Pesan 13

20 3 0
                                    

Sahabat,

Mungkin kau pernah dengar memberi itu lebih baik daripada menerima. Dulu di sekolah, cikgu selalu ajar kau dan aku tentang itu. Hampir setiap hari.

Duhai sahabat, kau tahu bukan sedekah itu pahalanya besar? Bahkan fadhilatnya meliputi langit dan bumi. Cukup besar, sahabat.

Sahabat yang aku sayang, seringkali kita melihat di pinggir jalan ada ketika satu susuk tua sedang terketar-ketar menadah mangkuk kecil, adakah kau sekadar memandangnya atau meringankan beban?

Hulurkan sedekah, sahabat. Walaupun pada kau nilai itu kecil, tetapi bagi mereka yang menerima, jumlahnya cukup besar. Aku tahu kau nak perkara yang baik berlaku dalam hidup, kan? Betul tak, sahabat? Aku tahu sebab kita berdua menginginkan perkara yang sama.

Wahai sahabat yang kacak dan cantik, pesan aku, jadilah perantara untuk perkara yang baik. Misalnya, bersedekah. Perbuatan itu sarat dengan rahmat, sahabat. Jangan sia-siakan.

Oh ya, sahabat. Ketika kau berada di masjid untuk solat Jumaat, apalah kiranya sewaktu tong-tong kecil sedang bergerak melalui barisan saf, kau hulurkan sekeping dua rezeki yang ada. Jangan lupa senyum ya, sahabat. Biarkan manusia kata kau kurang siuman.

Soal berapa jumlah yang ikhlas itu, aku tak nak pertikaikan. Hak kau. Duit kau. Rezeki kau. Paling penting, ikhlas. Tapi jangan pula kau tunggu ikhlas itu datang, baru nak bersedekah ya, sahabat.

Ingat, sahabat. Di sebalik pemberian kau itu, ada tangan-tangan sedang menadah menanti rezeki yang mungkin jarang sekali muncul. Kau memberi, dalam masa yang sama membantu.

Dalam senyap kau bersedekah. Dalam senyap juga doa-doa yang baik akan melekat pada tubuh kau, sahabat.

Salam sayang, sahabat kau, aku yang menyayangi. Muah!

Muhamad Fazrin,
Budak OKU yang cuba sorokkan tangan kiri.

#PesanBudakOKUWhere stories live. Discover now