BAB 3

270 27 2
                                    

MASUK-MASUK aje ke dalam dewan besar itu, benda pertama sekali yang Nakhaie cari adalah meja bernombor N 025. Meja Aisyah Erina. Kosong. Padahal semua pelajar telah masuk ke dalam dewan itu untuk menduduki peperiksaan.

Ketua pengawas peperiksaan menjelaskan peraturan-peraturan ketika itu. Pelajar yang lain khusyuk mendengar tetapi tidak Nakhaie yang tidak senang duduk di tempatnya.

Melihat jam yang sudah tepat waktu untuk mula menjawab soalan, Nakhaie semakin keresahan. Mana Aisyah ni? Takkan gadis itu lupa yang dia akan menduduki peperiksaan penting, SPM.

"Erina, mana kau?" Bisiknya perlahan. Sekejap-sekejap dia menoleh melihat pintu masuk dewan yang terletak di bahagian belakang. Berharap yang Aisyah akan melangkah masuk walaupun telah lewat daripada waktu yang sepatutnya.

"Anda boleh mula menjawab sekarang."

Serentak bergema bunyi helaian kertas yang diselak. Nakhaie mengacip gigi. Tangan digenggam kemas menahan perasaan risau. Lambat-lambat dia mencapai pen lalu buku soalan turut dibuka dan dibaca.

Masa kian berjalan. Sambil menjawab Nakhaie tidak lepas memikirkan keadaan Aisyah. Dia baik-baik sajakah? Dia tertidur ke? Itu sebab dia tak datang?

Nakhaie langsung tidak boleh fokus. Entah apa yang dijawab pun, dia tak pasti betul atau tidak. Hilang sudah formula yang dia ingat dan nota-nota yang telah dibaca.

"Masa menjawab tamat!"

Pap!

Nakhaie meletakkan kepalanya di atas meja. Kepenatan. Mukanya mengadap ke arah kanan. Merenung meja Aisyah yang kosong. Rasa sesal tidak pergi ke rumah Aisyah sebelum datang ke sekolah.

"Pssstt. Psst." Nakhaie bersiut memanggil Haliah yang duduk di meja hadapannya. Kaki kerusi Haliah disepak-sepak agar gadis itu berpaling mengadapnya. Haliah pasti tahu keberadaan Aisyah kerana mereka rakan sekampung yang rapat dengan Aisyah.

"Lia, Erina mana?" Dia bersuara perlahan.

Haliah berkerut kening sambil mengangkat bahu menandakan dia juga tidak tahu ke mana Aisyah.

Nakhaie menghela nafas panjang. Pengawas peperiksaan yang sedang mengumpul kertas jawapan direnung keresahan. Cepatlah selesai! Dia sudah tidak sabar ingin pergi dari situ dan mencari Aisyah.

Elok sahaja pegawai peperiksaan membenarkan semua pelajar keluar, Nakhaie bergegas mencari beg sandangnya di luar dewan lalu bergerak ke tempat parkir motosikal yang berada tidak jauh dari situ.

"Wei, Khai! Nak pergi mana? Jom lepak dulu." Faizal dan kawan-kawan yang lain menunggu jawapan Nakhaie di atas motosikal masing-masing. Tinggal Nakhaie kata ON sahaja.

"Kau orang pergilah. Aku nak cari Erina." Nakhaie pakai helmet ke kepala sambil menghidupkan motosikalnya.

"Laa... cari awek dia la pulak!" Sakat Jenal yang duduk membonceng di belakang Faizal. Kawan-kawan yang lain menggelakkan Nakhaie.

Nakhaie herot muka. Malas nak layan. Terus dia menekan minyak dan memecut keluar dari kawasan sekolah itu.

Tempat pertama dia pergi adalah rumah gadis itu. Tidak sampai sepuluh minit perjalanan dari sekolah, dia telah sampai di hadapan rumah Aisyah.

Rumah kampung yang diperbuat daripada kayu itu tertutup rapat pintu dan tingkapnya. Aduhai, mana pula minah ni pergi.

Aisyah hanya duduk berdua dengan abahnya. Siang-siang memang Pak Khalid keluar pergi kerja. Dan Aisyah pula bermula jam tiga pagi akan bangun membuat kuih. Pukul lima pagi gadis itu akan menjualnya di tepi jalan depan rumah.

ADAM NAKHAIEWhere stories live. Discover now