BAB 10

233 21 0
                                    

NEK NORMA geleng kepala melihat pasangan yang tak habis-habis bermanja depan dia ketika itu. Naik berbulu mata dibuatnya. Dia nak tengok berita, tapi tengok drama cintan cintun cucunya pula.

"Nakhaie, berbulu mata nenek tengok kamu tak habis mengganggu Ai lipat baju. Cuba tolong sekali." Sergah Nek Norma setelah lama memerhati cucunya itu.

Nakhaie tak habis-habis memeluk Aisyah. Wanita itu pula sedang melipat baju-baju Nakhaie untuk dimuatkan ke dalam beg.

"Nenek ni, bagilah can sikit." Nakhaie rebahkan kepala pada bahu isterinya. Saja tayang muka berlagak pada Nek Norma yang dah juling mata ke atas melihat aksinya itu.

Aisyah dan dia serentak tergelak.

"Dari hari pertama kahwin nenek dah bagi can. Tepi sikit, orang nak tengok berita ni!"

Nakhaie tarik Aisyah agar mengengsot sedikit ke tepi. Dari sisi dia peluk bahu isterinya itu. Tangan tak henti-henti merayap pada perut Aisyah yang dah mula nampak perubahan.

Lusa dia akan melapor diri di UiTM. Risau. Tapi dipendamkan saja dalam hati. Dia tak mahu Aisyah dan Nek Norma bimbang tentang dirinya.

Dia lelaki, tahulah nanti dia nak hidup. Cuma dia risaukan Aisyah dan Nek Norma yang bersendirian di rumah tanpa ada lelaki yang melindungi wanita kesayangannya itu.

Apatah lagi mereka bakal menyambut kelahiran anak tak lama lagi.

Sedar tak sedar Aisyah dah mengandung empat bulan. Banyak keperluan baby lagi yang mereka tak beli.

"Erina sayang, kalau saya tak ada di sisi awak nanti, awak kena jadi wanita yang tabah. Kena kuat. Ingat yang dunia ni tempat sementara kita. Allah akan terus uji dan uji. Ujian itu adalah jalan untuk kita ke syurga. Awak boleh tersungkur. Awak boleh menangis. Tapi selepas itu awak kena bangkit."

"Janganlah cakap macam tu. Awak cuma nak pergi belajar, Nakhaie. Saya tak sukalah awak pesan macam ni." Aisyah tarik muncung. Seluar Nakhaie dilipat lalu dimasukkan ke dalam beg sebelum dizip.

Ucapan Nakhaie buat dia rasa bimbang.

Nakhaie tersenyum lembut. Merenung sisi wajah isterinya. Rambut Aisyah diusap.

"Saya sayangkan awak, Erina." Nakhaie berbisik perlahan. Cukup untuk didengari mereka berdua sahaja.

Nek Norma pula tak ambil kisah setelah dapat melihat berita.

"Saya pun." Aisyah menyahut perlahan.

"Janji dengan saya yang awak akan kuat. Hurm?" Rambut panjang Aisyah diselit ke belakang telinga lalu tangannya melekap kemas pada rahang isterinya itu. Mengusap lembut di situ.

"Nakhaie..."

"Janji?"

"Janji."

"Saya nak awak, saya dan anak kita berjumpa di syurga. Hidup kekal di sana. Tempat rehat kita yang abadi."

Makin runsing Aisyah nak lepaskan Nakhaie pergi. Dia mula takut.


****************


NAIK risau Nek Norma dan Aisyah melihat Nakhaie berkali-kali cuba menghidupkan enjin motosikal buruknya itu.

Berkerut-kerut muka dua manusia itu tetapi Nakhaie hanya tergelak-gelak sambil kakinya menekan-nekan pedal pada kaki.

Almaklumlah motosikal lama. Secondhand pula tu. Dia beli secara ansuran dengan Abang Razi memandangkan jiran mereka itu baru saja beli motosikal baru.

Daripada terus terbiar tak terpakai, Abang Razi bagi Nakhaie pakai untuk ke sekolah. Sudahnya Nakhaie kerja part time jual burger malam-malam ketika berusia 16 tahun. Dapat saja gaji dia terus bayar pada Abang Razi. Lelaki itu pun serba salah nak ambil kerana tahu kepayahan Nakhaie mencari duit. Dia ambil seribu sahaja bagi menyedapkan hati kedua-dua pihak.

