BAB 25

270 9 0
                                    

Baru dua hari Ash keluar daripada rumah mewah yang terletak di Cemerlang Height itu, Hayder sudah tidak senang duduk. Dia kelihatan begitu kusut sekali. Sudah dua hari juga dia selalu pulang awal dari pejabatnya. Belum pun sejam dua, dia dah mengangkat punggung pulang semula ke rumah.

Puan Seri Aisyah yang melihatnya berasa simpati. Tapi dalam masa yang sama, hatinya geram! Geram dengan sikap baran anak buahnya yang tidak pernah berubah itu. Tapi kali ini, dia sendiri tidak tahu hujung pangkal dan apa yang menyebabkan Hayder marah-marah pada Ashraf sampai begitu sekali. Bila ditanya pada anak buahnya itu, Hayder selalu sahaja melarikan diri. Bila ditanya pada Ashraf pula, pembantu rumahnya itu hanya menggeleng. Memang beginikah ragam anak-anak muda yang sedang bercinta? Hayder yang berjalan mundar-mandir di ruang tamu terus berhenti sebaik Puan Seri Aisyah menyapanya.

"Sudahlah, Hayder. Tak guna kau seksa diri kau sampai macam tu sekali. Bila dia ada depan mata, kau sakitkan hati dia. Kau tengking dia tak tentu pasal. Sekarang dia dah pun keluar dari rumah ni. Itu yang kau nakkan sangat kan?"

Hayder Rayyan terduduk lemah di atas kerusi sofa. Walaupun kata-kata ibu saudaranya itu cukup perit menyucuk tangkai hatinya, namun dia harus mengakui kebenaran kata-kata itu.

Puan Seri Aisyah terpanggil untuk menghampiri anak buahnya itu. Kasihan pula melihat Hayder berterusan begitu. Tidak sampai hati. Tapi hatinya lebih tidak sanggup melihat Ashraf berterusan dilukai. Walaupun dia masih tidak mengetahui punca pergaduhan mereka berdua. Puan Seri Aisyah melabuhkan duduknya di sebelah Hayder Rayyan.

"Auntie, tolong Hayder. Auntie pujuklah Ash balik semula ke rumah ni. Hayder janji, Hayder takkan lukakan hatinya lagi." Hayder Rayyan yang tadinya tersandar lesu pada belakang sofa terus menegakkan badannya. Tangannya kejap memegang bahu satu-satunya ibu saudaranya itu. Puan Seri Aisyah yang masih belum sempat membetulkan duduknya sudah dirayu dengan bersungguh-sungguh.

Simpati Puan Seri Aisyah terhadap Hayder semakin mencurah- curah. Lebih-lebih lagi setiap kali dia merenung wajah sugul dan berserabut anak saudaranya itu. Dia tahu, Hayder sedang menanggung akibatnya. Dan dia juga tahu, anak buahnya itu benar-benar sudah insaf. Mudah-mudahan. Itulah yang diharapkannya.

"Maafkan auntie, Hayder. Auntie dah tak boleh nak buat apa-apa. Auntie takut kalau-kalau Ash dikecewakan untuk kali kedua. Auntie tak nak berjanji apa-apa pada dia Hayder. Kerana kalau Hayder masih melukai hati Ash, bermakna auntie juga telah memungkiri janji-janji auntie padanya. Tetapi melainkan..." Puan Seri Aisyah terhenti seketika. Payah baginya untuk menghabiskan kata-katanya. Dia menelan air liurnya untuk melancarkan kerongkong yang terasa tersekat.

"Melainkan apa, auntie?" soal Hayder Rayyan tidak sabar. Matanya tidak berkelip-kelip memandang wajah ibu saudaranya itu.

"Melainkan kalau Hayder sendiri yang pujuk Ash..." sambung Puan Seri Aisyah. Itu yang dirasakan terbaik.

Sejurus itu, dia bingkas bangun daripada duduknya. Meninggalkan Hayder Rayyan yang masih kebingungan di situ. Sengaja mahu memberikan ruang pada anak buahnya itu untuk berfikir.




Malam itu, Ash masuk ke bilik tidurnya lebih awal berbanding malam-malam sebelumnya. Entah mengapa fikirannya dirasakan bercelaru. Semasa berbual-bual dengan Puan Dayang dan Adam sebentar tadi pun dia tidak mampu memberi tumpuan yang penuh. Akhirnya, dia terus meminta diri untuk masuk ke dalam bilik tidur. Itu lebih baik daripada membiarkan Puan Dayang dan Adang Dam itu menelah raut wajahnya yang jelas kelihatan mendung itu.

Di atas katil, berkali-kali dia membalik-balikkan badannya. Habis berkerunyut kain cadar yang menjadi alas katil yang sentiasa dijaga baik oleh Puan Dayang itu.

Beberapa minit kemudian pula, dia mencapai smartphone yang terletak di atas kepala katil. Matanya menjadi separuh kecil menahan cahaya putih yang keluar dari skrin telefon apabila punatnya ditekan. Sesaat kemudian, dia mengeluh kecil. Sedikit terkilan kerana tidak mendapat apa apa panggilan mahupun mesej daripada orang yang benar- benar dirinduinya sejak dia pulang ke kampung halaman ini.

Kenapa aku masih mengharapkan dia? Kenapa aku masih rindukan dia? Dia kan dah buang aku jauh-jauh. Dia layan aku lebih hina daripada bangkai busuk! Dia bencikan aku! Aku juga sepatutnya bencikan dia. Bencikan dia! Ya! Aku bencikan dia. Aku benci lelaki tu!' Perkataan benci itu ditekan kuat-kuat dan dipaksa hatinya untuk membenci lelaki itu sedang hakikatnya, dia tidak dapat menafikan bahawa dirinya merupakan seorang lelaki yang sangat bodoh kerana masih menyimpan perasaan pada lelaki yang maha kejam itu.

Hanya Dia Aku CintaWhere stories live. Discover now