperluannya dari dalam rumah yang telah menumpangkannya hampir tiga minggu itu. Jeritan Ali dari dalam kereta, tiada siapa yang hiraukan.

Seperti itu sahaja, episod bahagia Amirah tamat dan bermulalah kembali seksaan neraka dunia bagi si kecil itu di rumah Zaidi.

Ruthless [C]Where stories live. Discover now