SAMBUTAN hari lahir Firman begitu meriah. Ramai tetamu yang dijemput hadir ke majlis itu. Rata-rata dari kalangan saudara terdekat serta rakan-rakan kerja. Hanya keluarga Firman sahaja yang tidak hadir kerana jauh. Seawal jam lapan malam, Fazliatun dan Tengku Fazrul Shah sudah datang. Mereka berdua duduk di kerusi yang disediakan berdekatan dengan taman bunga.
Apabila tiba acara memotong kek, Firman meminta Raihana mengambil gambar sebagai kenangan. Dia juga bergambar bersama-sama Fazliatun dan Tengku Fazrul Shah. Wajah rakan baiknya itu nampak berlainan sedikit malam itu. Seperti dipaksa-paksa untuk senyum. Fazliatun pun juga begitu. Apakah sebenarnya yang telah berlaku kepada mereka berdua?
"Happy birthday, Man! Semoga dipanjangkan usia dan cepat dapat jodoh. Amin!" ucap Tengku Fazrul Shah spontan. Fazliatun yang berada di sebelahnya hanya membisu. Setelah memberikan hadiah kepada Firman, mereka duduk di ruang paling hadapan.
"Terima kasih! Jemputlah makan! Banyak tu makanan," arah Firman sambil menepuk-nepuk bahu Tengku Fazrul Shah. Dia melihat lelaki itu menggenggam erat jemari Fazliatun. Sungguh mesra tingkah mereka seperti sengaja ingin menyakitkan hatinya. Dia buat-buat selamba.
"Abang Man tak nak pelawa Ana makan sekali ke?" soal Raihana tiba-tiba dengan wajah manis.
"Eh, lupa pulak abang. Ana kalau abang tak jemput makan pun memang muka tak tahu malu. Bukan abang tak kenal Ana." Firman sengaja mengusik Raihana. Dia tahu, adik sepupunya itu sekadar bergurau.
Malam ini gadis itu memakai blaus berona merah dan dipadankan dengan skirt labuh. Nampak cantik Raihana apabila berpakaian begitu. Sopan sahaja.
"Mana uncle dan auntie? Tak datang ke?" Firman bertanya apabila menyedari bapa dan ibu saudaranya tidak ikut serta ke majlis sambutan hari lahirnya itu.
"Papa dengan mama kat luar negara. Dia orang tengah bercuti. Lupa pulak Ana nak bagitahu."
"Amboi, bukan main lagi mereka, ya! Macam pengantin baru pula. Ana tak ikut pulak?"
"Ana kan study. Mana boleh pergi. Lagipun Ana nak sambut birthday abang sama-sama. Nanti kalau Ana tak ada, tak meriah pulak. Tiap-tiap tahun Ana sambut, tak seronok pula kalau tak celebrate sekali," balas Raihana lagi.
"Ya tak ya jugak. Terlupa pulak abang. Ana makanlah dulu. Abang nak masuk ke dalam kejap."
Ketika Firman menuju ke rumahnya, dia melihat Tengku Fazrul Shah dan Fazliatun sedang rancak berbual. Mesra sungguh tingkah pasangan merpati dua sejoli itu. Pantas dia menuju ke arah mereka berdua.
"Jauhnya korang duduk. Kat sana kan banyak tempat lagi," kata Firman sambil memandang Fazliatun. Tidak berkelip langsung matanya. Semakin hari semakin berseri-seri wajah perempuan itu. Terpukau dia dengan kecantikan Fazliatun.
Tengku Fazrul Shah perasan lirikan mata Firman itu. Dia sengaja merangkul pinggang isterinya lebih erat untuk membuatkan Firman bertambah cemburu dan sakit hati. Makin berbulu Firman tengok.
Wajahnya sedikit berubah walaupun cuba diselindungkan. Susah betul nak sembunyikan keresahan di hati. Hakikat sebenar sudah jelas terbentang di hadapan mata namun tetap juga dia tidak boleh menerima kenyataan.
"Sengaja aku pilih duduk kat tempat ni, Man. Romantik sikit. Kat sana tu ramai sangat orang. Tak ada privacy. Kan, sayang?" ajunya lantas memandang muka Fazliatun. Gadis itu hanya mengangguk sekali.
"Tambahlah lagi makanan tu. Aku nak masuk ke dalam kejap!"
"Okey Man."
Selepas Firman pergi, Tengku Fazrul Shah melepaskan genggaman tangannya. Berubah terus wajahnya.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...