_ 37 - H A M B A -

154 23 2
                                    

(Hujung bab 36 sebelum ni dipadam sebab agak sensitif - sebab tu macam tergantung sikit permulaan bab ni. Tapi jalan cerita tak terganggu. Selamat membaca!)

.

"Kau memerli aku, ya?" Daus menghela tawa sinis namun masih disalut kepedihan yang menyentuh hati Faris.

"Saya cakap yang betul-betullah."

Faris tetap memanah ke anak mata Daus. Dia terus mengunci mata yang seakan menggigil itu ke dalam anak matanya. Lama. Dunia di sekitar seakan membisu dan mereka diasingkan ke satu ruangan di mana hanya ada mereka sedang berdiri.

Faris menarik senyuman lebar. Satu rasa dipaksa hadir menghuni hati. Suasana getir di antara mereka membabtu gelojak rasa di jiwa.

Faris membayangkan dirinya berada dalam situasi yang sama seperti pemuda di hadapannya. Membayangkan dirinya yang turut menggeletar menggenggam sebilah pisau tajam dan mempamerkan anak mata yang melihat kegelapan dan kematian semata. Dia cuba untuk berdiri dalam tubuh manusia bernama Daus itu.

Setelah bayangan penderitaan itu menjalar ke setiap pembukuh darahnya, hidung Faris mula panas. Pipinya berbahang. Dan birai mata bertakung.

"Saya tak tahu kisah awak, Daus. Tapi saya tahu yang ... hidup kita ini tak selalunya indah.Duri itu ada di mana-mana saja. Kita terpijak, terbenam dalam kulit dan berdarah.

Celaan, makian, sepak juga terajang mereka yang kita terpaksa hadap, hati kita yang akan berdarah. Tapi luka kerana duri itu akan sembuh kalau kita sapu ubat. Dan hati yang dipijak manusia akan sembuh jika kita sapu dengan keimanan dan ketakwaan kepada Tuhan."

"Kau tiada mengerti. Hidup aku lebih teruk daripada dihenyak pijak mereka. Saban hari aku seperti kematian rasa. Jasadku yang seakan kosong inilah yang diinjak mereka ... dan juga ayah." Daus menggigil saat kerlingannya perlahan dilempar ke arah ayahnya.

"Saya tak faham. Buat saya faham dengan apa yang menimpa awak. Luahkan, Daus. Luahkan apa yang bersarang dalam hati awak pada saya. Saya dengar. Saya akan setia mendengar."

Faris maju setapak. Kali ini sehingga hembusan kasar nafas Daus menyapa raut wajahnya.

Daus pula hanya terdiam. Di benaknya sudah muncul susuk tubuh ayahnya yang berlaku kasar terhadapnya. Sudah muncul dalam kepalanya akan situasi dia mengerekot di pangkin di malam hari saat hujan turun dengan lebat dan dia dipaksa tidur di luar kerana lupa menyiapkan alatan untuk digunakan di kemudian hari.

Terlalu banyak bayangan yang menggores hati dan meninggalkan duka sehingga tiada satu patah kata yang terbit dari bibir bagi menjawab soalan Faris. Tetapi mutiara jernih di tubir sedia menjawab segalanya. Empangan yang pecah membanjiri pipi cekungnya memberi jawapan yang begitu sakit untuk dimengerti oleh Faris sendiri.

"Ayah memukul aku. Sudah aku memohon maaf ... namun tetap sahaja tubuhku berbirat dirotannya. Sudah aku memeluk dan mencium kakinya meminta belas ... namun tetap sahaja kayu panjang itu menghentak kepalaku saban hari."

Suara seraknya dilontarkan membawa kisah duka yang terpendam lama di lubuk hatinya. "Teman-temanku juga mencela diriku. Aku ini lembab orangnya. Hidup aku menyusahkan ayah juga ibuku sahaja."

Air mata paksaan tadi kini jatuh dengan ketulusan dari hati. Faris setia mengangguk mendengar kisah itu. Belakang tubuh Daus digosoknya perlahan.

Bicara SemalamTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang