Bab 11

3.6K 72 15
                                    

BELUM sempat Qaisara buka pintu rumah, pintu itu terlebih dahulu dibuka dari dalam dan dia disergah adiknya.

"Akak pergi mana? Tadi lepas balik kerja Lish pergi kafe akak tak ada, Lish telefon akak tak dapat." Mulut Qhalish menyoal tak kurang dari peluru yang dilepaskan bertalu-talu.

"Kenapa, kau takut kawan kau apa-apa kan aku ke?" soal Qaisara sambil tersenyum sinis.

"Tak adalah, Lish percayakan dia. Dia takkan buat benda pelik-pelik pun. Cumanya Lish risau sebab masa Lish telefon Iman dia cakap dia dah hantar akak balik kafe," terang Qhalish. Kali ini rentak nadanya berubah kendur sedikit. Sempat lagi memuji kawannya itu di depan kakaknya dengan niat biarlah kakaknya dapat melihat sisi baik Iman. Diperhatikan beg-beg kertas juga plastik yang dipegang kakaknya. Dia cuba mengambil.

"Baiklah sangat. Eh jangan ambil ni, pergi ambil yang dalam kereta tu. Ada banyak lagi," cebik Qaisara sebelum menyambung menjawab persoalan adiknya itu. "Aku pergi beli dulang dengan barang-barang nak buat hantaran,"

Qaisara melangkah masuk ke dalam rumah. Semua barang itu diletakkan di ruang tamu. Kejap lagi baru dia masukkan dalam bilik kecil di tingkat bawah rumahnya itu yang mana di dalam bilik itu juga ada barang-barang kelengkapan lain untuk majlis Qhalish nanti.

Qhalish melangkah masuk ke dalam rumah bersama beg plastik berisi dulang dan barang-barang hiasan untuk hantaran sambil menyoal kakaknya. "Kenapa tak pergi dengan Iman? Banyak ni, kesian akak."

"Aku lebih kesiankan diri aku daripada kau nak kesiankan aku sebab barang-barang ni. Penat tau tak layan kawan kau yang kau cakap baik sangat tu. Baik aku pergi seorang, lagi cepat dan tak sakit hati."

Qhalish pandang kakaknya sambil tersenyum. Nak juga dia tahu apa yang dah Iman lakukan. "Apa dia buat kat akak?" soalnya sambil memandang Qaisara yang sudah terduduk penat di sofa.

"Kau tau tak dia panggil aku orang tua," adu Qaisara seolah dia pula adik. Biarlah 'report card' Iman merah di depan Qhalish yang memuji kebaikkan Iman melambung sangat tu.

"Alah kalau akak tak suka akak cakap ajelah dekat dia."

"Masalahnya aku bukannya tak suka dia panggil aku macam tu, tapi aku tak suka dia sekali," luah Qaisara penuh emosi. Geram betul dia dengan lelaki itu, sumpah dia tak mahu lagi keluar dengan lelaki itu.

"Amboi bukan main lagi akak marah dia. Jangan kak, orang tua-tua dah kata, kalau marah lama-lama nanti sayang. Akak nak ke? Silap-silap dia tu Putera Katak akak yang akak duk tunggu sangat tu," seloroh Qhalish mengusik kakaknya. Manalah tau umpanya kali ini terkena. Dapatlah dia berabang iparkan Iman.

"Huh! Putera Kodok adalah dia tu." Tercebek-cebek mulut Qaisara kemudian dia pusing lipat maut pandang Qhalish dengan wajah serius. "Kau memang sengaja nak kenakan aku kan tadi? Tu semua barang kau, kau buatlah hantaran kau sendiri."

Qhalish sudah menggelabah. "Eh mana adalah, kak. Betullah Lish ada meeting tadi. Apa ni akak, mana boleh buat macam ni."

Qaisara tersenyum puas. "Tahu pun takut. Lain kali jangan suruh dia teman aku lagi. Aku lagi sanggup keluar seorang daripada dengan dia."

Qhalish terangguk-angguk perlahan tapi masih menjawab. "Tapi Lish kesiankan akak kena bawak barang banyak-banyak macam ni."

"Tak ada tapi-tapi lagi. Janji cepat..." paksa Qaisara lagi mencerun adiknya itu.

Dan dengan jujurnya Qhalish mengangguk dan mengangkat tangan seperti bersumpah. Suka Qaisara dapat berkuasa seperti itu. Tapi dengan Iman tak pula dia dapat memerintah sebegitu.

CINTA BELUM TAMAT TEMPOHWhere stories live. Discover now