BAB 6

241 12 0
                                    

Walaupun dalam kesamaran cahaya lampu dapur, matanya tetap dapat menangkap kewujudan Hayder Rayyan di situ. Niatnya untuk ke bilik air dibatalkan sebaliknya dia terus menghala ke meja makan yang terletak betul-betul di tengah- tengah ruang dapur. Sejak tinggal di banglo kepunyaan Tan Sri Wahid ini, kerap sangat dia membuang air. Barangkali dia masih belum dapat menyesuaikan dirinya dengan keadaan rumah yang sentiasa terpasang pendingin hawa itu.

Hayder Rayyan dihampirinya. Seketika, dia tersenyum melihatkan gelagat lelaki itu yang kelihatan begitu berselera sekali menjamah nasi dan lauk yang dimasaknya petang tadi. Sehinggakan lelaki itu langsung tidak menyedari kewujudannya di situ.

"Berselera nampaknya Tuan Hayder makan masakan saya tu. Mesti sedap kan kalau dibandingkan dengan air kopi yang Tuan Hayder bancuh sendiri hari tu," sindir Ashraf Izuan penuh bersahaja. Dia sudah pun berdiri betul-betul di tepi meja. Langsung terlupa hajatnya untuk membuang air. Arghhh... demi berperang dengan lelaki ni, apa saja aku sanggup lakukan!

Hayder Rayyan mengangkat sedikit mukanya. Suapannya terhenti. Dia terasa ada selambak darah merah yang tersimbah pada wajahnya. Malu! Ingin saja disorokkan wajahnya itu ke dalam kabinet dapur. Namun sesaat kemudian, dia cuba berlagak biasa. Seolah-olah tiada apa-apa yang perlu dirisaukannya walaupun egonya kali ini sudah jauh melayang entah ke mana kerana malam tadi beriya-iya benar dia menolak sewaktu Ashraf Izuan mempelawanya untuk makan bersama. Dengan lancangnya dia berkata, dia tidak makan masakan kampung.

"Hmm... kalau dah lapar, batu pun boleh jadi sedap! Kalau bandingkan dengan batu pun, rasanya batu lagi sedap daripada masakan kau yang tak seberapa ni!"

Hayder Rayyan kembali menyuap nasi ke mulut dengan menggunakan sudu.

Berdesing telinga Ashraf Izuan mendengarkan bunyi sudu dan pinggan yang berlaga sesama sendiri. Dia tahu Hayder Rayyan sengaja melaga-lagakan sudu dan garpu itu dengan kuat.

"Kalau macam tu, lepas ni saya masakkan lauk batu saja lah untuk Tuan Hayder. Tepi kolam ikan kat luar rumah tu pun ada berlambak-lambak batu sungai. Saya boleh tolong gorengkan kalau Tuan Hayder mahu," bidas Ashraf Izaun semakin berani. Ternyata dia tidak mahu mengaku kalah. Puas hatinya kerana dapat mengenakan lelaki sombong itu.

Hayder Rayyan yang sudah terbakar dengan sindiran budak kampung yang cukup dibencinya itu. Tetapi untuk membalas, dia sendiri sudah hilang kata-kata. Akhirnya, dia hanya mampu mengeluarkan arahan.

"Sudah lah. Kau tak payah nak merepek pagi-pagi buta ni. Pergi bancuhkan kopi untuk aku lagi bagus!" arah Hayder Rayyan. Tegas! Itu sahaja caranya untuk membuatkan budak kampung itu diam daripada menyindirnya.

Ashraf Izaun yang mendengar arahan, bagaikan robot terus menuju ke sinki sementara bibirnya masih ligat menguntun senyum. Dia membasuh tangannya sebelum membancuh secawan kopi. Lama dia di situ untuk memastikan rasa kopi yang dibancuhnya itu tidak pecah. Selesai mengacau sehingga sebati, dia menatang cawan kopi itu dengan berhati-hati, menuju semula ke meja makan yang ditinggalkannya sekejap tadi.

'Mana pula perginya Tuan Hayder ni?' gerutunya di dalam hati sambil matanya merayau-rayau menjeling sekeliling ruang dapur yang luas itu. Kemudian, matanya terluncur pula pada pinggan dan sudu yang ditinggalkan Hayder Rayyan begitu sahaja. Dia akhirnya mengeluh kecil. Tahu lah dia bahawa anak buah majikannya itu sudah pun masuk ke dalam biliknya.

'Marah kan aku lah agaknya tu. Padan muka kau!' ejeknya di dalam hati sambil bersorak meraikan kemenangannya. Bibirnya bagaikan ditarik-tarik supaya dapat tersenyum dengan lebar, selebar-lebarnya. Lantas, dengan hati yang terasa puas dan gembira, kopi yang dibancuhkan untuk Hayder Rayyan tadi dicicip perlahan-lahan, supaya bibirnya tidak panas terbakar. Tanpa dia sedar, habis secawan kopi itu diteguknya tidak sampai beberapa minit.

Hanya Dia Aku CintaWhere stories live. Discover now