_ 10 - T E K A - T E K I -

288 39 43
                                    

Awan kelabu dilihat bergerak perlahan menutupi bulan yang bersaiz bulat dan besar itu. Dia merasakan bulan begitu dekat dengannya. Jikalau dia bertangan panjang seperti watak Fantastic Four dan Nang Nak, sudah lama digapainya bulan di langit sana. Tidaklah dia perlu menunggu bulan jatuh ke riba. Dan dia pasti akan tampak bergaya seperti bulan dipagari bintang walaupun dia bukanlah seorang gadis.

Faris masih waras akan jantinanya sendiri.

Tangan diangkat. Dia berimaginasi sendiri seolah-olah dia sedang mengusap permukaan bulan. Mata disepetkan sebelah.

"Tuan hamba masuklah ke dalam. Temanilah Tuan Puteri semasa ketiadaannya hamba nanti," ucapan Cempaka menyentakkan Faris daripada lamunan.

"Kau nak pergi mana?" Dia mendongak memandang Cempaka yang berdiri di sebelah.

"Hamba mahu ke pasar keramaian yang berada di hujung lorong sana."

Jari telunjuk Cempaka bergerak ke kiri. Faris mengangguk mengerti. Sememangnya dia mendengar akan keriuhan orang ramai sedari tadi.

"Aku nak ikut juga! Dah lama tak makan Cheesy Wedges dekat pasar malam."

Faris menggosok tangannya tidak sabar. Bibir yang kemerahan dijilat. Kecur sudah liurnya membayangkan makanan kegemarannya itu.

"Sama sekali tidak akan hamba benarkan. Tuan hamba tinggallah bersama Tuan Puteri di sini. Sementara hamba pergi mencari bekalan makanan di seberang sana."

"Kita bawalah dia sekali untuk dapatkan rawatan. Kesian betul aku tengok dia. Dan aku tak kira. Aku nak pergi juga! Ataupun, kau jaga dia. Biar aku yang pergi." Faris bertegas.

"Tunggulah matahari melabuh tirai sinarnya. Tuan hamba akan tahu. Lagi pula seluruh rakyat jelata Kepulauan Indra Kara akan mengenali susuk Tuan Puteri! Walhal perihal sedemikian tidak boleh terjadi."

Cempaka meninggikan suara. Jelas benar bahawa dia tidak berpuas hati dengan cadangan Faris.

"Huargh! Mengantuklah aku dengar bedtime story kau ni." Faris pura-pura menguap.

"Pakaian tuan hamba pula aneh sekali. Penduduk pasti mencurigai tuan hamba."

"Sampai hati kau kutuk pakaian aku. Mahal tau umi aku beli! Khas untuk anak lelaki dia. Hiks...." Faris sentap.

"Sudah cukuplah tuan hamba menjadi patung cendana di muka pintu. Hamba tidak bisa keluar," kata Cempaka tanpa menghiraukan kedukaan Faris.

Mendengar aduan Cempaka, Faris semakin buat tidak peduli. Dia duduk bersilang kaki di pintu. Dengan sengaja dia menghalang laluan Cempaka sebagai tanda protes dan proses membalas dendam.

"Berganjak sajalah sebelum kaki ini melayang ke wajah tuan hamba."

Faris mencebik bibir. Cempaka mengugutnya dengan keganasan. Mentang-mentanglah dia tidak tahu untuk melawan. Kemudian, dia mengengsot ke belakang. Lututnya diangkat dan dirapatkan ke dada sebelum dipeluk erat.

"Jangan tuan hamba mengapa-apakan Tuan Puteri dan jaga cinta hati hamba sebaik mungkin. Hamba akan pulang sebelum Subuh. Berhati-hatilah. Di luar sana, ruh yang tidak tenteram menunggu masa untuk menerkam tuan hamba."

Selepas menitipkan pesan yang agak mengerikan bagi Faris, Cempaka pantas menyusup masuk semula ke kawasan hutan. Dalam sekelip mata, Cempaka sudah menghilang daripada pandangan Faris.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now