33.0

15 2 0
                                    


PINTU rumah dibuka. Rumah yang sudah bertahun lamanya dia tinggalkan itu diperhati lama. Setiap sudut rumah, warna dinding dan hiasan dalaman rumah masih sama seperti sebelum dia keluar dari rumah. Kaki melangkah ke dapur. Ruang kegemaran mama.

Pintu ketuhar hitam kesayangan mama dibuka. Amirah menjenguk isi dalamnya.

Kosong. Tiada butter cake yang mama sering bakar atau blueberry muffin yang papa sering perhangatkan. Amirah ukir senyuman kelat.

Melepaskan itu harus, namun melupakan itu tidak.

"Papa Zahid ajak kumpul dekat ruang tamu," kata Ali yang muncul dari pintu dapur. Dia sempat mengkaji air muka Amirah sebelum bertindak untuk melangkah ke ruang tamu semula; tempat Zahid berada.

Nampak sahaja kelibat Amirah mendekati mereka berdua, laju Ali menepuk permukaan sofa di sisi kanannya; mempelawa Amirah untuk duduk di sebelahnya. Bibirnya terukir senyuman kecil apabila Amirah tidak menolak pelawaannya itu.

Zahid senyum seketika sebelum tangan kanan dan kirinya diletakkan di kepala lututnya. "Ali okay kalau duduk rumah sini?" Soalan ditujukan kepada Ahmad Ali yang baru 3 hari sah menjadi suami kepada anaknya.

Ali angguk sembari mengukir senyum. "Okay saja, Papa Zahid," katanya.

"Amirah okay serumah dengan Ali?" Amirah pula dipandangnya.

Amirah toleh ke kiri, melihat Ali dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Bahunya terangkat. "Entahlah. Okay kut, pa." Dia tak tahu nak rasa apa. Lebih-lebih lagi apabila sudah 10 tahun dia tidak menjejakkan kakinya ke dalam rumah ini.

Zahid senyum nipis. Barangkali anaknya masih kekok dengan status baru yang disandang olehnya.

"Papa tak ada benda pun nak cakap. Cuma papa nak ucapkan tahniah pada kau orang berdua sebab dah berkahwin. Walaupun masih di usia yang muda, papa yakin bahawa Ali boleh didik dan jaga anak papa ni lebih baik daripada papa sendiri. Ali ingat, kan pesan papa sebelum ni?"

Amirah pandang Ali. Senyuman kecil yang tidak naik sehingga ke mata itu diperhati lama olehnya. Ali mengangguk kecil kepalanya sebagai balasan kepada soalan Zahid tadi sementara Amirah masih berteka-teki dengan tingkah laku Ali.

"Insya-Allah, saya ingat, pa." Dan mata milik lelaki yang berusia 19 tahun itu terus sahaja menatap lama senyuman nipis di wajah tua Zahid yang kelihatan laju dimamah usia. Seperti banyak rahsia di sebalik tatapan mata itu yang tidak dapat Amirah rungkaikan.

Ruthless [C]Where stories live. Discover now