IMAN sedang menuju ke tempat kegemarannya sejak berada di kampung. Pondok tepi bendang yang dulu menjadi tempat lepak abangnya dan Arie, kini turut menjadi tempat kesukaannya.
Setiap petang, dia suka menghabiskan masanya di situ jika tidak berbuat apa-apa. Suasana sawah yang menghijau dengan tiupan angin membuat Iman selesa melayan perasaan dan angan-angannya.
Sebaik menghampiri pondok itu, Iman tersenyum gembira. Terlihat kelibat Arie turut berada di situ. Tadi sebaik pulang dari bandar bersama ibu dan ayahnya, Iman sudah ternampak Toyota Vios Arie di pekarangan rumah tok wan. Tetapi dia tidak terus ke sana kerana memikirkan Arie mungkin sedang berehat.
Arie kelihatan sedang bercakap di telefon dengan membelakangi Iman. Suaranya kedengaran serius dan sedikit marah. Iman mengerutkan dahi sambil cuba memasang telinga.
"Do you understand me, Julia?"
'Cakap dengan awek rupanya,' desis hati Iman. 'Tapi macam tengah gaduh aje,' fikirnya lagi.
"Julia, dah berapa kali I cakap, tok wan I tak sihat. Cubalah faham. Tu lebih penting dari nak pergi jalan-jalan, okey?" bidas Arie.
"Sudahlah. I malas nak bertekak dengan you. Suka hati youlah!" Arie mematikan talian telefonnya, lantas dia berpaling. Terkejut dia apabila melihat Iman berada di situ. Sedang tersengih!
"Dah lama Iman kat sini?" Arie bertanya. Segan dia dengan Iman yang telah mendengar pertengkaran dia dengan Julia sebentar tadi.
"Taklah. Baru aje," dalil Iman. Dia terus melompat ke atas pondok lalu duduk bersila. Arie mengikut Iman.
"Err... mood Abang Arie okey ke?" Iman buat soalan bodohnya.
"Kenapa?"
"Manalah tahu. Kalau-kalau mood Abang Arie tak okey ke. Nanti tak pasal-pasal Iman kena belasah pulak." Iman cuba berlawak.
Arie tergelak besar. Seperti biasa kehadiran Iman menyenangkan hatinya.
"Hey... ingat Abang Arie ni macam Iman ke, hah? Asal mood tak baik aje nak belasah orang." Arie sempat mengenakan Iman. Iman tersengih nakal.
"Abang Arie sampai pukul berapa tadi?" Iman sekadar berbahasa.
"Dalam pukul sepuluh lebih tadi. Lepas subuh tadi terus Abang Arie bertolak. Tak senang hatilah fikirkan tok wan," jawab Arie. Iman mengangguk-anggukkan kepalanya.
"Iman pergi mana tadi? Masa Abang Arie sampai takde pun." Arie pula bertanya.
"Iman ikut ibu dengan ayah pergi Seberang Jaya. Beli barang untuk kenduri abang," cerita Iman.
"Terima kasih ya Iman tolong selamatkan tok wan," ucap Arie ikhlas.
"Alah, takde apalah. Benda kecik aje tu." Iman sekadar merendah diri.
"Nasib baiklah tak jadi apa-apa. Macam mana la tok wan boleh tergelincir. Tok wan dengan sungai tu dah biasa benar," ujar Arie pelik.
Iman terdiam seketika.
"Benda dah nak jadi, nak buat macam mana," balas Iman mematikan keraguan Arie.
"Abang Arie cuti lama ke?" tanya Iman mengalihkan topik cerita.
"Ahad ni, Abang Arie baliklah. Isnin kerja."
"Bestlah. Esok, abang dengan kakak balik. Boleh kita pi ronda-ronda." Suara Iman kedengaran ceria.
"Ya ke? Abang Arie tak tahu pulak dia orang nak balik sini. Abang Arie pun tak sempat call Razif. Kelam-kabut aje terus balik sini."
"Dia orang balik nak pi try baju pengantin."
Arie mengangguk faham.
"Sekejap aje, kan? Pejam celik, pejam celik, dah nak kahwin pun abang dengan kakak tu."
