Bab 3

5.2K 87 0
                                        

"MAN, aku tanya sikit kau jangan marah erk?" ujar Amir agak takut-takut. Ketika itu, mereka berdua sedang berehat melepaskan lelah setelah selesai latihan karate.

"Apahal?" balas Iman sambil menjongket keningnya. Peluh yang merenek di muka dikesatnya dengan tuala.

"Hmm..." Amir teragak-agak.

"Laa, apahal kau ni? Nak tanya, tanya jelah. Teragak-agak pulak. Aku hentak karang kot bisu terus," sergah Iman. Dia berpura-pura serius sedangkan dadanya hampir pecah menahan tawa di dalam hati bila melihat gelagat Amir yang terkulat-kulat akibat disergah.

"Tengok tu, aku belum lagi tanya kau dah sergah. Kau ni garang sangatlah. Macam manalah agaknya kalau kau kahwin nanti. Agaknya terperosok bawah katil gamaknya laki kau." Kedengaran celopar pula mulut Amir.

Mata Iman sudah bulat memandang sahabatnya itu. "Apa kau cakap tadi? Telinga aku tetiba macam tersumbat aje tadi. Tak berapa dengar. Cuba ulang sekali lagi?" ujar Iman sambil mengepal-ngepal penumbuknya.

Amir tersengih mendengar kata-kata Iman. "Alah, aku gurau aje, janganlah marah," ujar Amir.

"Tahu takut. Nasib baik aku ni cool. Kalau tak...malam ni orang makan nasi kau makan gigi paprik. Kau nak rasa ke?" balas Iman.

Amir sudah tersengih sambil menggoyangkan tangannya tanda tidak mahu.

"Hah apa yang kau nak tanya tadi?"

"Tak ada apalah."

"Eleh, jual mahal pulak. Tanya ajelah... aku tak makan kau punya," ujar Iman sambil tergelak-gelak. Comel sungguh dia bila ketawa. Lesung pipitnya jelas kelihatan.

Amir mamandang Iman. 'Cepat benar berubah mood perempuan ni! Tadi bukan main garang mengalahkan rimau beranak kecik,' tukasnya di dalam hati.

"Hmm... kenapa kau pilih perwatakan macam ni, erk? Maksud aku, kenapa kau nak jadi lelaki?"

Iman terdiam mendengar pertanyaan Amir. Agak lama juga dia berkeadaan begitu.

Amir mula gelisah melihat temannya itu mendiamkan diri. 'Aku dah singgung perasaan dia ke?' soalnya dalam hati.

Belum sempat dia bertanya, Iman terlebih dahulu bersuara. "Bila masa pulak aku kata nak jadi lelaki?"

"Dah tu, kau pakai pakaian macam lelaki, gaya macam lelaki?" tanya Amir lagi.

"Mir, aku pakai macam lelaki, gaya macam lelaki tak semestinya aku nak jadi lelaki. Aku tetap seorang perempuan. Hati aku tetap hati seorang perempuan, Mir." Lirih suara Iman menuturkan rasa hati.

Amir mengerutkan dahi tanda tidak mengerti. Suara Iman yang lirih sebentar tadi seakan-akan menyembunyikan sesuatu kepedihan.

"Okeylah, aku ceritakan pada kau. Kau dengar baik- baik. Lepas ni, kau jangan nak tanya aku lagi pasal ni." Iman akhirnya membuat keputusan. Tidak sampai hati pula dia melihat sahabatnya itu tertanya-tanya.

Amir pantas mengangguk tanda setuju.

Iman menceritakan semuanya kepada Amir. Kisah pemergian abahnya, tentang perbuatan ibu tiri yang menghalaunya tanpa belas kasihan setelah kematian abah.

Amir tekun mendengar. Sesekali kelihatan dia mengangguk- angguk tanda memahami.

"Aku jadi macam ni sebab aku nak melindungi diri aku sendiri. Sekurang-kurangnya bila aku macam ni, orang tak berani nak kacau, nak buli aku. Setelah abah aku pergi, aku hidup sendiri, Mir. Satu per satu dugaan dan perjalanan hidup yang aku tempuh mengajar aku jadi macam ni. Sebaik aku melangkah keluar dulu, aku bertekad tidak akan membiarkan orang lain membuli aku lagi," sambung Iman.

cinta 3 suku ( Herna Diana )Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang