Bab 26

52 3 0
                                    

Syafiq buka mata perlahan. Cahaya matahari yang masuk melalui tingkap terus menusuk mata. Syafiq menggeliat kecil. Tangan dihulur ke bawah bantal, meraba telefon bimbit yang tersembunyi. Jam menunjukkan sepuluh pagi, hampir satu jam di tertidur selepas pulang menemani Puan Marina ke pasar pagi.

Syafiq bersila di atas katil. Telinganya menangkap bunyi almari bergeser dengan mozek daripada bilik tidur Puan Marina. Entah apa yang dilakukan Puan Marina sendirian. Syafiq jatuhkan kaki ke lantai. Dia mengatur langkah, ingin melihat apa yang dilakukan oleh Puan Marina.

“Ya Allah mama…..”

Syafiq pantas menghalang tangan Puan Marina yang ingin menolak meja di sebelah katil. “Kenapa mama tak kejutkan Syafiq, berat ni mama nak buat seorang diri.”

“Letak situ. Mama tak rancang sebenarnya. Tadi tengok ada sawang, kemas sekejap. Biasalah, mata ni tak boleh tengok benda yang sama.”

“Mama tak sanggup juga nak susahkan sebab tengok Syafiq tidur dengan pakej ternganga. Maklumlah, hujung minggu begini baru boleh berehat. Hari lain bekerja sampai ke malam baru sampai rumah. Tak berat sangat, mama buat perlahan-lahan,” jelas Puan Marina. Dia letakkan pasu bunga di atas meja yang dialihkan ke sudut yang lain oleh Syafiq.

“Syafiq tertidur tadi. Penat biasa-biasa je,” dalih Syafiq tidak mahu membuat Puan Marina risau.

“Iyalah tu. Meh, duduk sini,” Puan Marina menepuk tilam. Dia mahu melepaskan lelah seketika. Puan Marina tercungap-cungap menarik nafas.

“Mama lega sangat tengok Syafiq sekarang. Syafiq kerja, dah kembali ke rutin kebiasaan Syafiq sebelum ini, muka pun dah banyak seri, tak masam mencuka. Mama bangga! Ada hikmah juga Syafiq terima tawaran Cik Helena, tak sia-sia orang kata,” komen Puan Sri Sarina yang setiap hari memantau keadaan anak bujangnya itu. Syafiq mungkin tidak perasan perubahan itu namun dia sebagai ibu, anaknya tak boleh berahsia. Bahkan, isi hati Syafiq juga dia boleh baca.

“Alhamdulillah, Syafiq dah dapat biasakan diri dengan tempat itu. Hospice tak adalah seteruk yang Syafiq sangkakan,” balas Syafiq tidak menidakkan kenyataan daripada Puan Marina.

“Syafiq dah terbiasa dengan tempat itu atau dengan Cik Helena,” usik Puan Marina sambil tangannya mnwcubit bahu Syafiq.

“Mama……” Syafiq geleng laju.

“Gurau aje! Tapi kalau betul apa salahnya, Syafiq bukan muda lagi, sampai bila nak hidup bujang? Sebelum mama menutup mata, mama nak juga tengok Syafiq naik pelamin. Barulah tenang sikit hati ni.” Puan Marina membangkitkan isu yang Syafiq selalu elak untuk dibincangkan.

“Mama…..” Syafiq tidak senang duduk. Mahu sahaja dia lari keluar daripada bilik itu

“Tak ada jodoh lagi, nak buat macam mana. Syafiq tak nak fikir, tak ada faedah.” Syafiq ramas rambut.

“Syafiq ….” Puan Marina tepuk bahu anak lelakinya.

“Mama nak Syafiq jujur dengan mama. Mama serius, tak main-main. Syafiq dah boleh move on daripada arwah Zahrah? Dah bertahun dia pergi, bukan semalam. Tak salah Syafiq cari pengganti cinta di hati Syafiq. Mama yakin arwah juga berkehendak yang sama.” Puan Marina usap kepala Syafiq. Sepasang mata yang redup itu ditenung penuh kasih.

Jeda.

Syafiq berfikir sejenak. Syafiq baru tersedar yang sejak dia bekerja, nama Zahrah jarang terlintas dalam fikiran, tak sama seperti dahulu. Hati-hari wajah Zahrah singgah di kotak memori.

“Mama dah boleh kemas bilik Zahrah kan? Kemas dalam erti yang sebenar,” soal Puan Marina lagi.

Tiga tahun yang lepas, barang-barang dalam bilik Zahrah langsung tidak diusik. Syafiq yang menghalang kerana dia mahu bilik itu ditinggalkan sebagaimana hari terakhir Zahrah ada sebelum ke London. Seminggu sekali, Puan Marina masuk hanya untuk menyapu habuk dan menyapu lantai. Tiada siapa sangka, Zahrah tinggalkan Malaysia buat selamanya dan terus disemadikan di bumi asing, London.

HEALER (In Editing)Where stories live. Discover now