BAB 6

2.3K 58 1
                                    

TELAHAN dia tepat. Peristiwa di depan bengkel Rodi tempoh hari muncul lagi di dalam kepalanya. Bagaimana Qais meminta maaf dan bagaimana Qais akui diri yang bersalah. Dia pun sama. Sempat dia sindir orang tu tanpa tahu apa yang sedang terjadi.

Jahat sungguh! Sekarang, entah macam mana dia nak basuh semula dosanya pada Qais. Entah bagaimana dia mahu betulkan kesilapannya. Pada Qais dan pada orang tua Qais.

"Awak terkejut?"

"Hah?" Kuca terkebil-kebil. Terkejut bila Qais menyoal dalam pada dia sedang menimbang kesilapan diri pada gadis ini.

"Saya tahu awak terkejut bila saya cakap saya buta, kan?" Qais yakin berkata-kata kerana naluri hatinya berkata demikian.

Kuca terkejut. Kerana itu Kuca diam tak berkata apa. Malah, nafas Kuca juga tak menyapa telinga. Sepertinya tiada pergerakan langsung! Terkunci segala sendi! Kaku di sisinya.

"Jangan rasa bersalah apa-apa..." Gamaknya Kuca dihambat rasa bersalah sebab marah dia tempoh hari.

Apa nak kata, lelaki ini tak tahu.

"Emmm... Tak salah kalau orang tu cakap saya buta sebab memang saya buta. Tak salah kalau awak tanya saya buta ke sebab saya memang buta. Jadi, memang tak ada sesiapa yang salah." Qais senyum tipis sebelum berpaling ke depan.

"Errr... Tak... Tak." Kuca geleng kepala. Menafi. Adeh, apa nak cakap ni selain daripada maaf?

"Aku minta maaf..." Terpacul juga perkataan maaf tu.

"Maaf juga pasal semalam. Cammy tu dia memang macam tu. Kalut sikit. Kalau jalan, tak langgar orang dia langgar tiang."

Kata-kata Kuca membawa tawa pada Qais. Lucu pula dia ni. Dia? Dia yang dikenali secara tak sengaja. Lepas dua tiga kali berlanggar. Entah macam mana rupa dan fizikal dia ini? Apa yang Qais tahu hanya suara garau itu sentiasa sinis dan kasar. Harumannya juga tetap menjadi ingatan.

"Boleh saya tanya?"

"Tanyalah..."

Qais sepi biarpun Kuca memberi izin. Terfikir sendiri, kenapa dia perlu tanya? Rasanya tak perlu pun. Nak sibuk hal orang kenapa? Orang tu kekasih ke, apa ke... Dia kenapa nak sibuk? Atau dia cemburu? Cemburu bila mendengarkan cerita Mak Teh tentang layanan lelaki ini pada gadis bernama Cammy itu?

"Kenapa diam pula?" gesa Kuca.

"Ehem..." Qais berdeham panjang. Tanya ajelah. Bukan ada niat apa-apa pun.

"Cammy tu siapa? Yang ada dengan awak semalam tu, kan?"

Kuca angguk. Dia kalih belakang. Tak nampak pula batang tubuh Cammy ni. Tolong Subway buat sandwic pula gamaknya.

"Siapa dia?" Sekali lagi Qais bertanya. Tak ada jawapan.

Aiseh... Kuca rasa nak ketuk diri sendiri. Main angguk suka hati. Member di depan ni dahlah tak nampak.

"Sorry... Haah. Yang langgar kau semalam tu."

"Siapa dia? Adik?" tebak Qais. Entah kenapa dia boleh sebut adik. Tengok-tengok, kekasih.

Kuca senyum tipis. Senget ke kiri.

"Mana tahu adik aku?"

Qais tindih paha kanan dengan kaki kiri. Dia betulkan sedikit skirt lebar yang dirasakan menggeleber. Tangannya hinggap pada lutut. Dia kalih pada Kuca. Lama.

"Sebab pada saya, lelaki sekasar macam awak ni tak akan layan awek dia depan umum macam tu. Manja bukan main." Senyum. Harap telahan dia tepat. Kalau tak tepat pun, tak ada hal pada dia. Saja meneka dalam gelap.

Kuca yang pada mulanya nak alih pandangan, tak jadi. Dia rasa malu juga ditenung macam tu. Manalah dia pernah tenung perempuan tapi dengan gadis buta depan dia ni, payah pula nak alih pandangan. Lagipun, Qais bukan tahu aku pandang dia. Saja nak sedapkan hati sendiri.

