Bab 78

14.7K 303 16
                                    

KEESOKAN harinya, polis masih belum dapat mencari Tengku Arianis. Selepas hampir 24 jam berlalu, Tengku Fazrul Shah terpaksa membuat laporan polis atas kehilangan Fazliatun. Dugaan kali ini benar-benar menguji dia. Kasihan dia melihat Encik Ahmad dan Puan Rohaya yang nampak risau dan cemas. Sebagai orang tua, barangkali mertuanya itu khuatir andai berlaku perkara buruk pada anak mereka.

"Mak dan ayah sabar, ya. Rul lagilah risau keselamatan isteri Rul. Banyak dosa Rul kat dia. Tak terhitung rasanya," ucap Tengku Fazrul Shah sedih.

"Mana kami tak risau, Rul. Dahlah Tun tengah sarat mengandung. Dia pun kita tak tahu kat mana sekarang ni. Entah baik ke tidak dia. Ya Allah, risaunya hati ayah ni." Encik Ahmad bersuara. Sejak beberapa minggu lalu, hubungan dia dan anak menantunya itu bertambah baik. Walaupun perbuatan Tengku Fazrul Shah itu keterlaluan, namun setelah melihat keikhlasannya, membuatkan Encik Ahmad berubah hati. Dia ikhlas memaafkan menantunya itu kerana Allah.

"Rul harap Tun baik-baik. Kita pun dah buat laporan polis. Biarlah pihak polis buat kerja."

"Ayah harap pun macam tu."

Aqif, Alif, Izhar dan Iman yang baru pulang awal pagi tadi masih terkejut dengan berita yang mereka terima sebaik sahaja sampai ke rumah. Sedih hati mereka. Tak menjangka kakak kandung mereka boleh hilang tanpa jejak. Mereka hanya mendengar perbualan abang ipar dengan mak dan ayah mereka dari dalam bilik sahaja. Tidak mahu menyibuk perihal orang dewasa.

"Ayah betul-betul pelik dengan kejadian ni. Tun hilang saat mama Rul hilang. Seolah-olah ada kaitan antara satu sama lain. Pelik sangat," ujar Encik Ahmad. Dari lubuk hatinya yang paling dalam, kejadian ini seperti ada hubung kait.

"Maksud ayah?"

"Ayah rasa kehilangan Tun dan mama Rul berpunca dari orang yang sama. Mungkin ada orang yang berdendam dengan Rul ataupun ayah. Entahlah. Susah ayah nak cakap."

Tengku Fazrul Shah mulai tidak sedap hati dengan andaian ayah mertuanya itu. Apabila mendengar perkataan dendam, fikirannya mula teringat pada Rizal. Apakah masih ada dendam dalam hati Rizal padanya? Tidak. Tak mungkin ini perbuatan Rizal. Rizal sudah lama memaafkannya. Dia menggeleng berkali-kali.

"Rul tak rasa macam tu. Mungkin kebetulan aje."

"Tu cuma andaian ayah. Tak tahulah betul ke tidak."

Puan Rohaya yang mendengar perbualan suami dan menantunya itu kelihatan murung sejak tadi. Wajahnya tidak ceria. Dalam keadaan sekarang, fikirannya benar-benar terganggu. Nak buat kerja apa pun semua tak beres.

"Mak takut sangat kalau jadi apa-apa kat Tun. Rul tengoklah, dah hampir satu hari lebih masih belum ada sebarang khabar berita. Polis pun satu. Buat kerja lambat sangat. Entah apa yang mereka buat agaknya Makan gaji buta betul," sindir Puan Rohaya geram. Akibat terlampau risau, dia boleh berkata begitu.

"Awak jangan fikir sangat. Nanti awak pula yang sakit. Polis tahulah nak siasat perkara ni. Bukan mudah nak cari. Abang yakin, tak lama lagi dapatlah mereka cari Tun dan Kak Anis."

Tengku Fazrul Shah memandang ibu mertuanya. Jelas kerisauan pada wajah itu. Dia faham. Ibu manalah yang tak risau jika berhadapan dengan situasi cemas begini. Risau Puan Rohaya, risau lagi hatinya. Setiap saat dan masa dia menjadi tidak tentu arah. Gelisah dan resah jiwanya.

"Rul makanlah kat sini hari ni. Kejap lagi mak masak. Lama betul kita tak makan sama-sama," kata Puan Rohaya kemudiannya. Dia buat-buat ceria untuk menutupi kewalangan di hati.

"Tak payahlah, mak. Rul ada hal nak jumpa dengan Firman lepas ni. Ada benda penting dia nak bagitahu. Lain kali ajelah."

"Esok-esok pun boleh," sampuk Encik Ahmad pula.

"Yalah. Ayah dan mak tak payah risaulah. Rul yakin Tun selamat. Kita sama-sama doakan dia."

"Moga-moga, Allah lindungi keselamatan Tun dan anak dalam kandungan dia. Hanya tu harapan ayah."

"Amin."

"Rul nak minta diri dulu. Sebelum tu, Rul nak minta maaf sekali lagi pada ayah dan mak. Rul tak pandai jaga Tun. Rul dah sia-siakan hidup dia. Malunya muka Rul. Kesal sangat rasa hati ni. Maafkan Rul mak, ayah! Rul betul-betul menyesal," pohonnya bersungguh-sungguh sambil menangis teresak-esak. Dia menyesal dengan apa yang berlaku sepanjang dia berkahwin dengan Fazliatun.

Encik Ahmad mengusap-usap rambut menantunya itu. "Dahlah, Rul. Ayah dan mak dah maafkan kau. Tapi Rul kena janji, jangan ulangi kesilapan yang sama lepas ni. Jaga Tun baik-baik macam Rul jaga nyawa Rul."

"Rul janji ayah."

Tengku Fazrul Shah mengesat air mata. Sebak sungguh dia rasakan. Tak terkira dosa yag dilakukan pada Fazliatun namun ayah dan ibu mertuanya itu tetap memaafkannya. Tersentuh hatinya melihat kemurnian jiwa mereka berdua.

"Hati-hati bawa kereta tu!" pesan Puan Rohaya.

Dia menyalam tangan Encik Ahmad dan Puan Rohaya.

"Rul balik dulu. Nanti kalau ada apa-apa berita pasal Tun, Rul bagitahu mak dan ayah. Asssalamualaikum."

Isteri SementaraWhere stories live. Discover now