Bab 56

52.5K 2.4K 182
                                    

[ JIKA HARUS BEGITU ]
Akan kubiarkan cucuran air mata ini bertutur disaat bibir tidak sanggup lagi mengungkapkan rasa

"SIAPA disana?! Keluar!"

Satu tangan sasa menekup bibirnya dari belakang. Matanya membulat. Darleesa bergelut untuk melepaskan diri selepas satu susuk berpakaian serba hitam bertindak untuk mencempung tubuhnya. Skil yang dipelajari digunakan sebaik mungkin tetapi serangannya dipatahkan begitu saja apabila tangan sasa itu menarik rapat tubuh mereka supaya bersatu. Dia tidak dapat melihat siapakah gerangan tersebut kerana wajah jejaka itu terlindung dengan topi dan mask muka. Sekelip mata saja Darleesa terlambung ke udara dan tersidai kemas di atas bahu lebar figura hadapan.

"Sial, bawa dia pada aku! Tangkap hidup-hidup!"

Kazam mengarah dalam jeritan. Berpusu-pusu anak buahnya mengejar ke dalam hutan belantara. Bunyi tembakan bergema berkali-kali seiring jeritan keras. Burung-burung di dahan pokok lari berterbangan, suasana sepi itu riuh-rendah dengan bunyi derapan dan kocakan lumpur berselut. Panggilan yang masih belum termati dilekapkan kembali di cuping telinga. Suara Syed Norman keras di hujung talian. Arahan yang dikeluarkan diikuti selepas panggilan dimatikan. Pistol dihala muncung tepat kearah Wak Semelai dan kepala lelaki asli itu bersepai dengan beberapa butiran biji peluru. Farina yang masih terkejut dengan gemparan tersebut terkial-kial menyusun langkah selepas tangannya ditarik Kazam. Mereka sama-sama memasuki ke dalam kereta seraya BMW mengaum garang membelah tanah merah.

"Lepas lah!" Meliang lentok badan Darleesa ke kanan dan ke kiri mengikut gerakan figura sasa ini jauh ke dalam hutan. Darleesa masih belum mengalah, belakang hoodie lelaki itu dicakar dan suaranya melantun bengis untuk melepaskan diri. Naik merah wajah Darleesa apabila pipi punggungnya ditepuk perlahan sebagai serangan balas. Tercabul.

"Lepas saya cakap! Jangan sampai saya bunuh awak nanti!"

Pekiknya dalam nada tertahan. Bahang di kedua-dua belah pipi makin terasa. Dipukul-pukul belakang lelaki itu sekuat hati. Tidak cukup dengan memukul, belakang leher lelaki itu dicakar pula sehingga terluka. Mereka semakin jauh. Dia tidak dapat melihat keadaan sekeliling kerana gelita dengan lindungan pohon-pohon meninggi. Cekap si lampai itu membawanya entah ke mana hala. Darleesa bagaikan ingin menangis kerana diperlakukan sebegitu rupa.

"Saya cakap lepas! Awak pekak ke apa?! Lepas lah!"

Amarahnya tidak diendahkan sama sekali. Berkali-kali Darleesa cuba menggelongsor dari belakang lelaki itu tetapi pinggangnya dipegang kejap. Tiba saja di kawasan bertanah landai, tubuhnya diturunkan dibalik lindungan pohon besar. Darleesa menendang ganas kaki figura misteri tersebut sekuat hati untuk melarikan diri. Waima begitu, usahanya sia-sia sebaik saja tangan kekar itu laju m0enarik pinggangnya pula.

Natijahnya, tubuh kecil Darleesa disandar mengejut pada kayu pokok manakala kedua-dua belah tangan gerangan di hadapan mengunci pergerakannya. Jantung Darleesa berdegup bagai nak gila. Kedudukan mereka rapat, nafas lelaki itu terhembus hangat di dahi. Bunyi beberapa derapan tapak kaki diselangi suara keras berkumandang. Matanya tidak berkedip, nafasnya terkunci. Lelaki misteri itu membawa jari telunjuk ke bibir, isyarat untuk menzip mulut serapat-rapatnya.

Bang! Satu das tembakan dilepaskan tiga kali. Bertempiaran burung-burung gagak berbunyi. "Keluar! Kau fikir dengan menyorok kau boleh terlepas? Sini kawasan aku lah!"

Batu sederhana besar dikutip lelaki itu dan dibaling jauh ke arah bertentangan untuk mengelirukan lelaki-lelaki berkenaan. Anak mata Darleesa perlahan-lahan terlari ke atas, mencari pancaindera gerangan di hadapan bermodalkan cahaya dari pancaran bulan mengambang. Dia masih belum mengecam tetapi apabila derapan kaki penjenayah yang dilihatnya tadi mampir di kawasan persembunyian, lelaki itu menghilangkan jarak mereka sehingga figuranya tersembunyi dibalik tubuh tegap si jejaka. Bau cologne yang cukup dikenali mencipta detakan hebat di dada. Darah menyerbu laju ke segenap tubuh sehingga dia hilang punca. Darleesa mendongak untuk membuat kepastian. Anak mata mereka berdua bertembung. Lama.

[C] Jika Harus BegituWhere stories live. Discover now