_ 44 - NOKTAH SEBUAH PERMULAAN -

148 24 3
                                    

"Kau kembali. Mengapa kembali ke lembah derita ini?" Suara garau itu menegur.

Sejak pulang ke ruangan dingin itu tadi, gadis bernama Cempaka hanya diam menyendiri.

Dan seperti agakannya, tiada jawapan buat soalannya. Restu kemudiannya membaringkan tubuh menghadap tingkap berpetak kecil yang menayangkan langit kelam malam. Di sebalik jeriji di situ, dia melihat bulan yang mengambang terang. Seakan gigih mengusir kesuraman abadi penempatannya dan Cempaka.

Tiada dia sedar bilakah dirinya terlelap kerana sebaik saja mata dibuka, bulan sudah meninggalkan posisi tadi. Kini hanya latar hitam langit yang menghiasi  pandangan.

Dia menoleh ke ruangan di sebelah. Mata yang masih berat digosok beberapa kali sehingga penglihatan semakin jelas. Posisi Cempaka yang masih sama sebelum dia lena mengundang tanda tanya. Gadis itu tetap duduk menyandar ke dinding sambil mendakap lutut.

Dan bunyi derapan laju seseorang ke dalam ruangan itu menarik perhatian Restu. Dia lantas berpaling ke belakang menantikan insan mana yang akan muncul daripada lorong yang menghala ke tempat itu.

"Sudah beta mengagak bahawa Cempaka bakal kembali!"

Restu pantas membetulkan posisi. Sembah hormat diberi tatkala gerangan permaisuri itu terus merebahkan diri di hadapan ruang yang memenjarakan Cempaka.

"Mengapa tiada Cempaka mengikut titah beta? Bukankah beta sudah memberitahu agar usah kembali! Apakah kerana Faris mungkir janjinya untuk membawa Cempaka pergi?"

Cempaka melemparkan kerlingan sayu ke arah Azalea. Liur kesat ditelannya. Air mata bergenang di tubir. Dengan perlahan dia menggeleng. Namun, mengingatkan akan darjatnya, Cempaka lantas menyembah hormat. Lama dia kaku dalam posisi itu.

"Far ... Faris." Berat sekali dia menyebutkan satu nama itu.

"Iya? Ada apa dengannya?" soal Azalea cuba bertenang walaupun jiwanya sedang bergelojak kerisauan.

"Tuanku Permaisuri benar. Jasadnya Faris ... sudah mula menghilang." Cempaka bersimpuh. "Tidak. Mungkin juga sudah banyak kali kejadian itu menimpa dirinya memandangkan Tuanku Permaisuri sudah semakin pulih sejak kebelakangan ini."

Azalea mendesah. Semakin berat timbangan rasa bersalahnya terhadap Faris.

"Beta akan usahakan untuk bertemunya kelak. Dia akan kembali, bukan? Buat Cempaka?"

"Mu ... mungkin sahaja. Setelah kejadian semalam, enggan patik menyiram lagi pohon harapan ini, tuanku."

Jemari terus menggenggam palang cuba mengumpulkan kekuatan yang bersisa. Azalea terus menolak tubuhnya sehingga dia berdiri tegak.

"Baiklah. Akan beta usahakan buat bertemunya kelak. Buat masa ini, beta akan cuba memujuk sultan agar tiada Cempaka diarak di pekan pagi ini."

"Ampun, Tuanku. Ampunkan patik kerana bertanya. Mengapa pula dengan keputusan mendadak begitu, Tuanku Permaisuri?"

Azalea membuang pandang ke arah Restu. Seraut wajah khuatir ditayangnya.

"Tiada berjaga, kelak nasib malang menimpa. Dan beta sendiri tiada mengetahui apakah pulangnya bernyawa."

"Bahaya ada di mana-mana, Permaisuri. Biarkan sahaja patik."

Ligat bebola mata mencerlung Cempaka. "Nyawa Cempaka juga menempati jiwa ini. Tidak sesekali beta membiarkan ia direnggut durjana begitu sahaja. Usah kemana-mana. Biarkan beta uruskan segalanya."

Azalea mengheret kakinya yang seakan berat meninggalkan Cempaka.

"Usah bertindak sehingga memudaratkan diri, tuanku. Patik akan menjaga diri ini."

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now