Chapter 11

10 1 0
                                    

Aiman masih erat memeluk Ainul. Menyalurkan kekuatan buat adik kesayangannya. Maklumlah, Ainul satu-satunya adik yang dia miliki. Sudah tentu dia akan menjadi adik yang paling disayanginya dalam dunia ini. Belakang Ainul diusap lembut. Ubun-ubunnya dikucup penuh sayang.

"Abang..." Serak, Ainul memanggilnya. "Adik malu. Adik malu dengan diri sendiri, dengan Allah. Adik malu dengan abang dan semua orang. Adik malu dengan apa yang adik pernah buat." Adu Ainul. Sekali lagi, air matanya mengalir tanpa dia sedara. Matanya sudah cukup bengkak akibat terlalu banyak menangis.

"Adik, apa perasaan adik tentang perkahwinan yang abah aturkan tu?" Ainul meleraikan pelukan. Dia menunduk pandangan. Tidak mahu menatap Aiman. Bibirnya kelu dari mengeluarkan bicara. "Adik... tak tahu?" Perlahan dia menjawab. Tapi masih boleh didengari Aiman.

"Adik tak tahu perasaan adik. Susah nak jelaskan. Tapi..."

"Adik masih tertarik dengan Wafi? Cukup sekadar tertarik je. Adik tahu, kan? Abang tahu yang adik pernah minat dekat Wafi zaman sekolah. Adik masih tertarik pada dia sekarang? Cukup sekadar tertarik je." Duga Aiman. Ainul diam sejenak berfikir. Menguras otak dan perasaannya tentang apa yang baru saja Aiman ungkapkan.

Jika diimbau kembali perasaannya terhadap Wafi lapan tahun lalu, ya. Dia kagum pada lelaki itu. Kagum bukan sekadar pada rupanya. Malah pada keperibadiannya. Dia pernah menyukai Wafi ketika itu. Tapi semakin berjalan waktu, perasaan itu seakan hilang. Tapi bukan bererti tidak ada langsung perasaan itu, masih ada biarpun hanya sedikit. Lebih-lebih lagi dek kerana dia kerap berjumpa Wafi di Tahfiz Darul Nadwa.

"Adik masih tertarik dengan Wafi, kan? Adik boleh jujur dengan abang." Pujuk Aiman. Ainul merenung Aiman lama. Lama-kelamaan dia menunduk wajah. Membiarkan rambut depannya menutupi sebahagian mukanya. Dia bukan tak tahu apa yang Aiman fikirkan. Dia tak mahu libatkan Wafi dalam keadaannya. Wafi lelaki yang baik. Ainul malah pernah melakukan perkara terkutuk. Mana mungkin dia layak untuk Wafi.

"Semua orang boleh berubah, adik."

"Memang semua orang boleh berubah abang. Tapi ini melibatkan hati dan perasaan. Adik tak tahu macam mana nak keluar dari dunia ni. Perasaan ni... ia buat adik lemas." Ainul menutup mukanya dengan kedua tapak tangan.

"Macam mana penerimaan Wafi sekiranya dia tahu kalau adik ni pernah suka perempuan. Bukan sekadar suka, adik pernah pergi jauh dari tu. Apa dia boleh terima? Sedangkan abang sendiri pun susah nak terima kenyataan tu. ini pula Wafi." Ainul memegang tangan Aiman erat. Aiman termangu seketika. Cuba merasakan derita yang dirasai si adik. Tidak dinafikan, dirinya sendiri juga terkejut dan sukar untuk menerima bahawa adiknya seperti itu.

"Apa ini yang adik selalu fikirkan? Sebab tu adik rahsiakan semua ni dari abang? Dari ibu dan abah?" Hanya anggukan kecil dari Ainul sebagai jawapan. Tangannya menggangam penumbuk. Sakit hatinya ketika tidak banyak yang boleh dia bantu untuk Ainul keluar dari dunia itu. Dunia golongan minoriti yang secara hakikat, kebanyakan mereka menyedari bahawa rasa itu salah sama sekali.

Cinta itu adalah kurniaan Tuhan. Namun, cinta itu harus dibawa selari dengan perintah agama. Jangan melampaui batas sehingga membuatkan manusia tergolong dalam kalangan umat Nabi Luth.

*****

Wafi keluar dari kelas. Berjalan di sepanjang koridor kaki lima banggunan. Kakinya melangkah ke bilik yang dikhaskan untuk tenaga pengajar di tahfiz itu. Masuk saja ke bilik itu, dia dikejutkan dengan kedatangan Aiman yang sudah menunggunya.

"Apa yang kau buat dekat sini?" Tanya Wafi dalam nada terkejut.

