BAB 9

388 66 6
                                    

"DAH siap ke?"

Lisa yang sedang duduk termenung di birai katil menoleh ke arah suara yang menyoal. Perlahan dia angguk, sebagai jawapan.

"Jomlah gerak. Risau jalan jem, lambat sampai airport," ujar Clark, elok berdiri bersandar pada birai pintu.

"Baik." Lisa bangun daripada duduknya. Bagasi berwarna merah jambu yang berada di hadapan almari pakaiannya dipegang tangkainya. Satu bagasi saja. Dia tidak membawa banyak barang pun. Hanya yang penting saja. Baju pun, Clark kata boleh beli di sana. Tidak perlu susah-susah bawa banyak baju dari sini.

"Sini aku bawakan." Clark menghampiri Lisa. Lalu dia menarik bagasi milik isterinya keluar dari bilik itu.

Lisa hanya membiarkan. Hilang kelibat suaminya, dia melangkah ke meja solek. Beg tangannya dicapai lalu disangkut ke bahu. Kemudian, dia mengatur langkah ke arah pintu. Sebelum merapatkan daun pintu, sempat dia menilik seluruh pelusuk bilik itu. Bilik yang dia huni selama berbelas tahun. Dia bakal rindu katilnya itu. Dia bakal rindu akan bau biliknya itu. Dia bakal rindukan segala tentang biliknya itu.

"Lisa! Buat apa lagi kat atas tu?"

Jeritan kuat dari tingkat bawah membuat Lisa tersentak. "Sekejap abang! Lisa nak tutup pintu bilik!" Dia membalas dalam nada menjerit juga. Buat kesekian kalinya, dia memandang ke dalam biliknya itu. Nafas ditarik panjang, lalu dihela perlahan-lahan sebelum dia menutup rapat daun pintu biliknya itu. Kemudian, dia atur langkah ke arah tangga. Anak tangga dipijak satu persatu turun ke bawah.

"Kenapa lama sangat kat atas tu?" Clark yang sudah berada di luar pintu utama menyoal. Matanya tidak lari daripada memandang si isteri yang sedang menapak ke arah pintu utama itu.

"Tak ada apa. Tengok bilik je tadi. Sorry ya." Lisa senyum tipis. Sepasang kasut berwarna hitam dicapai daripada rak, lalu disarung ke kaki.

Clark hela nafas kecil. Pintu utama dirapatkan. Dan dikunci rapi. "Dah, jom." Tangan Lisa dicapai, lalu ditarik agar mengikutnya menuju ke kereta.

Lisa akur. Dia masuk ke dalam perut kereta. Apabila kereta yang dipandu oleh Clark mula bergerak perlahan, Lisa menoleh ke luar tingkap. Matanya mula berkaca memandang rumah banglo dua tingkat itu. Sungguh terasa berat hatinya mahu meninggalkan rumah itu. Terlalu banyak kenangannya di rumah itu. Pahit, manis, suka dan duka.

"Sedih ke?" soal Clark, menoleh sekilas ke arah isterinya.

Lisa angguk kecil mengiakan. Memang itu yang dia rasa. Sedih teramat.

"Tak lama pun. Bulan depan kita balik sini semulakan. Janganlah sedih," ujar Clark, seraya mengusap lembut kepala isterinya. Memujuk.

"Hmmm..." Hanya itu yang keluar daripada mulut Lisa. Tubir matanya dikesat dengan hujung lengan baju yang dipakai.

"Nak singgah kubur sekejap ke?"

Lisa terus memandang suaminya apabila soalan itu diajukan. "Boleh ke?" soalnya inginkan kepastian. Memang dia ada rasa nak ke kubur. Tapi dia takut nak suarakan hasratnya itu.

"Boleh. Ada dua jam lagi sebelum kita punya flight," ujar Clark.

"Okay. Lisa nak ziarah kubur daddy."

Clark angguk sebagai tanda mengizinkan. Kereta dipandu menuju ke tanah perkuburan yang terletak satu kilometer daripada rumah isterinya tadi.

Sebaik kereta Clark berhenti, Lisa pantas buka pintu kereta dan keluar. Beriringan dia melangkah bersama Clark masuk ke dalam kawasan tanah perkuburan. Tiba di tepi pusara daddynya, Lisa terus bercangkung.

"Assalamualaikum daddy. Lisa datang ni," ucap Lisa, sambil mengusap lembut batu nisan yang tertera nama daddynya itu, Rizalman. Rindunya dia kepada lelaki itu. Meskipun bukan bapa kandungnya, tetapi arwah daddynya itulah yang menjaga dan menyara dia sejak dia kecil lagi. Lelaki itu tidak pernah menyisihkan dan menganggapnya seperti anak tiri. Apa yang dia minta, lelaki itu akan tunaikan selagi dia mampu.

CLARK MAIDEN : Mon Amour, Mr Mafia!Where stories live. Discover now