_ 19 - P E R C A Y A -

197 33 16
                                    

"Bagaimana bisa kau mengenali Tuan Faris, Eton? Apakah sebelum ini kau berdua sudah berjumpa?"

Cempaka lekas menuruni tangga mendapatkan adiknya. Tubuh kecil Eton ditarik ke dalam dakapan eratnya. Dielus lembut rambut panjang Eton yang kini sudah mencecah pinggang. Kali terakhir mereka bertemu, rambut adiknya masih di paras bahu.

Aku rindu.

"Sudah pasti Eton mengenali sosok yang masyhur seperti Tuan Faris. Itulah kakak. Asyik terkurung saja dalam istana. Perkembangan di luar saja kakak tidak tahu," Eton dengan becok bercerita.

Pelukan Cempaka dibalasnya. Terubat rindunya terhadap kehangatan kasih seorang kakak.

"Ah! Kau pasti berbohong. Kenapa tidak aku mengenalinya jika benar dia semasyhur seperti apa yang kau perkatakan!" Awang mampir ke sisi dua beradik yang masih berdakapan.

"Kau sibuk mengerjakan sawah padi sama ayah di hujung kampung saban hari. Masakan kau tahu akan hal ini?" Eton membalas malas.

"Sudahlah. Jangan bertekak lagi." Cempaka mengusap kepala Awang perlahan. Adik lelakinya itu kini sudah semakin tinggi. "Bagaimana bisa kau berdua datang ke mari?"

"Eton yang mahu ke mari. Dia sudah berjanji mahu memulangkan selipar rotanku jika aku mengikutinya ke sini," jelas Awang sambil menggaru pipinya yang tidak gatal.

"Kamu sudah membesar menjadi anak perempuan yang begitu cantik, Eton. Persis sekali dengan kakakmu, Cempaka."

Puteri Azalea membongkokkan dirinya sambil mencubit hidung Eton.

"Awang pula telah membesar menjadi seorang lelaki yang gagah berani lagi tampan, Tuan Puteri. Tidakkah Awang juga perlu dikagumi?" Awang mendabik dada. Kening dijongket sebelah saat dia dengan megah memandang Puteri Azalea.

"Amboi, budak kecil ini. Belajar daripada siapalah si Awang kenit ni. Dah pandai nak mengorat Tuan Puteri pula. Bagilah abang cuba nasib dulu."

Faris yang duduk melutut di depan Awang mengenyitkan matanya kepada budak lelaki itu. Kemudian, rambut Awang dia kusutkan sesuka hati. Namun, tidaklah terlalu serabai seperti yang diharapkan kerana rambut Awang dipotong pendek.

Kaget dengan perlakuan Faris, Awang menarik muka masam. Tapi dia tidak cepat melatah apabila mata Puteri Azalea masih terarah kepada dia dan Faris. Mahu menjaga imej barangkali.

"Jikalau begini dipeluk erat sama kakak, lemas Eton dibuatnya."

Tersedar akan keterlanjurannya, Cempaka segera meleraikan lingkaran tangan di tubuh Eton. Satu kucupan lembut mendarat di dahi Eton. Dia tidak boleh bermesra begitu dengan Awang. Hal ini kerana adiknya itu pasti akan berasa malu dilayan manja di hadapan Puteri Azalea.

"Err ... sebenarnya Eton ke sini mahu memberitahukan sesuatu. Orang-orang Tuan Jamil bakal datang ke sini menjelang senja nanti. Mereka mahu membakar pondok ini," ujar Eton sedikit kalut.

Hampir saja dia lupa tujuan sebenar ke sini dek hanyut dalam lautan kasih Cempaka yang sudah lama dia nantikan.

"Apa benar akan hal yang kamu perkatakan ini, Eton? Janganlah menuduh sembarangan." Puteri Azalea melilau ke sekeliling. Kepanikan menembak tangkai hatinya. Dia khuatir jika ada sesiapa yang mengintip keberadaan mereka di sini.

"Eton berkata benar, Tuan Puteri. Lekaslah kamu bertiga meninggalkan tempat ini. Matahari sudah nak tergelincir. Ayah juga akan pulang ke rumah untuk makan. Oleh itu, Eton sama Awang perlu segera pergi. Nanti Awang dicari ayah," ucap Eton lancar.

Terlopong Faris dibuatnya melihat kebecokan mulut Eton. Entah kenapa dia merasakan seperti pernah mendengar nama itu. Seolah-olah ada cebisan memori yang tersorok berkenaan gadis kecil ini.

Eton. Macam kenal je budak ni. Haih.

"Iyalah. Kau berdua pulanglah. Tetapi rahsiakanlah pertemuan kita di sini, ya. Jangan sampai ke pengetahuan ayah. Kau berdua juga tahu akibatnya, bukan?" minta Cempaka lembut.