"Ada satu hal penting aku nak berbincang dengan kau." Kata Aiman tanpa berbasa-basi. Dia segera tertumpu pada tujuan utama kedatangannya ke tahfiz itu. Kening Wafi sedikit berkerut mendengar ucapan Aiman yang kedengaran agak serius itu.

"Apa benda penting tu?" Tanya Wafi kembali. Akhirnya dia menjemput Aiman untuk duduk di tempatnya. Mungkin perkara yang ingin dibincangkan kedengaran agak penting. Memberi ruang untuk Aiman bersedia mengutarakan hajatnya. Aiman menarik nfas panjang lalu menghembusnya perlahan-lahan. Mencari keselesaan dalam suasana. Wafi yang masih tenang di depannya menanti bicara dipandang lama. Tiada manusia lain yang terlintas difikirannya selain dari kawan baiknya ini.

"Aku nak minta tolong kau sesuatu." Aiman memulakan bicara.

"Apa itu?" Wafi terus menarik Aiman untuk terus ke intipati dari perbualannya. Sekali lagi kedengaran Aiman menghela nafas. Mungkin bantuan yang ingin diminta Aiman ini sangat berat mengikut perkiraannya.

"Tolong lamar Ainul kahwin dengan kau."

"Apa?" Terkejut Wafi. Suaranya sedikit terjerit. Apa punya bantuan yang sahabatnya ini minta daripadanya.

"Kau minta aku lamar Ainul? Kenapa?" Kini giliran Wafi bertanya. Perkahwinan bukan satu hal yang boleh dibuat main. Bukanlah sesuatu yang harus dianggap mudah dan remeh. Tujuan utama permintaan Aiman ini harus diketahui.

"Tak ada orang lain yang aku boleh harapkan selain dari kau. Kau je satu-satunya orang yang boleh aku percaya untuk jaga adik aku dengan baik."

"Aku tahu. Tapi kenapa tiba-tiba kau minta aku lamar dia? Tujuannya kenapa?"

"Begini..." Aiman terpaksa memulakan cerita. Rahsia yang disimpan Ainul selama ini harus diceritakan kepada Wafi. Wafi mendengar dengan penuh teliti setiap bait bicara yang disampaikan oleh Aiman. Mendalami situasi dengan tenang bersama senyuman diwajahnya. Memberi ruang untuk Aiman menghabiskan cerita tanpa sebarang soalan.

"Dan... begitulah ceritanya." Kata Aiman setelah dia menghabiskan ceritanya. Wafi menarik nafas panjang. Membetulkan posisi duduknya menjadi sedikit tegak agar dia dapat berbicara dengan selesa. Aiman di depannya dipandang lama.

"Aku faham kenapa kau minta aku lamar Ainul. Tapi dalam situasi ni, aku kena minta persetujuan tuan badan dulu. Macam mana kalau dia menolak?" Kini Wafi menjelaskan keadaan berdasarkan situasinya. Masalah akan menjadi lebih rumit sekiranya Ainul menolak lamarannya nanti. Persetujuan Ainul harus dia dapatkan untuk menjalinkan satu hubungan perkahwinan. Ditambah pula, Ainul sedang dalam situasi seperti ini.

"Aku..."

"Aku faham kenapa kau minta aku kahwin dengan Ainul. Kau nak aku tolong dia kembali pada fitrahnya semula. Tapi, satu je yang aku risau."

"Apa dia?"

"Macam mana kalau Ainul memang tak tertarik langsung pada aku? Tak tertarik langsung pada lawan jenis."

"Aku percaya dia masih tertarik pada kau. Cuma dia keliru dengan perasaannya. Dia perlukan bantuan kita semua untuk tolong dia. Dan aku perlukan bantuan kau, Wafi." Aiman sedikit merayu agar Wafi bersetuju dengan permintaannya.

"Tolong aku, Wafi. Hanya kau je yang aku boleh minta tolong. Tak ada dah lelaki lain yang aku percaya selain kau." Sekali lagi Aiman merayu. Wafi berfikir sejenak. Merasa simpati pada Aiman. Mungkin Aiman tidak mahu meminta tolong kepada lelaki lain diluar sana adalah tidak mahu adik kesayangannya disakiti. Dia bukan tidak kenal dengan perangai kebanyakkan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dan mungkin kerana Aiman bimbang tidak ramai yang akan menerima keadaan adiknya itu. Mereka mungkin tidak faham perjuangan golongan seperti ini dan merendahkan mereka. Aiman hanya mahu melindungi Ainul.

"Okeylah. Aku tolong kau. Hujung bulan ni aku lamar Ainul dan masuk meminang dia."Wafi memberikan kata putus. Kata putus yang membuatkan wajah tegang Aimansedikit kendur. Sehingga membuatkan lelaki itu mampu mengukir senyuman dibibirnya.

Hijrahnya Seorang BidadariWhere stories live. Discover now