Bab 130-Si Tua Misteri Dan Solok

1.8K 35 0
                                    

Dari ambang pintu, saya perhatikan langkah nenek yang teratur .Sinar matahari tidak dapat menyentuh rambut dan tempurung kepalanya yang dibalut dengan selendang kuning. Wajahnya yang kemerahan dan berpeluh masih mampu mengukir senyum untuk saya.

"Nek dari mana?" Tanya saya kehairanan, sebaik saja nenek melintas di depan saya untuk masuk ke rumah.

"Dari surau, aku hantar kuah ayam seperiuk."

"Kenapa tak nanti saya nek?"

"Kamu mandi lama sangat di perigi, jadi aku hantar dulu mana yang senang," tutur nenek lalu duduk bersimpuh di lantai. Dengan hujung selendang dia mengesat peluh di wajah.

Saya segera menggigit bibir bawah. Sepasang anak mata menyorot wajah nenek dan hati saya segera berkata :Memang, kau nenek yang baik. Tidak mahu membebankan cucumu dengan kerja-kerja yang sukar .Terima kasih nenek. Suara hati saya terus beralun dan berombak dalam rongga dada.

"Kenapa Tamar? Kamu suka tengok kulit muka nenek yang dah berkedut ni," kata nenek bersahaja. Senyumannya masih terukir di bibir. Saya menarik nafas dalam-dalam.

"Bukan fasal tu nek."

"Habis fasal apa Tamar,"

"Nenek terlalu baik."

"Sudah , jangan merepak, pergi bawa barang-barang ke surau. Tak lama lagi waktu Asar tiba," wajah nenek nampak serius. Dan saya segera mematuhi arahannya.

Dalam perjalanan ke surau, sambil menatang talam besar yang berisikan pulut. Fikiran saya masih tertumpu kepada mimpi yang saya alami tadi. Kerana itu, saya tidak ambil peduli tentang nenek yang mengekori saya sambil memikul setandan pisang emas masak.

Memang saya berhasrat, mahu menceritakan apa yang saya alami dalam mimpi itu pada datuk.Biar dia membuat tafsiran yang boleh menyenangkan hati saya. Mungkin bukan sekarang. Tidak mengapa, kalau tak boleh hari ini, esok lusa pasti saya ajukan kepadanya. Saya mahu mendengar pendapat atau komen datuk sendiri.

Sampai di surau, pulut kuning satu talam saya serahkan pada Mat Upeh, (siak surau yang berasal dari Pengkalan Baru, dekat Pantai Remis). Nenek meletakkan setandan pisang emas atas pelantar .Urusan selanjutnya terletak atas bahu Mat Upeh.

"Air kopinya macam mana?" Tanya Mat Upeh.

"Datuk si Tamar tak cakap apa-apa dengan awak?" Sahut nenek. Mat Upeh gelengkan kepala. Saya dan nenek berpandangan.

"Aku minta pertolongan kamu menyediakannya. Gula dan kopi aku sediakan," saya dan nenek segera merenung ke arah datuk yang secara mendadak muncul dari sebelah kiri pelantar surau.

Kerana memikirkan tugasnya sudah selesai, nenek tidak mahu membabitkan dirinya dalam dialog antara datuk dengan Mat Upeh. Nenek angkat kaki dan terus pulang.

"Macam mana Encik Mat, boleh ke tolong saya," datuk minta kepastian.

"Bagi saya tak ada apa-apa masalah." jawapan dari Mat Upeh amat menyenangkan datuk.

Saya lihat datuk menyeluk saku baju. Dia mengeluarkan sesuatu dan saya kurang pasti, apakah barang yang dikeluarkan oleh datuk itu. Datuk hulurkan barang itu kepada Mat Upeh seraya berkata:

"Nah duit ni, belilah kopi dan gula. Kamu agak sendiri berapa banyak yang mesti dibeli, jemaah dianggarkan kira-kira dua puluh orang .Wang lebihnya ambil untuk kamu."

Dengan senang Mat Upeh menerima tugas tersebut, kalau tidak salah penglihatan saya wang yang dihulurkan oleh datuk kepada Mat Upeh berjumlah sepuluh ringit.

"Saya terima amanah awak," tutur Mat Upeh sambil menepuk bahu kanan datuk dengan mesra.

ARAHAN

Waktu Asar sudah masuk, datuk menyuruh saya memukul beduk. Saya juga diarahkan supaya melaungkan azan. Semua arahan datuk saya patuhi.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 9 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now