10.0

50 6 1
                                    


"Aku dengar mak kau dah mati."

Kejam. Itu yang Amirah rasakan apabila kata-kata itu dilemparkan bersama senyuman lebar. Zaidi suka dengan berita itu, Amirah tahu.

"Bapak kau pun dah jadi gila, aku dengar. Bini mati je pun. Tapi macam dia pula yang mati. Apalah. Orang tak kuat iman memang macam tu." Zaidi tertawa dengan kenyataan yang dia sendiri berikan. Memandang wajah Amirah yang tidak berperasaan itu membuat hatinya bersorak riang. Satu kerana di sebalik wajah kosong itu, Zaidi tahu bahawa perasaan anak kecil itu berkecamuk. Satu lagi kerana budak ini sudah berada di bawah kawalannya. Tiada lagi tempat budak ini untuk mengadu. Zaidi sahajalah tempat untuk dia berpaut sekarang ini.

Tiada Olivia.

Dan tiada si Zahid yang derhaka itu lagi.

"Atuk jahat." Seperti sebelumnya, kata-kata itulah yang diberikan oleh Amirah kepada Zaidi.

"Tch." Zaidi mendecit. Bosan dengar ayat yang sama.

Senyum sinis terukir pada wajah tua itu. Amat hodoh rupanya. "Kau..dah tiada siapa lagi dah, budak. Aku saja yang kau ada sekarang ni. Nak tak nak, kau perlu dengar cakap aku."

"Atau kau sudah tak mahu berjumpa dengan si Zahid tu lagi?"

"Atuk buat apa dengan papa?!" Amirah terjerit kuat. Cara Zaidi bercakap seakan-akan lelaki itu menyimpan makna yang tersirat.

Si tua itu menjongket bahunya, pura-pura tidak tahu.

"Aku letak dia dalam hospital sakit jiwa saja. Biar dia berkawan dengan spesies dia."

"Anak aku si Ziana tu pun sama jugak. Dasar anak tak kenal untung. Melawan juga cakap aku. Tak pasal-pasal tidur dekat hospital." Tanpa rasa bersalah, Zaidi memberitahu semuanya pada Amirah.

"Atuk memang jahat," ucap Amirah lagi dengan matanya yang sudah memerah menahan tangis.

Zaidi ketawa kuat. "Apa yang aku buat sampai aku digelar jahat? Mereka tu anak derhaka, semua tu balasan Tuhan pada mereka! Bukannya sebab aku."

"Entah-entah mak kau mati pun sebab dia buat dosa pada Tuhan tak? Aku dah agak dah." Zaidi tersenyum kemenangan bagai apa yang dia fikirkan itu semuanya benar belaka.

Nafas Amirah jadi turun naik. Sumpah rasa marahnya ingin meledak sekarang juga.

"Atuk jahat!"

"Atuk jahat!"

Tubuh Zaidi diterpa. Habis lelaki itu dipukul kuat oleh Amirah yang dikuasai amarah itu.

Segala rasa amarah yang berkumpul di jiwanya dia tumpahkan pada lelaki itu. Dengan berbekalkan tenaga kecilnya bersama kekuatannya sebagai anak kecil, tubuh atuknya itu dipukul berkali-kali.

"Sakitlah budak!" Dengan mudah tubuh kecil Amirah itu ditolak kuat sehinggakan badan anak kecil itu tercampak dan mengenai dinding bilik. Kuat hentakan pada kepala kedengaran.

Tiada langsung rasa bersalah dalam hati Zaidi. Yang ada pun, hanyalah rasa puas hati apabila melihat cucunya itu seperti takut-takut untuk bergerak.

Biar. Biar budak itu takut dengannya. Bila takut, dia takkan berani lagi untuk melawan arahannya ataupun kurang ajar dengannya. Zaidi tersenyum puas sebelum dia melangkah keluar dari bilik pejabat meninggalkan Amirah yang sedang menahan kesakitan.

"Mama...papa...sakit...," rintih Amirah seorang diri. Air matanya mengalir lesu sambil dia memujuk diri dan memberi semangat pada diri.

"Tapi takpe, Mirah kuat."

"Mirah akan lawan."

"Demi mama."

"Demi papa."

"Mirah boleh tahan sakit ni."

.

.

.

Setiap pagi akan berjalan rutin yang sama. Makan sarapan, keluar bersama Salmah dan Zaidi buat sementara waktu untuk tunjuk bahawa mereka merupakan keluarga bahagia. Pulang rumah, makan tengah hari, ke pejabat Zaidi dan dimarahi lelaki itu kerana tidak berkelakuan seperti yang lelaki itu inginkan. Petang keluar dari rumah, berjalan ke halaman rumah dan berbual dengan pokok yang ditanam oleh pekebun sebelum diarahkan masuk oleh Salmah ke dalam rumah. Malam pula diarah bermacam-macam kerja seperti melipat baju, mengemas dapur, mencuci tandas macam rumah ni tiada pembantu rumah. Waktu malam pula tu disuruhnya. Lepastu ada saja yang tidak kena di mata Salmah dengan kerjanya. Macam mak-mak mentua saja gayanya.

Bermacam deraan yang dia terima.

Bermacam kerja rumah yang dia lakukan.

Bermacam kata-kata kesat dia dengar sehingga telinga dia lali mendengarnya.

Sekalipun dia tidak dibawa berjumpa dengan ayahnya. Sekalipun khabar keluarga Rania tidak pernah sampai kepadanya.

Ke mana sahaja dia ingin pergi, pasti diawasi. Dia hampir berputus asa dengan segala harapan. Bahkan dia hampir berputus asa dengan Rania serta agensi yang pernah dia daftarkan diri itu. Sehinggalah suatu hari, Amirah terdengar perbualan Zaidi dalam talian yang berkata-kata tentang perkara yang tidak dia fahami langsung.

"Kita buat dosa apa? Jangan risaulah, kita jual sebagai ubat, mereka yang salah guna. Dah kalau diorang ketagih, bukankah itu rezeki kita? Tuhan dah buka pintu rezeki kita, kau nak takut apa?"

Sungguh, Amirah tak faham apa yang dibualkan oleh lelaki itu dengan orang di dalam talian. Namun pada keesokan harinya, Zaidi kelihatan lebih ceria dari kebiasaannya.

"Kau nak masuk sekolah tak Amirah? Kau dah 7 tahun kan?" Dan kerana rasa gembira itulah, Zaidi telah tersalah langkah.

Ruthless [C]Where stories live. Discover now