BAB 2

3.6K 79 0
                                    

KAKI terus melangkah. Tak yakin pun dia kena yakinkan diri setelah dia buatkan semua orang percaya yang dia mampu berdikari.

Hari ni, semua orang cakap bernasib malang bila terserempak dengan dia. Semua malang tu hadir hanya kerana dia. Dunia dia terasa gelap. Nak menangis tapi rasanya tak perlu. Memang salah dia. Salah sebab terlalu yakin dengan diri sendiri. Padahal diri tak berkemampuan mana pun.

Pernah dia dengar orang cakap, sikap terlalu yakin itu akan membunuh! Ya, dia hampir terbunuh sekarang. Menggigil kakinya berjalan tanpa tujuan. Tangan juga menggeletar cuba memegang apa saja yang ada di sekeliling. Hingga akhirnya dia hampir tersungkur ke depan, ada tangan memaut bahunya lembut.

"Kan Mak Teh cakap, tunggu dekat kereta. Kenapa Qais nak jalan juga? Mujur tak jatuh..." Mak Teh dah menggeleng risau melihatkan anak yang dia asuh dari kecil ini hampir tersungkur.

Mujurlah dia cepat berlari tadi memaut bahu Qais. Kalau tidak, mahu tersungkur ke jalan raya budak ni. Dia dah suruh tunggu sementara dia beli barang. Tapi Qais begitu tekad. Tak tahulah apa dah jadi bila melihatkan baju si gadis yang basah.

"Maaf, Mak Teh. Qais tadi ingat nak tunggu Mak Teh dekat luar aje. Tersasar jalan pula..." Qais sengih. Dia rasa bersalah. Memang dia salah. Susahkan orang.

"Mana air tadi?"

Kepala digaru. Dua gelas air tembikai susu Mak Teh belikan untuk dia berbuka tapi akhirnya, dua-dua gelas tumpah dan dua kali kena maki. Dua kali hati tersayat. Dua kali rasa tak diperlukan dalam dunia ni.

"Air tu tumpah tadi... Qais terlanggar orang." Jujur dia buat pengakuan.

Mak Teh mengeluh. Sedih dia bila matanya jatuh pada pakaian Qais yang basah dan kotor. Blaus putih tu dah bertukar warna.

"Qais langgar siapa?"

"Entahlah..." Bahu terangkat. Tak tahulah siapa.

Tapi kalau jumpa lagi sekali, dia boleh cam suara lelaki kedua tu. Dia boleh bau lagi wangian Clinique for Men yang terbit daripada tubuh lelaki tu.

"Tak apalah... Mari kita balik. Dah dekat nak berbuka ni." Mak Teh terus memimpin tangan Qais ke arah kereta yang agak jauh dari tempat dia nampak Qais.

Sekali lagi mereka berjalan di depan bengkel kereta Rodi, bahu Qais dilanggar orang. Mak Teh terlepas pegangan tangan. Qais kalih mencari bayang Mak Teh sambil menggosok bahunya. Sakit. Setelah itu dia pandang ke depan, tunduk sedikit dan seperti biasa, meminta maaf.

"Maaf... Saya tak sengaja." Dia harus akui silap setiap kali pun biarpun bukan dia yang melanggar tapi dia dilanggar.

Deria bau Qais bekerja. Keningnya berkerut cuba cam wangian itu. Wangian sama tapi boleh jadi orang berlainan.

"Maaf..." Tunduk lagi sekali bila tiada sahutan.

"Errr... Maaf ya, nak. Dia tak sengaja." Mak Teh bersuara bagi pihak Qais. Risau pula tengok renungan anak muda ni pada Qais. Takut diherdiknya lagi anak ni.

Kuca senyum senget. Renungan perempuan ni tetap pada dia. Nampak sedikit berkaca anak mata bundar itu. Mata yang punyai alis lentik tapi amat jarang sangat berkelip.

Tak rasa apa ke renung orang macam tu? Kuca dah pelik sendiri. Manalah ada perempuan pernah renung dia lebih daripada lima saat. Ini jangan kata lima saat, lima ratus saat pun dah lepas ni.

"Errr... Tak ada apa... Salah saya." Kuca kena akui salah dia. Tergesa-gesa hentikan motor dan berlari ke dalam bengkel sebab tertinggal sesuatu. Terlanggar pula perempuan yang langgar dia tadi.

Kafarah! Tadi herdik perempuan ni. Mujurlah perempuan ni tak herdik dia balik. Sebaliknya, minta maaf. Ada lagi ke perempuan skema macam ni sekarang? Kecuali yang dia kenal, semua jenis terkinja-kinja.

"Errr... Awak?" Sepatah Qais menyoal. Dia senyum. Memang lelaki tadi.

