Bab 8

3.6K 73 21
                                    

"KAK MILAH, Kila, saya nak keluar kejap ni. Nak pergi beli barang-barang hantaran Lish," ujar Qaisara mengambil beg tangannya yang ada di dalam loker, di bawah meja cashier.

Dalam bulan ini sudah berapa kali Qaisara tinggalkan kafenya itu kepada pekerjanya untuk urusan walimatul urus adiknya itu. Nasib baik juga Kila tengah cuti semester, jadi tak adalah Kak Milah terkial-kial seorang diri buat semua kerja. Kalau ikutkan boleh saja Qaisara upah orang untuk sediakan segala hal berkaitan dengan hantaran itu, tapi Qaisara tak mahu.

Pertama, kerana Qhalish satu-satunya adik yang dia ada, biarlah dia buat semua itu sebagai tanya merestui perkahwinan adiknya. Kedua, sudah tentulah soal bajet, kurang dari sebulan lagi majlis berlangsung, sudah tentulah harga yang dikenakan pada tahap yang tidak masuk akal.

Kak Milah dan Kila yang sedang bersihkan bar minuman menyusun segala macam cawan dan gelas menoleh memandang majikan mereka. Mereka sudah sedia maklum yang adik kepada majikan mereka itu akan berkahwin tidak lama lagi.

Terkejut juga mereka terutamanya Kak Milah bila mengetahui yang Qhalish dan Arisa akan bernikah secepat itu. Sempat ke nak buat persediaan. Mungkin kerana dia berpengalaman, jadi secara tidak langsung dia turut risau. Dia ada juga membantu Qaisara dengan menerangkan adat dan sebagainya. Dia kesian melihatkan Qaisara menguruskannya seorang diri. Lagipun sudah lama Kak Milah bekerja di situ, layanan Qaisara padanya juga baik. Tak seperti majikan sebaliknya saudara.

"Sara pergi dengan sapa?" soal Kak Milah.

"Dengan Lish. Tapi itulah, tak muncul-muncul lagi pulak."

"Banyak lagi ke yang tak siap, kak? Kalau nak Kila tolong apa-apa Kila boleh aje," soal Kila pula.

"Kalau ikutkan tak banyak, tapi sebab semuanya bersepah, jadi tak tahu apa yang kurang apa yang cukup. Itu yang petang ni ingat lepas beli barang hantaran nak pergi beli dulang hantaran, nak susun semua tengok apa cukup apa yang tak. Tapi akak memang sangat-sangat memerlukan bantuan Kila dengan Kak Milah masa majlis nanti." terang Qaisara sambil sesekali memanjangkan leher melihat ke luar kedai kalau-kalau terlihat kereta adiknya di depan kedai.

"Jangan risau, akak, Kila dengan suami akak sedia membantu. Yang pentingnya utamakan pasal nikah dulu," terang Kak Milah pula memaksudkan perihal mas kahwin, ustaz, wali dan saksi.

Baru Qaisara hendak menjawab tiba-tiba telefonnya berbunyi. Sebelah tangan dijadikan sebagai penggantung kepada beg tangannya manakala sebelah lagi menggagau mencari telefonnya berwarna hijau itu. Sebaik diambil dari dalam begnya, dilihat pada skrin tertulis nama adiknya itu.

"Ha, dia dah telefon ni, mesti dah nak sampai," ujar Qaisara berlalu ke arah pintu sambil menjawab panggilan.

"Ha, mana kau? Aku dah lama tunggu ni," sergah Qaisara sebaik terdengar suara di balik sana.

"Lish tak dapat datang, kak. Lish ada meeting mengejut pulak ni. Lish tak boleh cakap banyak sebab bos dah panggil masuk meeting room."

"Ha? Hmm... tak apalah kalau macam tu. Kau buatlah kerja kau dulu. Nanti aku telefon Arisa, kalau dia tak sibuk aku ajak dia pergi."

"Eh jangan. Maksud Lish jangan telefon Arisa sebab dia pun tengah meeting sekarang ni. Tadi Lish dah telefon, dia cakap banyak kerja nak kena buat hari ni sebab dia orang ada event," balas Qhalish cepat-cepat mematikan niat kakaknya.

Qaisara mengeluh. "Kalau macam tu tak apalah. Aku pergi seorang dulu beli apa yang patut. Macam baju, jam semua tu tunggu korang free nanti kita pergi beli sama," balasnya sambil mengepit telefon dengan bahu kemudian cuba mencari kunci kereta di dalam begnya itu.

CINTA BELUM TAMAT TEMPOHWhere stories live. Discover now