"Erm... Adik aku. Sorang itu aje pun adik yang aku ada. Baru lepas SPM. Tak buat apa. Saja bawa dia jalan."

Bibir Qais melebar dengan senyuman. Dah agak. Hati dia tak buta biarpun mata dia dah buta hampir 10 tahun setelah dia alami kemalangan yang meragut nyawa orang tuanya pada usia dia enam belas tahun. Setelah itu, hanya Mak Teh dan Pak Din tempat dia bergantung harap. Periksa pun dia tak ambil. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini setelah dia gigih belajar Braille, barulah dia ambil periksa tapi tak sambung ke mana juga. Tak yakin diri.

"Nama dia memang Cammy, eh?"

"Haah... Tengku Carmila," jawab Kuca.

"Dia yang ajak datang ni. Tunggu kau kot-kot boleh jumpa. Sebab semalam aiskrim dia tumpah atas baju baru kau tu. Ni ha..." Beg kertas diambil dan diletakkan ke atas riba Qais.

"Dia bagi ni sebagai ganti."

Tangan Qais teraba-raba dalam beg itu. Terhenti bila tersentuh. Tangan dia terasa akan kelembutan pakaian. Tak pasti pula apa jenis pakaiannya.

"Mesti cantik..." Qais senyum.

"Tapi tak payah ganti pun tak apa. Ini ha..." Qais menayang pakaian pada tubuh.

"Ini yang saya beli semalam. Dah bersih pun Mak Teh cuci. Pulang baliklah pada Cammy. Mungkin saiz tak kena ke? Lagipun, tak nak susahkan dia." Ditolaknya semula beg kertas itu pada Kuca.

Menggeleng pula Kuca. Ini malas nak masuk drama sebabak tolak tarik ni. Aku hulur dia tolak, sampai petang tak siap.

"Kau ambil ajelah. Ini niat ikhlas Si Cammy tu. Karang tak sudah dia melalak dekat aku. Letih nak dengar." Suara dah berubah sikit. Dah dekat nak mendidih. Tapi bila lihat Qais senyum, suhu marah Kuca turun. Panas hati dia sejuk.

Entah apalah rahsia yang ada di sebalik mata yang buta tu. Kuca rasa nak tahu tiba-tiba. Macam mana dia hidup dengan dunia gelap?

"Mak bapak kau mana?"

"Dah tak ada..." Ingatkan arwah mama dan papa, hati Qais sebu. Tapi yang pergi tak kembali biarpun dia menitiskan air mata darah. Pergi membawa bersama penglihatan dia.

"Oh..." Kuca rasa nak sepak mulut sendiri. Soalan yang ditanya semua tak kena. Semua buat emosi orang kucar-kacir.

"Ehem... Nama kau Qais, eh?"

Qais angguk.

"Kais pagi makan pagi ke kais petang makan petang?" Kuca gelak sendiri. Tekup mulut bila kenakan Qais. Masam wajah manis tu. Pertama kali nampak masam, Kuca rasa Qais tetap cantik.

"Tak baik main dengan nama orang," tegur Qais sedikit kecil hati. Bukan senang kut mama dengan papa nak bagi nama. Suka-suka dia aje nak kutuk.

"Sorry... Sorry..." Gelak Kuca terhambur. Dia gawangkan tangan tanda minta maaf. Seronok juga layan dia ni sembang. Cakap dengan orang buta lagi senang hati. Mata tak sakit.

"Dah tu siapa nama penuh?" Eh, tiba-tiba pula Kuca ni. Dia tegur diri sendiri tapi dah terlanjur tanya, nantikan jawapan ajelah.

"Qaiser... Qaiser Wardah."

Kelopak mata Kuca mengerdip sekali. Cantik nama. Secantik pemilik nama. Andai kata mata bundar tu mampu melihat, entah macam manalah, ya?

"Awak?"

"Hah? Kenapa dengan aku?" Sekali lagi Kuca terkebil-kebil. Ralit sangat menganalisis Qais.

"Nak panggil apa?"

Kuca pandang depan. Dia senyum.

"Tengku Cairel. Cairel tu dieja dengan huruf C. Sebab tu, kau boleh panggil aku Kuca. Ku stand for Tengku dan Ca stand for Cairel," jelas Kuca pada Qais.

Masing-masing saling memandang tapi hanya mata Kuca yang resah sendiri. 

SANGGUPKAH BERSABAR SAYANG?Where stories live. Discover now