Bab 7

3.7K 88 14
                                    

"AKAK..." panggil Qhalish sambil mengikut bontot kakaknya melangkah masuk ke dalam rumah.

"Apa..." soal Qaisara sambil melabuh duduk di atas sofa. Sudah lama dia tidak keluar rumah jalan-jalan sebegini. Masanya banyak di kedai dan rumah. Cuti pun tak kuasa dia nak keluar meredah jem menghadap orang ramai.

Tapi hari ini dia terpaksa keluar juga untuk membeli sedikit barang-barang sebagai persiapan hantaran adiknya. Sebulan dari sekarang Qhalish dan Arisa akan disatukan. Memang tarikh itu agak terkejar dan mengejutkan, tapi kalau sudah itu persetujuan kedua belah pihak, Qaisara ikutkan saja. Untuk apa Qaisara bantah kalau itu demi kebahagiaan adiknya. Sebagai kakak sudah tentulah dia mahu melihat adiknya itu gembira.

Qhalish letak segala beg yang penuh di tangannya itu di tepi sofa.

"Lish nak mintak maaf..."

Qaisara kerut dahi, hampir tercantum keningnya. Tanpa menyoal, hanya reaksi wajah menanti adiknya itu menyambung kata.

Qhalish duduk sebelah kakaknya. "Lish sayang kakak, kalau boleh Lish tak nak ada apa-apa yang boleh pisahkan kita."

Qaisara seakan faham dengan apa yang cuba disampaikan adiknya itu. Dia juga dalam perasaan sebegitu. Tapi dia cuba untuk mengubah rentak emosi yang sedikit sentimental ketika itu. Seminggu ini memang perangai adiknya itu lain macam sedikit. Makan mahu bersama, selalu turun ke kafenya membantu.

"Lah... kau ni, kau cuma kahwin aje, bukan apa pun. Kau masih boleh duduk sini dengan aku. Tak payah nak keluar, rumah-rumah dekat KL ni bukannya murah. Nanti kita beli katil besar ganti katil bujang kau tu. Tak pun kau pindah masuk bilik aku, aku masuk bilik kau kalau kau nak privasilah," pujuk Qaisara padahal dia sedang memancing Qhalish untuk terus tinggal bersamanya. Sampaikan sanggup korbankan biliknya yang serba hijau itu.

"Tapi kalau boleh Lish nak akak..."

Qaisara terus menyampuk. "Jodoh kau yang sampai dulu, kan. Takkan kau nak langgar apa yang dah tertulis untuk kita?"

"Tapi akak dah banyak berkorban untuk Lish. Lagipun Lish lelaki, sepatutnya Lish lepaskan akak dulu baru fikir pasal diri Lish."

"Ya Allah, kau merepek apa ni. Tak ada kaitan pun laki perempuan semua tu selagi kau percaya pada jodoh dan kau tak putuskan silaturahim antara kita," terang Qaisara sambil memegang pipi adiknya itu kemudian ditepuk perlahan sambil tersenyum. Dia cuba menunjukkan riak seceria yang boleh walaupun dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu.

"Lagipun kita ni tak ada mak bapak. Tak ada siapa nak bising pun kalau kau nak langkah bendul atau jendul sekalipun."

"Terima kasih kak..." Senyuman turut berbalas di bibir Qhalish sebelum dimuncungkan bibir seakan budak kecil yang minta permainannya dipulangkan. "Lish bertunang lama sebab tak nak langkah bendul akak..." sambungnya.

"Ha'a... lepas tu kau bagi mamat bendul tu kat aku pulak, kan? Kau ingat aku tak tau rancangan kau nak kenakan aku dengan dia," bidas Qaisara. Mungkin ini masa yang sesuai membuka topik soal Iman. Masa untuk dia sembur adiknya dan swing habis mood sentimental. Corner baring.

"Mana adalah akak..." Qhalish masih mahu menidakkan.

"Habis tu yang sampai setiap hari dia datang kafe aku buat apa? Aku tak bayar gaji dia pun untuk jadi pengawal kafe aku."

"Dia datang jumpa akak setiap hari?" Qhalish terkejut. Tidak disangka kawannya itu akan bertindak sebegitu. Memang dia pernah pelan mahu kenalkan Iman dengan kakaknya, tapi tak adalah sampai suruh jumpa setiap hari seperti yang kakaknya katakan itu. Lagipun pertemuan pertama Iman dengan kakaknya pun bukan dirancang. Kebetulan yang tak disengajakan.

CINTA BELUM TAMAT TEMPOHOnde histórias criam vida. Descubra agora