Bab 19

1.4K 49 8
                                    

Pagi itu seperti biasa, Kirana bangun untuk menyediakan sarapan buat mereka sekeluarga. Peti sejuk dibuka. Barang basah sudah berkurangan. Niatnya selepas Zuhur nanti dia hendak keluar ke pasar raya untuk membeli barang. Waktu itu, Ashraff masuk ke ruang dapur.

Kirana tidak menegur sebaliknya dia berpura-pura seolah Ashraff tidak wujud di hadapannya. Tiba-tiba Ashraff datang merapati sebelum memeluk pinggang Kirana dari sisi. Pasti Nadine ada di tingkat bawah.

"Sayang, kenapa senyap aje ni?" soal Ashraff. Kirana rasa hendak cepuk sahaja suaminya kala ini. Tapi, disabarkan hati demi menjayakan lakonan mereka berdua.

"Tak ada apalah. Abang, duduklah kat depan dulu. Nanti Kira dah siap masak, Kira hidangkan." Sehabis mungkin dia cuba berlakon. Ashraff memegang jari isterinya yang masih berbalut itu. Jari itu diusap perlahan.

"Kenapa sayang balut sendiri luka ni? Abang kan ada? Risau betul abang bila abang dah bangun tadi sayang tak ada. Baru ingat nak sweet-sweet dengan isteri kesayangan abang ni," ujar Ashraff. Kirana hanya menjeling.

Over lah pulak lakonan pak cik ni. Sweet kepala otak dia! Luka kat jari ni dia nampak. Tapi luka kat hati aku ni? Binaweh punya suami! Kirana mengutuk dalam hati.

Kirana tidak membalas kata-kata Ashraff. Lelaki itu faham, pasti Kirana masih terasa dengan kata-katanya semalam. Dia membantu Kirana menyediakan sarapan.

"Nad sayang, jom breakfast? Mama dah siap masak," pelawa Kirana. Ashraff dapat melihat Kirana tidak berpura-pura menyayangi Nadine. Dia ikhlas sayangkan Nadine. Nadine mengeluh berat sebelum bangun menuju ke ruang makan.

Ikutkan hati, memang dia tidak mahu melihat drama papa dan mama tirinya. Namun disebabkan perutnya sudah lapar, dia terpaksa hadap juga. Tak guna mogok lapar. Rezeki dah ada depan mata, balun ajelah, getus hati Nadine.

Terubat sedikit lara di hati Kirana apabila dia melihat Nadine begitu berselera memakan nasi lemak yang dibuatnya. "Kalau Nad nak tambah lagi, tambah aje ya? Mama masak banyak hari ni," ujar Kirana sambil mengukir senyuman manis buat anak tirinya.

"Sayang," panggil Ashraff. Dah mula dah!

"Kenapa?" Ashraff tidak menjawab, sebaliknya dia memberi isyarat mata kepada isterinya untuk menyuap dia makan. Kirana mengerti maksud isyarat mata suaminya. Terpaksa dilayan lakonan suaminya.

Kirana perasan, Nadine memandang ke arah lain sambil mengunyah makanan. "Nad sayang, jangan makan macam tu. Tak baik pandang ke arah lain masa tengah menghadap rezeki," pujuk Kirana lembut. Nadine ikutkan juga pujukan mama tirinya.

Tersenyum Kirana melihat tingkah Nadine itu. "Sayang abang pun tak baik tau pandang ke arah lain masa tengah suapkan suami. Nak lagi, sayang?" Ashraff mengusik. Eh, pak cik ni nak perli-perli aku pulak. Dengan muka yang terpaksa dimaniskan, dia menyuap nasi lemak ke dalam mulut suaminya.

"Kira nak mintak izin, nak keluar lepas Zuhur ni?" tanya Kirana selepas dia selesai menyuap suaminya makan. Ashraff yang sedang meneguk air menoleh ke arah isterinya.

"Sayang nak pergi mana?"

"Nak pergi supermarket. Barang dapur dah nak habis."

"Kita pergi sama-sama ya? Abang risaulah sayang keluar sorang-sorang," ujar Ashraff.

"Nad pun nak ikut." Nadine bersuara selepas sedari tadi dia hanya menjadi pemerhati. Kirana tersenyum.

"Boleh, sayang." Kirana membalas. Buat pertama kali Nadine tersenyum padanya. Adakah Nadine sudah mula menerima dirinya sebagai ibu? Terharu Kirana dengan tingkah Nadine itu.

SEWAKTU sedang mencari barang dapur, mereka sekeluarga ternampak kelibat seseorang yang amat dikenali. "Mama!" Nadine menjerit keriangan apabila terlihat kelibat Sofea datang ke arah mereka. Dengan menolak stroller Haikal, dia berlari ke arah Sofea. "Hai sayang-sayang mama. Mama rindu sangat." Sofea memeluk tubuh Nadine.

"Nad, janganlah tolak stroller adik laju-laju macam tu, bahaya," tegur Ashraff yang sudah menghampiri mereka, meninggalkan Kirana seorang diri menolak troli yang penuh dengan barang-barang.

"Hai Ash. Kebetulan pulak kita terjumpa kat sini," tegur Sofea. Ashraff mengukir senyuman.

"Itulah. Kebetulan pulak terjumpa."

"Papa, mama, jom?" Nadine menggamit mama dan papanya untuk ke ruangan lain pula. Sebelum berlalu, sempat Nadine mengerling ke arah Kirana yang berada di belakang mereka sambil tersenyum sinis.

Rupanya mereka bukan kebetulan bertemu di situ. Nadine yang merancang sebenarnya. Patutlah dia beriya-iya hendak mengikutnya membeli-belah.

Nadine sengaja berjalan di sebelah mamanya sambil menolak stroller Haikal. Dia cuba merapatkan tubuh Sofea pada Ashraff dan Ashraff tidak membantah apa-apa. Kirana nampak semua itu. Dengan hati yang pedih, dia menolak troli mengikuti langkah mereka.

Kala itu, Kirana merasakan dirinya tidak ubah seperti orang gaji mereka. Sangkanya, Nadine sudah boleh terima jodoh dia dengan papanya. Namun sangkaannya meleset. Nadine hanya mahu menyakitkan hatinya yang sudah sedia sakit.

Ya Allah, Kau kuatkan aku. Doa Kirana dalam hati.

MY BELOVED BABYSITTER (complete ✅)Where stories live. Discover now