BAB 1

797 59 10
                                    

BUNYI loceng di perkarangan sekolah menandakan berakhirnya waktu pembelajaran. Seorang budak lelaki dengan pakaian sekolah yang lusuh bergegas melompat bangun dari kerusi dan menyauk tali beg sekolah yang hampir putus itu.

          "Khai! Petang ni jom main bola." Seru Ismail seraya mengejar Nakhaie yang laju saja berjalan keluar dari kelas.

          Pelajar lelaki bernama Nakhaie itu berpaling ke belakang.

          "Sorrylah. Petang ni aku ada janji dengan nenek aku. Lain kali ya?"

          "Janji apa pula?"

          "Teman Nek Norma kutip sayur di kebun. Besok nak jual, nanti aku dapatlah beli beg sekolah baru. Kau tengok beg aku ni, dah nak putus sebab buku berat sangat." Nakhaie tunjuk tali begnya yang putus separuh.

          Ismail geleng kepala melihat betapa daifnya hidup sahabatnya itu. Beg Nakhaie ada kesan jahit yang berkali-kali. Mungkin dah banyak kali terkoyak.

          Nakhaie tersengih seraya kembali menggalas beg ke bahu. Walaupun dia dapat duit bantuan pelajar miskin dari pihak sekolah, tapi duit itu habis untuk membeli buku sahaja. Tak cukup mahu membeli beg dan baju sekolah yang baru.

          "Mama kau tak belikan beg baru ke?" Pelik juga Ismail dibuatnya. Bukankah setiap kali buka saja sekolah, ibu bapa yang akan sediakan semuanya? Macam mama dan papa dia. Awal tahun saja, dia dan adik-adiknya akan dibawa membeli keperluan sekolah.

          Berbeza pula dengan Nakhaie. Baju pun kecil, macam tak muat dah nak pakai. Warnanya kepam walaupun pakaian Nakhaie bersih dan tak berbau busuk.

          Nakhaie seorang lelaki yang agak kacak walaupun usianya masih muda. Malah lelaki itu sentiasa tersenyum dalam apa jua keadaan membuatkan rakan-rakan dan guru senang dengan sikap Nakhaie.

          "Mama akukan sakit. Dah la aku balik dulu!" Nakhaie melambai ceria lalu berlari anak berjalan kaki untuk pulang ke rumah meninggalkan Ismail yang masih terfikir-fikir kenapa Nakhaie perlu bersusah payah untuk beli keperluan sendiri. Iyalah, mereka baru 12 tahun. Patutnya ibu bapalah yang belikan.

          Dari sekolah, Nakhaie perlu berjalan lima kilometer untuk sampai ke rumah. Walaupun tengah hari itu matahari terpacak atas kepala, Nakhaie tetap bersemangat untuk pulang.

          Otaknya dah mula mengira-ngira upah yang dia bakal dapat nanti. Sayur seikat dua ringgit. Bagi Uncle Chong seringgit setengah. Keuntungan 50 sen. Kira-kira dia dapat 20 sen upah setelah berkongsi dengan nenek. Nakhaie membayangkan pula keluasan kebun Uncle Chong. Besar jugak, boleh dapat 100 ikat agaknya.

          Jadi dia akan dapat RM 20. Ada rasanya beg sekolah berharga RM 20.

          Nakhaie tersenyum lebar sehingga mempamerkan lesung pipit dikedua belah pipinya.

*****************************

NEK NORMA berdiri tegak sambil mengesat peluh di dahi. Bajunya dah basah kuyup disimbahi peluh. Petang ni masih berbahang lagi. Mata melilau mencari susuk tubuh kecil cucunya yang turut membantu sejak tadi.

          Nun jauh di hujung kebun, gigih Nakhaie mencabut kangkung dari batas, lalu dikirai seketika agar pasir yang membalut akar jatuh ke tanah. Kemudian cekap dia memasukkan kangkung itu ke dalam bakul.

          Nek Norma tersenyum nipis. Nakhaie dah mahir. Alah bisa tegal biasa. Tetapi saat melihat peluh yang membasahi tshirt lusuh cucunya satu perasaan sedih menyusup ke dada. Anak-anak sebaya Nakhaie sibuk bermain. Tetapi Nakhaie perlu bekerja.

ADAM NAKHAIEWhere stories live. Discover now