BAB 13

2K 61 0
                                    

BAHUNYA disentuh orang. Qais angkat wajah. Dia tahu itu Kuca. Dia juga yakin Kuca sedang senyum padanya.

"Jom. Aku dah siap cari apa yang aku nak..." Bahu Qais ditarik rapat ke bahunya bila ada pelanggan lain yang sedang melalui kawasan mereka. Tak nak Qais dilanggar walaupun pada hujung bahu.

"Awak beli apa? Boleh saya tahu?"

"Ala... Sibuklah kau ni. Tak payahlah tahu. Buku yang aku nak bacalah. Kau ingat kau seorang aje rajin membaca..." cebek Kuca.

Dia ingat Qais nak muncung tapi mulut merah itu hanya melorek senyum. Dia juga turut senyum. Semakin dipandang, semakin cantik gadis ini.

"Awak pandang saya, ya?" soal Qais tiba-tiba.

"Ehem..." Dalam Kuca berdeham. Tertangkaplah pula.

"Mana kau tahu? Pandai aje cakap aku pandang kau. Macamlah aku hadap sangat muka kau tu..." Kuca menafikan.

"Yalah tu..."

"Eleh... Perempuan ni..." Bahu Qais dilepas. Dia berdiri tepat di hadapan gadis yang masih tersengih itu.

"Awak pandang, kan?" Jari telunjuk Qais lurus pada Kuca. Dia boleh rasa. Nak nafi kenapa? Kalau nak pandang, pandang ajelah. Dia tak kesah. Dia bukan boleh nampak Kuca pun.

"Ya... Aku pandang. Kenapa? Salah ke aku pandang benda yang buat pandangan mata aku ni tenang? Tak boleh?"

Glup... Qais telan liur. Senyuman dia patah riuk. Banyak kali dah Kuca cakap ayat double meaning pada pendengaran dia. Atau dia yang perasan sendiri.

"Dah... Dah... Jangan nak terkejut sangat. Muka terkejut kau tu buat kau lagi cantik. Bosan betul perempuan cantik ni. Buatlah muka macam mana pun, tetap nampak cantik. Haih... Mari kita ke kaunter." Kuca heret lengan Qais.

Sempat dia kerling wajah gadis itu yang kembali mengukir senyum manis. Eleh... Sukalah tu dipuji cantik. Tapi itu hakikat. Qais seperti sekuntum mawar putih yang kembang mekar. Namun, dihiasi duri tajam yang akan melukakan dia andai cuba untuk dicapai.

"Ini aje, ya?" soal gadis di kaunter.

"Erm..." Kuca pandang skrin bila juruwang scan buku yang dia pilih. Dua buah semuanya. Tebal-tebal.

Tak pernah-pernah dia beli buku. Zaman sekolah dulu, buku adalah perkara yang paling dia benci. Tapi sekarang... Dia toleh. Qais hanya memandang ke depan. Kerana yang berduri ini, dia sepertinya sanggup dilukai.

Aduh... Puitis!

"Tapi encik... Buku Braille ni ada tiga jilid. Nak tak ambil yang jilid satu lagi tu. Kalau ambil tiga, kita ada offer..."

"Hah?" Diam seketika. Kuca terus angguk.

Dia pandang Qais yang sedang buat muka. Tertangkaplah pula dia beli buku apa sedangkan dia nak simpan menjadi rahsianya hingga mati.

"Awak?" panggil Qais sebaik saja mereka menapak keluar dari kedai buku.

"Perlu ke?"

Kuca kerut kening. Apa yang perlu?

"Maksud kau?"

"Buku tu?"

"Kenapa pula?"

Qais mengeluh. Kuca buat-buat tak faham pula dah.

"Itu untuk awak, kan?"

"Haah. Aku tak beli untuk kau sebab aku tahu kau mesti dah pandai baca Braille ni, kan?"

"Sebab tu saya tanya, perlu ke awak beli buku-buku tu? Atau awak nak simpan?" Wajah Qais kelat. Entah kenapa, dia rasa Kuca beli tu untuk belajar dan demi dia?

"Nak simpan buat apa kalau dah beli? Lagipun, aku benci buku. I hate books. Tapi ini, aku rasa memang perlu..." Kuca pandang plastik yang tergantung di tangan. Berat pula tiga jilid ni.

"Demi saya?" soal Qais.

Kuca geleng. Dia tarik lengan Qais agar gadis itu labuhkan tangan pada lengannya yang berbalut jaket.

"Ini untuk aku. Untuk aku yang nak ada sama-sama dalam dunia kau," jawab Kuca dan bibir Qais bergetar.

Apa maksud awak, Kuca?

TERINGAT akan peristiwa dekat MPH dengan Kuca, memang buat hati dia libang-libu.

"Kuca beli buku belajar asas Braille, Mak Teh."

"Eh?" Terkejut juga Mak Teh dengar. Sejak tadi senyap, ingatkan Kuca rupanya. Tapi budak tu beli untuk apa?

"Untuk siapa?"

"Dia sendiri..."

"Dia nak masuk dunia Qais kut?" tebak Mak Teh.

Ya... Qais angguk sendiri. Seperti yang Kuca katakan. Kuca nak belajar semua tu demi diri sendiri. Tapi diri sendiri yang nak masuk dalam dunia dia. Dunia yang langsung tiada bercahaya.

"Tapi dunia Qais gelap. Takut kami sama-sama meraba," balas Qais merendah diri.

"Dia tak akan ada kehidupan..." Tak sempat ayat itu ditamatkan telefonnya bernada. Satu nada yang tak pernah ada dalam senarai muziknya.

Qais meraba telefon dalam poket seluar. Dia amati lagu itu seketika. Siapa?

Jejak-jejak langkahku bagaikan lembaran waktu,

Apakahku masih bisa terus melangkah,

Serpihan hidupku kan kubangun di atas satu cinta.

"Siapa ni, Mak Teh?" Qais hulurkan telefon pada Mak Teh. Terlupa yang itu mungkin Kuca. Tak terlintas pun kalau Kuca nak pakai lagu mendayu ni. Lagu mengulit lena.

Mata tua Mak Teh sedikit mengecil merenung skrin yang cerah itu. Lagu itu berulang lagi. Berulang dan terus berulang. Bila dia amati, matanya terjegil lama sebelum bibir tuanya mekar dengan senyuman.

"Kuca..." Nama itu disebut tapi nama yang muncul pada skrin berbeza sama sekali. 

SANGGUPKAH BERSABAR SAYANG?Donde viven las historias. Descúbrelo ahora