"ENCIK ni memang jenis orang yang tak pandai tepati janji, kan? Dulu masa saya datang temu duga, encik cakap semua yang ada dalam syarat-syarat nak jadi isteri encik tu betul. Tapi sekarang ni, kenapa jadi lain pulak? Saya tak nak duduk satu bilik dengan encik. Muktamad."
Marah betul Fazliatun apabila ditempatkan satu bilik dengan Tengku Fazrul Shah. Dahlah nak kongsi bilik satu hal, nak mandi pun kena berkongsi bilik air yang sama. Macam manalah hatinya tak sakit. Dasar penipu betul.
"You dengarlah dulu apa yang I nak cakap ni. Jangan cepat salah sangka." Lembut pula suara Tengku Fazrul Shah kali ini. Baru saja beberapa minit, mereka berdua menjejakkan kaki ke bilik ini. Tidak menyangka, isterinya akan naik angin begitu.
"Apa lagi yang encik nak jelaskan? Betullah apa saya cakapkan tu. Encik ni memang penipu."
Tengku Fazrul Shah beristighfar dalam hati. Dia tidak mahu berkasar dengan Fazliatun. Dalam keadaan begini, dia perlu beralah. Dia tahu ini semua salahnya. Dia yang pandai buat syarat, tapi dia sendiri yang khianati. Patut sahaja Fazliatun marah atas tindakannya.
"Baiklah I mengaku I ni penipu. Tapi percayalah, I tak ada niat pun nak buat macam ni. You kena faham keadaan kita sekarang. Ni kan rumah family I. Takkan I nak tidur kat bilik lain-lain pulak. Kalau papa dan mama nampak macam mana? Mesti dia orang akan curiga. Nanti dia orang fikir bukan-bukan pasal hubungan kita."
"Saya tak nak dengar tu semua. Itu masalah encik, bukan masalah saya. Dulu, masa nak cari calon isteri sementara yang entah apa-apa tu, kenapa encik tak fikir baik-baik? Ada tak encik fikir pasal saya? Tak ada, kan. Langsung tak ada."
Fazliatun memalingkan muka dari suaminya. Serius sahaja wajahnya. Baru sahaja dia nak berbaik-baik dengan lelaki itu, berlaku pula perkara tidak diingini. Apakah ini semua memang rancangan suaminya? Dia mula berfikir yang bukan-bukan.
Tengku Fazrul Shah sudah mati akal untuk memujuk. Keras betul hati perempuan bernama Fazliatun ini. Nampak saja lembut di luar, tapi di dalamnya keras macam batu. Lama juga dia terdiam. Fikirannya berserabut kini. Dia ingat, selepas berkahwin dengan Fazliatun semua masalah akan selesai namun semakin parah pula jadinya. Lain yang diharapkan, lain pula yang berlaku.
Tengku Fazrul Shah melabuhkan punggung di atas sofa yang berada di dalam biliknya itu. Nampak kemas susun atur perabot di situ. Bilik tidurnya memang luas. Kira-kira 600 meter persegi. Di sudut sebelah kanan pula terdapat Tv LED berukuran 52 inci yang dilekatkan pada dinding bilik. Memang nampak mewah dan ekslusif.
Dia merenung wajah Fazliatun yang kelihatan murung. Serba salah pula dia. Bagaimanakah dia mahu memujuk isterinya itu? Jika rajuk Fazliatun tidak berkurangan, dia khuatir keadaan akan menjadi lebih parah. Dibuatnya Fazliatun mahu bercerai, macam mana? Memanglah dia tahu isterinya itu tidak mampu bayar ganti rugi sebanyak Rm 20,000 andai mengundurkan diri sebelum waktunya, namun hatinya tetap jua resah tidak menentu.
Setelah agak lama membisu, akhirnya dia bersuara semula.
"Okeylah. I akan cari rumah dalam masa terdekat ni. Cuma...I nak you beri I sedikit masa aje. Boleh tak?" usulnya dengan suara lembut.
"Betul ni? soal Fazliatun perlahan. Wajahnya ceria sedikit berbanding tadi.
Tengku Fazrul Shah mengangguk.
"You jangan risau, ya. I tak akan langgar syarat yang I dah buat. Apa pun, I nak ucapkan terima kasih kat you."
"Terima kasih sebab apa?" Fazliatun mengerutkan dahi.
"Sebab sudi jadi isteri I biarpun untuk sementara. I really appreciate it. Thanks, sayang!"
Fazliatun ketawa. Lucu sangat muka Tengku Fazrul Shah.
"Kenapa you ketawa pulak? Salah ke I cakap?"
"Tak ada apa."
Fazliatun menggeleng.
"Adalah tu gelakkan I, kan. Macamlah I tak tahu perangai you."
Tengku Fazrul Shah mencebikkan bibir. Lega sungguh hatinya apabila melihat Fazliatun tersenyum semula. Senyuman manis itulah yang dia rindukan. Manis sangat macam madu. Menyesal pula dia atas kejadian yang berlaku semalam. Kalaulah dia pandai mengawal diri, pasti kejadian seperti itu tidak berlaku.
"I nak minta maaf sebab I tampar you. I tak sengaja. I harap you boleh maafkan kesilapan I. Lepas ni, I janji tak akan ulangi lagi perbuatan tu ," ucap Tengku Fazrul Shah penuh ikhlas.
"Saya tak simpan pun dalam hati."
"You tak marah?"
"Buat apa nak marah. Mula-mula tu memanglah saya marah. Tapi, lepas saya fikir semula, tak ada gunanya saya nak ikutkan sangat perasaan. Saya tahu encik tak sengaja. Benda ni tak akan selesai selagi saya tak maafkan encik."
Terharu sungguh Tengku Fazrul Shah mendengar kata-kata Fazliatun. Makin sayang pula dia dengan isterinya itu.
"Encik ni dah tak kerja lagi ke? Dah nak dekat tiga minggu asyik goyang kaki kat rumah. Tak bosan pulak menghadap muka saya ni. Saya pun dah naik loya tengok muka encik," ucap Fazliatun selamba.
Bulat mata Tengku Fazrul Shah.
"Amboi! Mulut you ni kalau cakap main terjah aje tak toleh kiri kanan. Loya-loya pun, bukan orang lain. Suami you jugak."
"Yalah, suami sementara aje, kan. Sebab tu saya loya. Kalau suami sampai ke akhir hayat, taklah saya loya camtu." Fazliatun mengusik lagi.
"Meh sini mulut tu. Biar I tarik sampai panjang. Pandai sangat nak kenakan orang. Kalau you sanggup jadi isteri sampai bila-bila, I tak kisah pun. Lagi I suka. Jimat sikit duit I nak cari bini lain."
Fazliatun menoleh sekilas ke arah suaminya sebelum mencubit pehanya. Berkerut muka Tengku Fazrul Shah menahan pedih akibat dicubit.
"Aduh, sakitlah! You ni keturunan makhluk kaki banyak yang jalan senget kat tepi pantai tu ke? Suka sangat cubit orang."
"Sesuailah muka encik tu. Gatal!"
Fazliatun terus bangkit menuju ke bilik air. Malas dia nak melayan Tengku Fazrul Shah yang tak berapa hempuk tu. Lebih baik dia mandi. Bersihkan diri dan ambil wuduk. Hari pun sudah hampir ke senja.
Tengku Fazrul Shah hanya tersenyum memikirkan idea nakalnya yang tiba-tiba muncul dalam kepala.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...