Bab 11

48 2 0
                                    

Dari kediaman Tan Sri Afendi, Syafiq memandu ke ibu kota. Kereta diparkirkan di bahu jalan mengikut arahan Helena. Laluan pejalan kaki dipenuhi lautan manusia kerana waktu sudah memasuki jam tengah hari. Syafiq menyingsing lengan baju sehingga ke siku, perut pula berkeringat di dahi.

Helena berteduh di bawah payung miliknya yang dibawa sejak pagi. Di tangan pula, ada kipas cina yang digunakan untuk mengurangkan suhu di muka. Helena alih muka ke kiri, kanan, seakan sedang menunggu seseorang.

"Kita buat apa di sini Cik Helena?" tanya Syafiq perlahan sambil mencangkung kerana kepenatan. Kakinya lenguh untuk berdiri.

Helena mendengus, dia tidak suka menunggu apatah lagi dalam keadaan cuaca yang panas serta suasana yang sibuk malah bingit. Orang yang lalu-lalang menyinggah pandangan, mencuri pandang dengan hujung mata ke arah Helena Dan Syafiq yang seperti hilang arah.

"Cik Helena!"

Nama Helena diseru, Syafiq pula yang angkat muka, bingkas berdiri mencari arah suara dan pemiliknya. Di seberang jalan kelihatan seorang lelaki berpakaian serba hitam berlari laju ke arah Helena yang sudah muncung panjang.

"Cik Helena, maaf buat Cik Helena menunggu. Sumpah saya tak sengaja!" ucap lelaki itu tercungap-cungap menyedut oksigen yang sudah kurang di dalam badan.

Helena hempas kipas di bahu lelaki itu. "Kau ingat aku apa? Sate yang dibakar guna matahari? Panas tahu tak!" keluh Helena.

"Maaf sekali lagi, saya janji takkan ulangi lagi."

"Mana orangnya?" Helena mengubah topik perbualan

"Di lorong hujung sana."

"Sebelum itu nak tanya, ini siapa? Teman lelaki Cik Helena ke?" lelaki itu menuding jari ke arah Syafiq.

"Bukan!" bantah Syafiq laju sebelum sempat Helena menghela nafas.

"Saya Syafiq, pekerja Cik Helena, gantikan Dr Ismail." Syafiq menghulurkan tangan untuk bersalam.

"Oh, ingatkan teman lelaki Cik Helena. Sayang, nampak sepadan korang berdua. Saya Ibrahim, spy Cik Helena. Saya ditugaskan untuk mencari mereka yang tak berkemampuan untuk tinggal di hospice," jelas Ibrahim yang kelihatan sebaya dengan Syafiq dan juga Helena.

"Maksudnya? Spy?" Syafiq memohon penjelasan.

"Saya ..."

"Nanti jelaskan kepada dia, tak payah panjangkan cerita. Siapa orangnya?" selit Helena tidak mahu berlengah lagi. Syafiq akur, memasang telinga mendengar inti perbualan antara Helena dan Ibrahim.

"Saya jumpa dia di Sarina Medical Centre sebulan yang lepas. Dia disahkan barah otak dan dijangkakan dapat hidup enam bulan sahaja lagi. Dia tak nak buat chemo, putus asa terima rawatan. Yelah, dia tinggal di lorong, mana nak cekau duit buat bayar bil hospital. Kebetulan hari tu, dia pengsan tengah jalan, orang awam telefon ambulans. Kalau tak jadi begitu, sampai mati tak tahu diri ada penyakit."

"Kenapa kau tak bawa dia terus ke hospice? Buat bazir tenaga aku!" omel Helena. Cuaca yang tadi terang tiba-tiba menjadi redup. Helena tutup payung, kaca mata hitam pula dilempar ke dalam beg tangan.

"Cik Helena juga yang kata kalau nak bawa orang tak berduit ke sana, kena melalui tapisan Cik Helena terlebih dahulu. Sebab itu, saya suruh Cik Helena datang," pangkah Ibrahim membela diri.

Bibir Helena senget, membuat pertimbangan dalam diam.

"Sementara kita menunggu keputusan Cik Helena, saya jelaskan maksud saya tadi. Saya sebenarnya ditugaskan oleh Cik Helena untuk membawa orang yang sakit, tetapi tak ada duit untuk buat rawatan, merempat di jalan ke hospice. Mereka boleh tinggal secara percuma dengan kebajikan yang teejaga di sana. Kiranya, hospice bukan sahaja tempat untuk jutawan, malah untuk orang kurang berkemampuan juga."

HEALER (In Editing)Where stories live. Discover now