BAB 12

221 10 0
                                    

Ada pagi hujung minggu itu, Tan Sri Wahid dan Dato Khalid sudah pun keluar daripada rumah untuk bermain golf sebaik sahaja jam tepat menginjak ke angka lapan. Tidak lama selepas itu, Puan Seri Aisyah dan Datin Camelia pula keluar daripada rumah. Katanya, mereka ingin membeli-belah.

Ada juga majikannya itu mengajaknya untuk turut serta tetapi dia sahaja yang tidak mahu. Masakan dia hendak mengharap seratus peratus pada Hayder Rayyan untuk menjaga kedua- dua adik kembarnya yang nakal itu sedangkan Hayder Rayyan sendiri berkelakuan seperti budak-budak. Lagipun, hatinya cukup terseksa setiap kali terpandangan jelingan sinis Datin Camelia. Mengenangkan hal itu, pantas Ashraf Izuan menolak pelawaan majikannya yang baik hati itu.

Jarum jam pendek sudahpun menginjak ke angka 10 manakala jarum panjang pula terhenti di angka enam. Ketika itu, Ashraf Izuan sedang menyapu di halaman rumah sebelum dia teringat pada Hayder Rayyan dan adik-adik kembarnya yang masih belum bangun daripada tidur. Segera dia berlari-lari anak menghala masuk ke dalam rumah.

'Dah pukul 10.30 pun belum bangun lagi?" Matanya tertancap pada jam yang terlekap pada dinding sebelum kakinya melangkah, memijak satu demi satu anak tangga yang menghala ke bilik tidur Hayder Rayyan. Berkali-kali dia mengetuk pintu bilik tidur tersebut tetapi tetap tiada sahutan. Tidak habis di situ, dia kemudiannya melaung-laung pula memanggil Hayyun dan Hanan.

'Mana budak-budak berdua ni? Liat bangun pagi macam abangnya jugak ke?"

Buntu fikirannya. Hendak dibiarkan, bimbang pula dia akan dimarahi lelaki yang banyak karenah itu. Semalam Hayder Rayyan ada menyuruhnya menyeterikakan bajunya. Katanya dia ada urusan dengan klien pukul 12.00 tengah hari ini. Jika terlewat, bimbang dirinya pula yang akan dipersalahkan. Selama ini pun Hayder Rayyan memang sengaja mencari kesalahannya!

Dia akhirnya memberanikan dirinya untuk memulas tombol pintu bilik Hayder Rayyan walaupun dia yakin dia akan dimarahi oleh lelaki itu. Sekali memulas, segera dia menolak perlahan-lahan pintu bilik itu seluas-luasnya. Tiba-tiba dadanya terasa sempit. Mulutnya sudah terlopong.

'Baru semalam aku kemas, hari ni dah bersepah balik? Memang saja nak naikkan kemarahan aku lah ni! Mentanglah- mentang ada orang gaji untuk buat semua ni. Makin menjadi- jadi perangai pemalas dia tu!' Ashraf Izaun mengetap giginya kuat-kuat.

Sesak pandangannya melihatkan biji-biji bantal dan kain-kain selimut yang berselarak di dalam bilik besar itu. Barang-barang permainan kepunyaan Hayyun dan Hanan juga bersepah-sepah di merata tempat. Lupa dia seketika pada tujuan asalnya masuk ke dalam bilik tersebut sebelum telinganya tiba-tiba menangkap keriuhan suara dari tingkat bawah.

'Aikk... dah bangun ke budak-budak berdua tu? Macam mana aku boleh tak perasan pulak?' soalnya di dalam hati dengan dahi yang sudah berkerut-kerut. Belum pun hilang lelahnya mendaki anak-anak tangga, kelam-kabut pula dia menuruni satu per satu anak tangga tersebut. Pantas sahaja kakinya melangkah. Dalam hati, dia yakin benar bahawa Hayyun dan Hanan sedang berada di ruang dapur. Sedang bersarapan agaknya,' tekanya di dalam hati sementara kakinya terus melangkah. Malang sekali, tekaannya sebentar tadi itu nyata telah jauh tersimpang. Kepalanya ditoleh ke kiri, ke arah bilik mandi utama yang terletak di hujung dapur.

Tubuhnya dipusingkan supaya lurus menghadap Hayder Rayyan dan kedua adik kembarnya yang sedang berseronok sampai tak ingat dunia itu. 'Sudah lah bilik tidur bersepah macam tongkang pecah. Sekarang ni bilik air pula yang menjadi mangsa.'

Menambahkan lagi kemarahannya, Hayder Rayyan yang sudah tua bangka juga turut sama terlibat. Kalau budak-budak, nyatalah dia masih mampu untuk bersabar dan bertolak ansur.

Hanan dan Hayyun yang baru menyedari kemunculan Ashraf Izuan saling berpandangan sebelum kedua-duanya menyorok di belakang abang longnya itu. Hayder Rayyan yang hanya berseluar pendek paras lutut dan tidak berbaju sekadar tersengih, menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.

Hanya Dia Aku CintaWhere stories live. Discover now