"Sorry... Dah dua kali terlanggar."

"Eh, tak apa. Salah aku." Kuca sekali lagi akui silap. Jarang-jarang pengakuan yang dia buat tapi tidak kali ni. Rasa ringan pula lidah nak minta maaf.

Mak Teh pandang Qais. Padanlah baju kotor. Terlanggar lelaki ni tadi agaknya.

"Kami jalan dulu, ya nak?" Mak Teh berbalas senyum dengan Kuca seketika sebelum Mak Teh menarik bahu Qais berlalu ke arah kereta.

Kuca hanya memandang gerak langkah dua orang wanita di depannya. Seorang tua dan seorang muda belia tapi nampak lembik macam tak makan nasi setahun. Dia senyum lagi sambil membetulkan jaket. Melihatkan dua susuk tubuh itu masuk ke dalam perut kereta Audi 6 putih mutiara berserta dengan pemandu, Kuca dapat agak dia anak orang senang.

Dia gelak dalam hati. Gelak pada diri sendiri. Tak tahu sejauh mana makna senang tu. Dia tiap kali balik ke banglo mewah milik keluarga, hati tak pernah senang. Jiwa memberontak saja. Jika tak ingat dekat satu-satunya adik perempuan yang dia ada, tak ingin dia nak jejak kaki ke situ.

Belum sempat kereta bergerak, Qais memanjangkan lehernya keluar daripada cermin. Dia tala pandangan dia tepat pada Kuca. Senyum.

Dalam tak sangka, Kuca membalas senyuman itu. Manis. Sepatah perkataan itu disebut hati dia tanpa dia sangka. Aiseh... Kenapa pula aku nak puji bila minah tu senyum? Kuca menggeleng dan terus masuk ke dalam bengkel tapi terlanggar pula bahu Ryu.

"Kau ni kenapa?" Kerut dahi Kuca. Asyik langgar orang aje hari ni.

"Aku gilis kau dengan buldozer nak tak?" Geram aje dia tengok sengihan Ryu tu. Sengihan yang jengkel dan minta penumbuk barang sedas dua.

Ryu angkat kening. Dari tadi, dia ralit tengok Kuca berbalas pandang dengan minah yang kena maki tadi.

"Bukan main eh kau tenung perempuan tadi tu..."

Kuca mendengus. Dia tolak bahu Ryu.

"Tepilah... Aku nak ambil barang ni." Langsung tak dilayan usikan Ryu. Buang karan punya member.

Setelah beberapa saat, dia kembali semula setelah barangnya ditemui. Dia pandang Ryu yang juga sedang bersedia nak gerak.

"Kau suka dia ke? Love at the first sight ke apa ni?" giat Ryu tak puas nak usik. Mana pernah tengok Kuca renung perempuan macam tu. Siap boleh berbalas senyum lagi.

"Kau rasa dah puas hidup ke apa, Ahmad Ryuhan?"

Ryu dah kecut. Kalau Kuca tanya macam tu, ada can nak dapat rasa penumbuk sulung ni. Dia sengih dan geleng. Helmet diketatkan.

"Aku nak pergi kolej ni. Petang esok tak join ar..." Terus saja enjin dihidupkan dan motor Ryu menderum laju pergi.

Kuca ketawa dalam hati. Geli hati dengar perkataan kolej tu keluar dari mulut Ryu. Ryu bertaraf adik beberapa tahun tapi sangkut lepak bila dia datang baiki motor dekat bengkel Rodi. Dia dengan Rodi memang dah kenal lama. Rodi jenis yang berdiri sendiri macam dia juga. Lepas SPM terus buka bengkel walaupun layak belajar ke universiti.

Dia? Sebabnya malas. Kena paksa. Jadilah paksarelawan. Sekarang ni pun kerja dengan tak, sama aje. Rodi tak pernah bising walaupun mereka sama-sama uruskan bengkel. Mungkin kerana Rodi dah kenal dia sangat.

Kuca pandang tumpahan air yang masih lagi ada di atas lantai kaki lima. Rasa pelik tiba-tiba. Perempuan tu nampak sopan tapi tak malu pula renung lelaki? Memanglah perempuan. Dia mencebik lebar dalam hati sebelum meneruskan perjalanan menemui buah hati yang akan selamanya bertakhta di jiwa sanubari.

Tiba-tiba tingkahnya mati. Soalan Ryu tadi yang menahan langkahnya. Dahi Kuca berkerut sedikit. Dia tak pernah layak untuk menyayangi sesiapa melainkan yang seorang itu dan yang seorang itulah gadis yang dia sayang sepenuh jiwa walau apa pun terjadi.

SANGGUPKAH BERSABAR SAYANG?Wo Geschichten leben. Entdecke jetzt