BAB 53

119 4 0
                                    

Waktu merangkak pantas. Umpama sekelip mata, Malam menginjak ke siang. Ashraf Izuan terus masuk ke dalam Tuan Aizatt tanpa mengetuk pintu dan meminta keizinan seperti selalu.

Tadi dia sudahpun mengejutkan Tuan Aizatt supaya lelaki itu boleh mandi tetapi malang sekali apabila usahanya itu hanya sia-sia. Tanpa teragak-agak, dia terus meluru ke arah jendela. Dengan geram, langsir yang berwarna biru gelap yang menutupi tingkap sehingga ke paras lantai itu diselaknya seluas mungkin. Kalau boleh, mahu sahaja dia menanggalkan terus langsir tersebut. Biar bilik besar yang gelap dan mendung itu selamanya bercahaya.

Tersenyum dia melihat Tuan Aizatt yang sedang memisat-misat matanya dengan kedua belah tangan. Dia sudah bersedia untuk ditengking oleh lelaki itu. Dan seperti yang dijangka. Tuan Aizatt sudah menjerit bagaikan orang yang terkena histeria.

"Jangan kau berani-berani, buka ikatan langsir tu. Tutup! Aku tak suka cahaya. Aku tak suka!" bentak Tuan Aizatt dengan kasar, namun sedikit pun tidak menggentarkan Ashraf Izuan. Sebaliknya dia tersenyum puas.

"Dah lewat petang ni! Bangun! Masa untuk mandi. Kemudian kita akan makan sama-sama. Makan dengan Mieyka sekali!" Cukup tegas sekali Ashraf Izuan memberikan arahan. Sudah tiada lembut lagi dalam bicaranya.

Jangan harap! Kalau Tuan Aizatt boleh berubah. Dia juga boleh! Lebih-lebih lagi perubahan yang dilakukannya itu untuk kebaikan lelaki itu juga.

Tuan Aizatt langsung tidak menghiraukan suara Ashraf Izuan yang sudah berubah tinggi. Sebaliknya dia buat-buat tidak endah dan kembali menyambung lenanya. Dalam sekejapan sahaja sudah kedengaran kembali dengkuran kecil dari mulutnya.

Ashraf Izuan mengeluh sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Haaa!" Dia tersenyum tiba-tiba.

Tanpa bertangguh, dia terus melangkah menuju ke sink dapur sebelum dia masuk semula ke dalam bilik tersebut dengan sebiji mangkuk sederhana kecil yang berisi air paip. Tanpa teragak-agak, dia terus menjirus mangkuk tersebut tepat ke muka Tuan Aizatt.

Berkerut-kerut muka lelaki apabila dikejutkan dari tidurnya dengan bilasan air hingga terduduk dibuatnya. Dengan berang, Ashraf Izuan dimakinya dengan kata-kata kesat. Dia menghalau Ashraf Izuan pergi dan sebaik sahaja Ashraf Izuan melangkah keluar, dia kembali menyambung tidurnya walaupun dengan pakaian yang sudah basah. Sangkanya Ashraf Izuan sedang bersedih setelah ditengkingnya sebentar tadi dan tidak akan masuk semula ke dalam biliknya, sedangkan Ashraf Izuan sebenarnya sedang mengisi semula mangkuk tersebut dengan air. Kali ini air sejuk. Biar menggigil tubuh lelaki tua itu.

Ashraf Izuan sudah masuk ke dalam bilik tidur Tuan Aizatt. Dia tersenyum apabila melihat lelaki itu sudah tertidur semula. Dengan langkah yang penuh berhati-hati, sekali lagi Ashraf Izuan menjirus Tuan Aizatt dengan air sejuk sehingga tubuh lelaki itu menggelupur dan menggigil kesejukan. Habis satu badan dicurahnya. Berkali-kali dia mengulang perbuatan yang sama sehinggalah Tuan Aizatt meminta maaf dan berjanji akan bangun awal. Kalaulah lelaki itu masih tidak bangun-bangun, dia sudah berkira-kira untuk menadah satu baldi penuh.

Dia bukannya berniat untuk menyeksa sebaliknya dia ingin mendisiplinkan Tuan Aizatt yang suka bangun lambat. Kalau boleh kena tunggu matahari berdiri atas kepala pun masih belum mahu bangun. Dia tahu tindakannya itu agak kejam dan keterlaluan, tetapi demi kasihnya dia kepada Tuan Aizatt apatah lagi lelaki yang telah berkorban nyawa untuknya, dia rasakan perlu untuk berkasar dengan lelaki itu buat masa ini. Semoga dengan itu, Tuan Aizatt akan kembali menjadi dirinya yang sebenar.

Berkat kesabaran Ashraf Izuan, akhirnya Tuan Aizatt sudah mula berlembut dan 'berbahasa' dengannya. Melihatkan kesungguhan serta kesabaran Ashraf Izuan selama menjaganya, hati Tuan Aizatt bagaikan dipujuk-pujuk. Ashraf Izuan sememangnya seorang lelaki berhati mulia. Dia masih sanggup meneruskan khidmatnya walaupun gajinya sudah beberapa bulan tidak dibayar memandangkan Tuan Aizatt sendiri sudah kekeringan wang lantaran simpanan yang hanya cukup untuk makan dan minum mereka sahaja.

Hanya Dia Aku CintaWhere stories live. Discover now