BAB 8

256 23 0
                                    

"SAYANG..."

Pipi yang basah pantas diseka. Takut Nakhaie sedar yang dia sedang menangis. Lalu senyuman manis terukir pada bibir seraya berpaling ke belakang.

Nakhaie geleng kepala perlahan. Dia bukan tak nampak muka merah isterinya. Mata juga sembap. Pintu bilik ditutup lalu dia mendekati Aisyah yang sedang mengadap dinding.

Setelah mengambil tempat di sebelah Aisyah, dia merangkul erat bahu itu. Sama-sama mereka memandang dinding kayu bilik yang bercat warna krim.

"Aisyah Erina kesayangan Nakhaie ni sedih-sedih pun comel. Kenapa kalau menangis kena mengadap dinding eh?" Sakat dia agar suasana suram bilik itu berubah sedikit mesra.

"Mana ada nangis." Gumam dia dengan suara parau.

Nakhaie buat muka terkejut. Kepala ditundukkan mengintai Aisyah yang menyorokkan wajah darinya.

"Oh... tak menangis rupanya. Jadi air mata kat pipi ni tanda apa? Tumpah air?" Ibu jari Nakhaie mengesat lembut pipi isterinya.

Alo... makin panjang muncung Aisyah. Tangan Nakhaie ditepis dengan muka menahan marah. Dijeling suaminya yang tak sudah-sudah tayang sengih.

"Sayang boleh ambil semula SPM tahun ni. Abang dah tengok, tarikh tutup pendaftaran SPM ulangan ni bulan enam." Nakhaie memujuk lembut. Dia sedar yang Aisyah sedih kerana itu.

Hari ini keputusan SPM keluar. Dan alhamdulillah, keputusan Nakhaie cemerlang. Semuanya A.

Cuma dia rasa serba salah nak raikan rasa gembira itu bila mengenangkan isterinya yang tak dapat menjawab beberapa subjek akibat terlantar di hospital.

Sudahlah itu, subjek yang tak sempat diambil pula adalah subjek teras. Subjek wajib lulus.

"Tak la... sayang okey je."

Rangkulan makin dieratkan. Nakhaie tarik kepala Aisyah agar bersandar pada bahunya. Sesekali dia mengucup lama ubun-ubun isterinya itu.

"Erina... kalau sedih kena cakap sedih. Tak salah pun meluahkan. Awak dah ada saya untuk berkongsi segala-galanya."

Aisyah lap air mata yang kembali mengalir pada pipi. Dia memang tak dapat nak tahan sebak kalau ada Nakhaie di depan dia.

Nakhaie tahu aje apa yang dia rasa.

"Sedih aje sebab impian tak tercapai. Abang jangan rasa bersalah pula. Abang pun patut raikan, result abang cemerlang."

"Nak raikan apa. Abang dah biasa dari kecil tak raikan apa-apa."

Mama meninggal ketika dia berusia 12 tahun. Nek Norma pun dah tua. Mereka hidup ala kadar saja. Jadi dia tak berharap apa-apa.

"Impian sayang bukan tak tercapai, tapi Allah tangguhkan. Ingat, setiap permintaan kita bukan Allah tak beri, tapi kerana ada doa-doa yang kita minta daripada Allah, Allah tak makbulkan dalam bentuk yang kita mahukan."

"Boleh jadi doa kita akan terus termakbul di dunia. Boleh jadi Allah makbulkan di akhirat dan boleh jadi Allah tak makbulkan kerana mendatangkan keburukan pada kita. Teruslah bersangka baik dengan takdir Allah, sayang."

Aisyah senyum. Lapang dada setelah dipujuk Nakhaie. Jemari sang suami yang berada pada pipi digenggam erat.

Nakhaie nampak terlalu kacak dengan baju Melayu dan kain pelikat dia. Aisyah suka melihat Nakhaie berbaju Melayu.

ADAM NAKHAIEWhere stories live. Discover now