Eton mengangguk perlahan. Akan tetapi Awang pula yang kelihatan sedikit ragu. Ada riak serba salah pada wajahnya.

"Ada apa, Awang? Apa yang menggusarkan hati adikku ini?" Cempaka bertanya prihatin.

Awang memandang Eton sekejap. Dia tahu bahawa Eton tidak akan bersetuju. Tetapi, jauh di sudut hatinya sedang mendesak supaya dia meluahkan hal itu. Nafas ditarik dalam.

"Semalam Sultan Aminuddin memanggil emak sama ayah ke istana," kata-kata Awang terhenti apabila lengannya dicubit Eton. Masing-masing menjegilkan mata. Tapi dia buat tak endah. "Kata baginda sultan, emak sama ayah bakal dipancung jikalau Tuan Puteri tidak kembali ke istana dalam tempoh tiga hari. Sultan menganggap bahawa kakak yang membawa Tuan Puteri melarikan diri dari istana."

Panas membahang wajah Puteri Azalea mendengarkannya. Perasaan marah terhadap ayahandanya bercampur dengan rasa malu akan keluarga Cempaka yang banyak berjasa kepadanya. Bibirnya diketap geram. Ayahanda sudah melampau!

* * *

"Kalau kau dengan Lea balik ke istana, aku nak tinggal mana? Aku tak nak merempat di kaki lima. Aku selebriti, kot. Hancurlah imej aku nanti. Teruk aku kena kecam dengan mak cik-mak cik bawang dalam laman sosial nanti."

Faris mundar-mandir mengelilingi anjung. Dia gelisah memikirkan nasibnya nanti. Sudahlah hanya Puteri Azalea dan Cempaka yang dia kenal di kawasan itu. Mahu meminta bantuan Syed Abu Bakar pula dia segan. Setelah penat memerah otak, dia menemui jalan mati.

"Mengapa kau mahu bergerak ke sana ke mari? Tingkah kau lebih membuatkan aku naik pusing, Faris. Berhentilah dan duduk bersama kami."

"Habis tu macam mana? Aku ikut kau orang pergi istana jelah. Boleh?"

Cempaka laju menggeleng.

"Kami tidak bisa berbuat begitu. Apa tuan hamba juga mahu dihukum pancung kerana dituduh menjadi penceroboh?" ugut Cempaka serius.

"Takkanlah sampai macam tu sekali." Memuncung mulut Faris apabila cadangannya dibidas kasar oleh Cempaka. Dia pantas memetik jari tatkala ada idea yang muncul dalam benaknya.

"Macam mana kalau aku tinggal dekat sini je? Lepas tu minta Tuan Syed datang bawakan aku makanan dan pakaian sementara aku cuba mencari kerja. Hah! Bijak tak buah fikiran seorang genius macam aku?"

"Tidakkah tuan hamba mendengar apa yang dikatakan oleh Eton tadi? Pondok ini bakalan dibakar sama orang upahan Tuan Jamil. Apa tuan hamba mahu mati rentung menjadi abu jikalau berdegil tinggal di sini?" tempelak Cempaka lagi. Barannya kembali.

"Kau percaya ke cakap kosong budak kecil tu? Entah dia mengigau ke apa. Janganlah negatif sangat. Bakal sultan kau orang tu!" Faris dengan senang hati menyebelahi Tuan Jamil.

"Sudah tentu! Hamba sangat mempercayai kata-katanya. Hamba tiada sedikit pun rasa ragu terhadap dirinya." Cempaka bingkas berdiri dan masuk ke dalam rumah.

Puteri Azalea yang sedari tadi memerhati hanya mampu memicit dahi. Kepalanya sakit apabila memikirkan bagaimana cara untuk berhadapan Sultan Aminuddin nanti. Yang pasti, dia perlu memberikan hujah yang mampu membela nasib Cempaka sekeluarga. Kini ditambah pula dengan pertengkaran yang tak sudah antara Faris dan Cempaka. Dia menghela nafas berat.

"Begini sahajalah. Hamba akan menemui Tuan Faris di sebuah pondok rehat di hujung kampung. Hamba akan ke sana sebaik sahaja Tuan Puteri selamat tiba di istana. Hamba akan bawa Tuan Faris masuk ke kampung para pedagang. Mungkin ada pekerjaan yang bersesuaian menanti Tuan Faris di sana," terang Cempaka yang secara tiba-tiba memunculkan diri di muka pintu sambil bercekak pinggang.

Tiada niat untuk melakukan sebarang bantahan lagi, Faris akhirnya memilih untuk bersetuju dengan rancangan Cempaka.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now