Motosikal itulah yang digunakan Nakhaie membawa Nek Norma dan Aisyah ke mana-mana. Kali ni motosikal itu akan membawa Nakhaie ke Kuala Lumpur pula.

"Khai, risaulah nenek tengok motor kamu ni. Naik bas sajalah." Tegah Nek Norma. Teruk benar keadaan motosikal itu nampaknya.

Entah sempat ke tidak sampai di bandar nanti. Takut mati di tengah lebuh raya lagi niaya.

Nakhaie sengih seraya menggaru dagu.

"Susahlah nek kalau tak bawa motor. Khai ingat nak buat Foodpanda malam-malam. Jadi adalah duit sikit nak beli barang Sofia."

Aisyah dan Nek Norma saling berpandangan. Tak habis-habis dengan Sofia dia.

Makin takut Aisyah nak bersalin. Takut yang keluar lelaki dan Nakhaie bagi nama Sofie Jikan! Ini semua Nakhaie punya fasal menyakat dia tak sudah. Membuatkan dia rasa fobia.

"Nenek dah jual tanah kita tu. Janganlah kamu runsing."

Nakhaie terkaku. Terkejut dia.

"Bila? Nenek tak cakap pun." Dia sayang tanah tu. Itu sajalah harta Nek Norma.

Nek Norma seluk kocek baju kurung kedahnya. Lalu satu sampul surat berisi duit yang agak tebal dihulur pada cucunya itu.

"Buat belanja di sana. Jangan risaukan kami. Tumpukan pada pelajaran."

Nakhaie pantas menggeleng. Ditolak lembut huluran tangan nenek.

"Nek, tak naklah. Khai lelaki. Tahulah Khai nak hidup."

"Kamu aje yang nenek ada. Jadi, pada siapa lagi tanah tu nak jatuh. Pada kamu juga. Nenek jual sebab memang tak larat nak jaga. Aku dah tua, Nakhaie. Kamu belajarlah rajin-rajin. Cari kerja yang bagus nanti."

Bergenang mata Nakhaie dan Aisyah. Pantas Nakhaie turun dari motosikal dan memeluk neneknya.

"Sayang tanah tu." Sempat lagi dia menggumam di telinga Nek Norma.

Nek Norma yang sebak pantas tertawa lalu dipukul bahu Nakhaie.

Nakhaie memang tak bagi peluang langsung untuk dia bersedih. Tahu saja cara buat dia ketawa semula.

"Dah, belajar rajin-rajin. Ingat sikit kamu tu ada isteri dan bakal ada anak. Jangan buat perkara bukan-bukan, Khai."

Pipi berkerepot Nek Norma dikucup Nakhaie bertalu-talu. Sayang sungguh dia pada neneknya itu.

"Tahu, nek. Terima kasih besarkan Khai dengan penuh kasih sayang. Khai sayang nenek."

Kemudian dia beralih pula memeluk dan mengucup dahi Aisyah. Padahal dalam bilik sebelum keluar tadi dah puas meluah sayang.

"Abang sayang awak dan anak kita." Nakhaie usap perut Aisyah beberapa kali. Dia bakal rindukan rutinnya itu.

Aisyah mengangguk perlahan.

Kali ni barulah berjaya motosikal itu dihidupkan.

"Abang, hati-hati! Dah sampai call tau!" Laung Aisyah dengan nada bergetar.

"Baik, sayangku. Bye, bonda segala ratu dan ratu hatiku." Nakhaie melambai ceria pada dua kesayangannya itu.

Aisyah mahu menangis tapi ditahan saja kerana tak mahu Nek Norma juga menangis.

Ini pertama kali Nakhaie pergi jauh dari mata mereka.

Ya Allah... tolonglah permudahkan urusan suamiku menuntut ilmu. Berkatilah kehidupan suamiku yang sangat baik ini. Bawalah dia kembali ke dalam dakapan kami dengan selamat.

ADAM NAKHAIEWhere stories live. Discover now