"Masa sekarang ni memang cepat berlalu," sokong Arie.
"Abang Arie bila pulak?" Iman buka soalan maut.
"Entahlah, Iman..." Suara Arie kedengaran seperti tidak gembira.
"Kenapa?" Iman bertanya lagi, sibuk hendak tahu.
"Iman sendiri dengar tadi abang dengan Julia tu macam mana, kan? Terkadang tu, abang sendiri jadi bingung bila fikirkan hubungan kami," luah Arie. Dia rasa ingin berkongsi perasaan resahnya dengan Iman. Entah kenapa, dia senang bercerita dengan Iman.
"Dah banyak kali Abang Arie ajak dia kahwin. Tapi macam-macam alasan yang dia bagi," luahnya lagi.
Iman setia mendengar.
"Sebab tu, abang tak nak bagitau mama. Abanh tahu mama, tok dengan tok wan memang harap sangat abang kahwin. Tapi, Julia asyik bagi macam-macam alasan. Macam-mana abang nak kenalkan pada mereka?" Arie kelihatan sugul.
"Abang Arie tak boleh terus macam ni," nasihat Iman. Arie memandang Iman.
"Abang Arie kena tanya awek Abang Arie tu sama ada dia serius dengan perhubungan ni atau nak main-main aje. Iman bukan nak cucuk Abang Arie. Tapi bagi Iman, kalau dia ikhlas menyayangi Abang Arie, mesti dia nak hidup bersama Abang Arie. Zaman sekarang ni, kita kena hati-hati sebab banyak yang nak ambik kesempatan untuk berseronok saja." Panjang lebar Iman berceramah.
Arie hanya diam mendengar. Matanya di hala tepat ke arah bendang.
"Tapi mungkin juga dia ada sebab lain. Sebab tu Iman kata tadi, yang penting Abang Arie bincang dengan dia dari hati ke hati. Minta dia ikhlas berterus terang. Kalau betul tak bersedia, Abang Arie cari aje yang lain. Jangan buang masa. Banyak lagi perempuan. Abang Arie kan handsome, ramai perempuan nak kat Abang Arie." sambungnya lagi.
Arie tergelak kecil.
"Kalau takde perempuan nak kat Abang Arie macam mana?" Arie menduga.
"Hmm... kalau takde perempuan nak kat Abang Arie, Iman ada. Nanti Abang Arie boleh masuk minang Iman."
Iman buat lawak bodohnya. Langsung tak serius! Tergelak-gelak nakal dia.
Arie turut sama tergelak. Resah hatinya sudah semakin menjauh. "Betul ni? Nanti jangan bila Abang Arie masuk minang, Iman tolak pulak!" Arie turut bergurau.
"Tak... Iman tak tolak. Iman tendang aje." Iman buat loyar buruknya. Pecah tawa kedua-dua mereka petang itu. Seketika mereka asyik lawan menumbuk bahu.
"Dahlah tu. Abang Arie jangan susah hati, okey? Kalau betul jodoh Abang Arie dengan dia, takkan ke mana," ujar Iman setelah tawa mereka reda.
"Terima kasih Iman sebab sudi dengar masalah Abang Arie. Iman memang best," puji Arie.
Iman tersenyum bangga.
"Abang Arie ada sesuatu nak bagi Iman," kata Arie.
"Hadiah yang Abang Arie janji tu erk?" teka Iman.
Arie mengangguk.
"Nak. Mana dia?" Iman gopoh bertanya.
"Gelojoh sungguh budak kecik ni," kutuk Arie selamba.
"Ada Iman kisah?" Iman buat muka tak berdosanya.
Arie tergelak lagi.
"Ada kat rumah la. Nanti Abang Arie bagi. Jom kita balik, dah petang ni," ajak Arie.
"Chalo."

YOU ARE READING
cinta 3 suku ( Herna Diana )
Romance'Sketsa perang' di pertengahan jalan menjadi detik pertemuan pertama antara Minah Sewel dan Mamat Tiga Suku. Sejak itu, pertemuan demi pertemuan tercipta. Anehnya, setiap pertemuan dihiasi insiden perlanggaran. Iman - gadis comel yang nakal dan ber...